
Bagaimana jika kasut masa depan bukan lagi dihasilkan sepenuhnya melalui kaedah konvensional, tetapi dibentuk menggunakan teknologi percetakan 3D? Itulah pendekatan yang dibawa 2AM menerusi pembukaan kedai pertamanya di Malaysia di IOI City Mall pada 28 Ogos, sekali gus menandakan kemasukan rasmi jenama kasut berteraskan teknologi dan fesyen itu ke pasaran tempatan.
Berbeza daripada jenama kasut biasa yang banyak bergantung pada rekaan dan pemasaran, 2AM meletakkan teknologi percetakan 3D sebagai teras utama produknya.
Teknologi tersebut memberi lebih banyak kebebasan dari segi bentuk, struktur dan fungsi, selain membuka ruang kepada penggunaan bahan yang boleh dikitar semula serta pengurangan pembaziran berbanding kaedah pengeluaran kasut konvensional.
“Pengguna hari ini semakin berminat bukan sahaja terhadap rupa sesuatu produk, tetapi juga bagaimana ia dihasilkan, teknologi yang digunakan di sebaliknya serta kemungkinan yang boleh diwujudkan melalui teknologi tersebut,” jelas wakil jenama 2AM Malaysia di pelancaran tersebut.
2AM menyasarkan pengguna berusia sekitar 22 hingga 55 tahun, khususnya mereka yang mempunyai minat terhadap fesyen, sneaker, reka bentuk dan inovasi.
Walaupun pengikut jenama itu ketika ini lebih ramai dalam kalangan lelaki, koleksi yang ditawarkan direka untuk dipakai lelaki dan wanita.
Selain estetika, 2AM turut memberikan perhatian terhadap aspek keselesaan, kualiti serta pengalaman pemakaian, menjadikannya sesuai untuk pengguna yang mahu produk dengan karakter berbeza daripada kasut arus perdana.
Operasi 2AM di Malaysia diterajui oleh Wong Kim Yoong, Ketua Jenama & Strategi, yang bertanggungjawab terhadap hala tuju keseluruhan jenama serta bekerjasama dengan rakan teknologi dan pengeluar di China dalam aspek pembangunan produk.
Beliau disokong oleh Lee Wye Ming, Ketua Runcit & Operasi, serta Jolene Phang, Ketua Pemasaran, yang masing masing mengendalikan pembangunan runcit, operasi, pemasaran dan komunikasi jenama di Malaysia.
Pemilihan IOI City Mall sebagai lokasi pertama turut mencerminkan bagaimana 2AM mahu membina identiti runcitnya.
Berbanding memenuhi ruang dengan terlalu banyak produk, kedai tersebut menampilkan pilihan kasut yang lebih terhad dan dipilih secara teliti.
Setiap rekaan diberikan ruang tersendiri untuk dihargai, hampir menyerupai sebuah objek yang dipamerkan di galeri.
Pendekatan tersebut bertujuan menggalakkan pelanggan memahami teknologi serta proses reka bentuk di sebalik setiap kasut, bukan sekadar datang untuk memilih saiz dan membuat pembayaran.
Kemasukan 2AM ke Malaysia tidak berhenti di IOI City Mall. Jenama itu sudah merancang pembukaan kedai kedua di Sunway Pyramid pada 15 September, sementara beberapa lokasi lain turut dipertimbangkan termasuk Pavilion Kuala Lumpur, The Exchange TRX, Mid Valley, 1 Utama dan KLCC.
Dalam masa sama, 2AM mahu membina komuniti tempatan melalui kolaborasi bersama jenama dan penggiat kreatif Malaysia.
Perancangan jangka panjang turut merangkumi penerokaan teknologi percetakan 3D yang lebih luas, termasuk pilihan saiz, sokongan lengkungan kaki dan rekaan yang lebih diperibadikan mengikut pengguna.
Dengan aspirasi menjadi antara nama utama dalam kasut bercetak 3D di Asia Tenggara dan kemudian Jepun, 2AM membawa mesej yang cukup jelas.
Kasut generasi akan datang mungkin bukan sahaja kelihatan berbeza. Cara ia direka, dihasilkan dan disesuaikan kepada pemakainya juga berpotensi berubah sama sekali.