Pantang kalau ada kawan belanja makan, hati mesti berbunga-bunga. Mana taknya, kalau sebelum ini mahu ajak makan, bukan main susah.
Macam-macamlah alasan yang diberi. Sudah kenyanglah, dietlah, paling tidak pun alasannya sudah ada ‘date’ bersama teman-teman lain.
Tetapi apabila disebut mahu belanja, mudah sahaja menukar plan. Lagi-lagi peluang makan di lokasi paling ‘best’… Hah! Apa lagi, ikut ajelah.
Tetapi harus ingat, ada etika atau cara tertentu untuk menerima perlawaan mereka. Nanti tidak pasal-pasal anda dicop ‘pelahap’ atau suka ambil kesempatan.
1. Buat pesanan seadanya
Janganlah kerana kawan belanja, kamu mengambil pesanan diluar kebiasaan. Seeloknya biarkan dia membuat pesanan terlebih dahulu sebelum kamu. Walaupun restoran tersebut punya makanan yang enak-enak, sekat dulu kemahuan kamu yang membuak-buak untuk memesan makanan. Kontrol sikit bro!.
2. Tolak dengan cara berhemah
Jika kamu tidak boleh menolak perlawaan kawan untuk belanja makan tersebut, janganlah tertekan atau rasa terpaksa. Mungkin kamu boleh menolak dengan cara baik ataupun kalau terpaksa keluar kerana dia kawan baik kamu sedangkan kamu kenyang, jangan kecewakannya. Kamu boleh sekadar menemaninya dan minum air sahaja.
3. Berhenti berharap
Walaupun dalam hati kamu tentu berharap kawan yang akan belanja, bersiap sedialah untuk menganggap tiada istilah belanja pada kali ini. Bawalah duit secukupnya untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Mungkin dia terlupa membawa dompet ataupun tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayarnya.
4. Bukan kedekut, tetapi biarlah berpada-pada.
Bagi si tukang belanja pula, janganlah kamu serba salah kalau tidak mengeluarkan duit kali ini. Kalau kamu biasa berbelanja, pastikan hanya kali pertama dan tidak berlanjutan hingga setiap kali keluar. Kawan-kawan kamu akan berkira-kira untuk mengharapkan kamu belanja pula nanti. Bukan kedekut, tetapi dalam istilah ‘adil dan berpada-pada’. Biarlah kawan kamu yang lain pula belanja makan untuk hari-hari lain pula. Bukan apa, takut silap hari bulan poket kamu kering sebelum waktunya.
5. Ikut sahaja, jangan banyak komen
Itu tidak sedap, ini tidak sedap. Aduh, susahnya belanja orang macam ni!Sudahlah makan pun orang belanja, banyak pula komennya. Kalaupun makan tak sedap, janganlah banyak komen hingga menimbulkan ketidakselesaan kepada si tukang belanja.Mungkin diam sahaja ataupun komen sedikit sahaja pun sudah memadai. Pendek kata, belajarlah bersyukur dengan apa yang ada.
6. Buat tawaran untuk belanja
Apakata kali ini kamu pula yang belanja. Biasanya asyik kawan kamu sahaja yang belanja. Memang niat kawan kamu itu ikhlas, tapi tak salah bukan giliran kamu pula belanjanya makan?. Biasalah adat berkawan, kenalah mengambil hati teman mu itu. Baru kamu tidak dianggap suka mengambil kesempatan.
7. Belajar ucap terima kasih
“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”. Jangan pula perut sudah kenyang, kamu buat tak tahu saja. Belajarlah menghargai dan berterima kasih supaya orang yang belanja kamu itu rasa senang hati kerana ada kawan yang baik dan menyenangkan seperti kamu.Dan sebelum beredar dari tempat makan, kalau boleh nyatakan hasrat kamu pula yang akan belanjanya makan suatu hari nanti.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI