
Malaysia kehilangan seorang tokoh besar kesusasteraan apabila Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A. Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Selasa lalu.
Allahyarham yang mesra dipanggil Pak Samad menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.10 petang selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian hadir memberikan penghormatan terakhir di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar pada malam Selasa bersama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Anwar turut menyertai ahli keluarga, rakan penggiat seni dan orang ramai membaca surah Yasin serta mengadakan tahlil ringkas untuk Allahyarham.
Dalam mengenang pemergian Pak Samad, Anwar menyentuh kekuatan karya beliau yang sering membawa pembaca mendekati kehidupan mereka yang berada di pinggir masyarakat.
“Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.
“Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan.”
Dari Dunia Kewartawanan Ke Sasterawan Negara
Dilahirkan sebagai Abdul Samad Muhammad Said pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura sebelum melanjutkan pelajaran di Victoria Institution sehingga memperoleh Sijil Senior Cambridge pada 1956.
Kerjayanya tidak terus bermula sebagai sasterawan.

Pak Samad pernah bekerja sebagai kerani di Hospital Umum Singapura sebelum memasuki dunia kewartawanan menerusi penerbitan seperti Fikiran Rakyat, Utusan Zaman dan Berita Harian. Beliau pernah bekerja bersama tokoh seperti Ahmad Boestamam dan Usman Awang, sebelum akhirnya menjadi Ketua Pengembangan Sastera dalam kumpulan The New Straits Times.
Pengalaman sebagai wartawan memberinya ruang melihat manusia dan masyarakat dari dekat. Pengamatan itu kemudiannya muncul dalam karya yang tidak hanya menceritakan kehidupan, tetapi turut membicarakan kemiskinan, perang, maruah, kemanusiaan dan golongan yang jarang diberikan ruang.

Pada 1985, beliau dianugerahkan Anugerah Sastera Negara, menjadikannya antara tokoh terpenting dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden. Sebelum itu, beliau menerima Anugerah Pejuang Sastera pada 1976 dan SEA Write Award pada 1979.
Karya Yang Membentuk Legasi Pak Samad
Keistimewaan Pak Samad terletak pada kemampuannya bergerak merentasi pelbagai genre termasuk novel, puisi, cerpen, drama dan esei.
Antara karya yang meninggalkan kesan besar terhadap perkembangan sastera Malaysia ialah:
- Salina (1961) – Novel yang mengangkat kehidupan masyarakat selepas perang dan golongan yang sering tersisih. Karya ini turut diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan Perancis.

- Sungai Mengalir Lesu – Mengambil inspirasi daripada pengalaman dan pemerhatian terhadap kehidupan masyarakat yang terkesan akibat peperangan.
- Di Hadapan Pulau – Antara karya penting yang menyentuh kehidupan manusia dalam suasana peperangan dan kesukaran.
- Langit Petang – Novel yang mengangkat persoalan manusia, kehidupan serta perubahan sosial.

- Hujan Pagi – Antara novel terkenal beliau yang terus menjadi rujukan dalam perbincangan kesusasteraan Malaysia.
- Lantai T. Pinkie – Karya drama yang turut dibawa ke pentas dan menjadi antara karya teater Pak Samad yang dikenali.
- Al-Amin – Karya yang memperlihatkan keluasan penulisan Pak Samad di luar realisme sosial yang sering dikaitkan dengannya.
Perpustakaan Negara Malaysia turut menyenaraikan Benih Semalu, Benih Harapan, Warkah Eropah dan Rindu Ibu antara karya pentingnya, sementara beberapa tulisan seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Lantai T. Pinkie pernah diadaptasi ke pentas.
Lebih Daripada Seorang Penulis
Pak Samad bukan hanya dikenang kerana jumlah buku yang ditinggalkan.
Beliau dikenali sebagai seorang yang terus membaca, menulis dan hadir dalam kegiatan sastera walaupun ketika usia semakin lanjut. Anak beliau, Az Samad, mengenang bapanya sebagai individu yang gemar berjalan kaki, hidup sederhana dan kerap menghabiskan masa di kedai buku.
![]()
Anwar pula menyifatkannya sebagai seorang sahabat setia, pencinta seni dan sastera serta “pendidik bangsa”. Malah ketika Anwar berada di Penjara Sungai Buloh, Pak Samad dikatakan tetap mengirimkan karya-karyanya untuk dibaca.
Itulah barangkali sisi yang membuatkan legasi A. Samad Said sukar dipisahkan daripada sejarah budaya Malaysia.
Beliau menulis tentang manusia, tetapi pada masa sama hidup dekat dengan manusia.
Pak Samad mungkin telah pergi, tetapi selama Salina masih dibaca, puisinya masih dipetik dan generasi baharu masih membuka halaman karya-karyanya, suaranya belum benar-benar terdiam.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
