
Tanyalah mana-mana peminat atau pemain bola sepak agak mustahil untuk mereka tidak kenal dengan but bola adidas Predator. But bola yang sangat sinonim dengan pemain legenda seperti David Beckham dan Zinedine Zidane ini pernah menjadi idaman setiap pemain bola sepak seantero global.
But yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1994 tersebut sedikit sebanyak mengubah industri pembuatan kasut bola. Malah teknologi yang diperkenalkan mampu membantu pemain profesional melakukan tendangan lencongan yang lebih jitu dan tepat.
Dan kini yang terbaru adidas meneruskan legasi siri but bola tersebut dengan memperkenalkan Predator 20 Mutator. Baru-baru ini MASKULIN sempat menyertai siri latihan dan pengenalan but bola tersebut yang dianjurkan oleh adidas Malaysia.
Menerusi but bola terbaru Predator ini adidas turut mengetengahkan teknologi barunya iaitu DEMONSKIN. Ia merupakan teknologi yang mampu memberikan lebih ‘grip’pada bola lalu membolehkan pemain melakukan kawalan secara maksima.
DEMONSKIN juga merupakan antara teknologi bola sepak terunggul diperkenalkan pada but bola adidas kerana ia dihasilkan daripada beberapa lapisan ‘spike’. Ia juga telah menjalani banyak ujian serta kajian menerusi pelbagai maklumat pangkalan data serta percubaan.
Sesi eksklusif bersama media dan influencer telah berlangsung di Football Republic Sunway Pyramid. Sejurus selepas itu MASKULIN bersama media lain dibawa ke pada Rhini KV Arena Shah Alam bagi mencuba sendiri pengalaman menggunakan but tersebut.
Beberapa siri latihan dan perlawanan pemanas bada diadakan dan dikendalikan oleh pemain legenda tanah air, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
7 Pati Tumbuhan Yang Bagus Untuk Lelaki

Apabila berbicara tentang aromaterapi, tanggapan salah kebanyakan daripada kita apabila mengaitkannya dengan spa atau pun kaedah rawatan di spa. Aromaterapi sebenarnya adalah rawatan alternatif melalui tumbuh-tumbuhan semula jadi dengan menggunakan ekstrak tumbuh-tumbuhan ini menerusi minyak pati.
Di Malaysia ia masih belum diketahui umum berbanding dengan luar negara. Sama dengan homeopati, aromaterapi biasanya dijalankan menerusi minyak pati disapukan pada kulit. Aroma daripada minyak pati yang disapukan pada kulit akan mengalir ke bahagian sistem saraf dan seterusnya merangsang tubuh badan untuk menghilangkan stres, membaik pulih keadaan fizikal tubuh dan membantu mengawal emosi.
Antara kaedah yang dijalankan untuk menerima rawatan aromaterapi adalah melalui teknik menghidu, wangian udara, rendaman dan yang paling berkesan sudah tentunya teknik urutan. Melalui urutan, minyak pati yang disapukan akan dapat terus masuk ke dalam tubuh badan.
Jangan ingat aromaterapi hanya untuk wanita sahaja. Jejaka juga sesuai untuk menerima kaedah rawatan aromaterapi. Mengapa? Ia jauh lebih mudah khususnya untuk jejaka yang tidak mempunyai masa. Setiap minyak pati ada kebaikannya sendiri.
Kaedah Rawatan
– Kebanyakan minyak pati aroma terapi semudah dihidu sahaja namun lebih berkesan sekiranya disapukan pada kulit tubuh badan.
– Ia boleh disemburkan dan bertindak sebagai wangian udara.
– Campurkan bersama ke dalam air rendaman ketika mandi.
– Sapukan terus pada bahagian kulit.
Kebaikan Aroma Minyak Pati Mengikut Jenis
Khusus Untuk Jejaka
1. Tea Tree
– Biasanya disapukan selepas bercukur kerana ia bertindak sebagai agen anti-fungus. Sangat berkesan untuk permasalahan kulit seperti jerawat.
– Khusus untuk permasalahan rambut seperti botak, sapukan ia pada bahagian kulit kepala untuk merangsang pertumbuhan rambut.
2. Rosemary
Sekiranya berasa stres dan tidak dapat fokus bekerja, hidu minyak pati rosemary untuk mendapatkan semula tumpuan 100%.
3. Bunga Kenanga
– Membantu untuk menghilangkan rasa kemurungan, dapat meningkatkan tahap ‘relaxation’ serta meredakan sakit urat. Aroma bunga kenanga juga dapat membantu merangsang keintiman (sexual desire).
4. Lemon
Digunakan sebagai deodoran kerana minyak pati lemon bertindak sebagai agen anti-bakteria menghilangkan bau yang kurang enak. Ia juga dapat mengelakkan permasalahan perut buncit, begitu juga dengan ke semua minyak pati nota sitrus seperti lime, oren, dan juga bergamot
5. Lavender
Aroma yang cukup sinonim untuk menghilangkan stres, ia juga boleh membaik pulih kulit agar kelihatan anjal dan licin serta menghilangkan luka.
6. Peppermint
Ia membantu untuk menghilangkan rasa sakit kepala dan juga permasalahan dalaman seperti ketegangan urat serta memperbaiki sistem penghadaman.
7. Eucalyptus
Sangat berkesan untuk permasalahan sistem respirasi seperti penyakit lelah, selesema dan juga resdung. Ia dipercayai dapat menghilangkan rasa hidung tersumbat.
Kaedah Menggunakannya
– Campurkan sedikit ke dalam produk yang digunakan seperti syampu sebagai contohnya apabila menggunakan minyak pati tea tree. Untuk lemon pula, campurkan ia bersama dengan deodoran.
– Anda juga boleh mencampurkannya dengan minyak sayuran (botanikal) seperti blackseed, jojoba dan juga grapefruit untuk terus menyapukannya pada permukaan kulit.
Fon Telinga Powerbeats Pro Wireless Dari Apple Kini Di Pasaran Malaysia

Walaupun populariti jenamanya dikatakan sedikit menurun berbanding dahulu namun Apple masih lagi mempunyai tahap relevan yang tinggi dalam industri global peranti.
Antara jenama pemilikan yang berada di bawah empayar Apple ialah beats, pengeluar audio berkualiti tinggi. Dan terbaru Apple memperkenalkan Powerbeats Pro yang dicanang sebagai fon telinga tanpa wayar yang dibina khas untuk atlet elit dan pengguna peranti premium.
BACA: 6 Tip Elak Ditipu Ketika Urus Niaga Jual Beli Gajet Online
TAHAN LEBIH LAMA
Menariknya fon telinga tanpa wayar serba sporty ini menggunakan chip Apple H1 yang sama seperti AirPods generasi kedua. Sebagai jenama yang sangat sinonim dengan penggemar audio, peranti ini juga menawarkan masa penggunaan yang jauh lebih lama berbanding AirPods iaitu hampir dua kali ganda.
Ia juga menyokong penggunaan hands-free dengan Siri. Dengan hanya ucapan ‘Hey, Siri’, pengguna boleh melakukan arahan suara tanpa perlu mengeluarkan iPhone dari poket. Menurut Apple juga, Powerbeats Pro mempunyai sambungan tanpa wayar yang boleh bertindak dengan cukup pantas.
WARNA BERBEZA
Bagi peminat peranti audio, Powerbeats Pro kini mula dijual di atas talian menerusi Apple Store rasmi di Malaysia dengan harga RM999. Walaupun ditawarkan untuk empat warna berbeza namun untuk masa hanya warna hitam sahaja boleh didapati untuk pasaran Malaysua.
Tiga warna lain yang tidak kurang menarik juga ialah Ivory, Moss dan Navy. Powerbeats Pro juga mempunyai butang fizikal kawalan suara pada bahagian atas manakala logo beats pula boleh digunakan untuk memutuskan panggilan telefon yang masuk.
Ia mempunyai ketahanan bateri yang cukup lama dengan masa mendengar berterusan selama 9 jam. Untuk setiap belioan pengguna akan mendapat Powerbeats Pro, bekas pengecasan, eartips dengan 4 saiz berbeza, kabel pengecasan lightning USB-A, kad warranti dan panduan mula.
Kurangkan Berat Badan Serta Lakukan Senaman Untuk Elak Hipertensi!

Jika anda baru atau sudah lama didiagnosis dengan masalah hipertensi, pasti anda tercari-cari penawar darah tinggi yang berkesan bagi memastikan komplikasi masalah kronik tersebut boleh diminimumkan.
Percaya ataupun tidak, kebanyakan tip kesihatan yang sering dianggap berkesan dalam memastikan tekanan darah terkawal berbentuk perubahan gaya hidup individu. Tanpanya, sukar untuk anda menangani masalah kronik ini dengan berkesan.
Artikel ini berkisar tentang 4 jenis penawar darah tinggi yang boleh diamalkan bersama preskripsi ubat. Ya, ubat masih perlu diambil seperti yang disarankan oleh doktor. Teruskan membaca untuk maklumat lanjut.
#1 Senaman secara berkala
Mungkin tip pertama ini kelihatan seperti cliche namun pelbagai jenis kajian telah membuktikan keberkesanan senaman dalam mengawal tekanan darah pesakit hipertensi. Sememangnya senaman merupakan antara aspek terpenting bagi setiap individu untuk kekal sihat. Ia merupakan penawar darah tinggi semula jadi yang sering tidak diendahkan.
Tinjauan semula terhadap 27 kajian rawak terkawal (randomized controlled trial) yang melibatkan 1,480 subjek telah mendapati bahawa purata kesan senaman terhadap penurunan tekanan darah bagi pesakit hipertensi berada pada kadar 10.8/4.7 mmHg (tekanan darah sistolik/tekanan darah diastolik).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan pelaksanaan aktiviti fizikal berintensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Ada ahli akademik yang menganggap saranan durasi tersebut sebenarnya tidak mencukupi namun pokok pangkalnya, anda perlu bersenam untuk memastikan tahap kesihatan anda berada pada keadaan baik.
Jika anda jarang melakukan senaman, janganlah pula anda memulakan rutin anda dengan senaman berat. Bagi mereka yang suka bersenam di gim, mulakan dengan pemberat yang ringan. Bagi individu yang suka bersenam di luar, anda boleh melakukan aktiviti joging, mendaki bukit dan berenang.
Bersenam bukan sahaja dapat memberikan kecergasan fizikal dan kecerdasan minda, ia juga mampu menghindarkan penyakit kronik jika digabungkan dengan faktor lain seperti pemakanan dan tidur. Dalam konteks artikel ini, ia merupakan penawar darah tinggi yang dapat mengekalkan bacaan tekanan darah pada kadar normal.
#2 Gaya pemakanan DASH
Senaman tidak akan berkesan jika anda makan tanpa menghiraukan tentang keseimbangan nutrisi makro dan mikro pada struktur diet anda. Antara pelan pemakanan yang telah diiktiraf sebagai penawar darah tinggi adalah diet DASH (Dietary Approach to Stop Hypertension).
Jika dilaksanakan dengan betul, pelan pemakanan tersebut dapat membantu pesakit hipertensi menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik pada nilai purata 11 mmHg dan 5.5 mmHg. Anda tidak wajib untuk melaksanakan gaya pemakanan sebegini memandangkan terdapat pelbagai jenis pelan diet yang turut berkesan dalam mengubati hipertensi.
Namun, anda perlu mengawal gaya pemakanan agar tekanan darah anda terkawal. Antara tip yang boleh diguna pakai bagi mereka yang ingin mengamalkan diet DASH adalah seperti berikut:
- Kurangkan makanan berlemak
- Lebihkan pengambilan bijirin, kekacang, ayam dan ikan
- Pastikan anda mengambil hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan pada setiap hidangan makanan. Gantikan snek anda dengan buah-buahan
- Jika anda tidak mahu makan buah sebagai snek, ambil kekacang tanpa garam, kismis atau yogurt rendah atau tanpa lemak
- Kurangkan pengambilan daging merah. Jika boleh, fokuskan kepada pengambilan sayur-sayuran dan protein daripada produk tenusu
- Kurangkan pengambilan mentega, sos dan bahan perasa yang lain
- Pastikan anda membaca label makanan sebelum membeli sesuatu produk makanan. Utamakan makanan yang rendah natrium dan kaya dengan kalium, magnesium dan kalsium
Jika anda ingin tahu berkenaan dengan corak pemakanan anda, maka adalah lebih baik jika anda merekodkan pengambilannya di dalam diari makanan. Melalui cara ini, anda boleh memantau corak pengambilan makanan dan membuat perubahan pada aspek tertentu jika anda ingin memaksimumkan kesan pengamalan diet tersebut.
#3 Kurangkan berat anda
Di Asia Tenggara, Malaysia tidak asing lagi dengan masalah obesiti. Peningkatan terhadap insiden obesiti amat membimbangkan berikutan kaitannya dengan pelbagai jenis penyakit kronik termasuklah hipertensi.
Pengurangan berat badan merupakan penawar darah tinggi yang boleh dianggap mujarab. Secara amnya, anda terlindung daripada masalah tekanan darah tinggi jika anda mampu mengurangkan 4.5 kg (10 pounds) daripada berat badan asal.
Namun, jika anda telah mengimplementasikan pelan untuk menurunkan berat badan, fokus anda seharusnya bukan pada jumlah berat badan anda. Beri tumpuan kepada ukur lilit pinggang anda. Lapisan yang menyelaputi keliling pinggang yang dikenali sebagai lemak visera adalah masalah yang perlu ditangani.
Lemak ini kebiasaannya akan berkumpul pada organ dalaman di bahagian abdomen dan boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi kesihatan termasuklah tekanan darah tinggi. Menurut WHO, bagi populasi Asia, ukur lilit pinggang bagi lelaki dan wanita perlu kurang daripada 85 cm dan 80 cm.
Ukuran melebihi nilai tersebut boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit metabolik. Jika anda tercari-cari akan penawar darah tinggi yang berkesan, kurangkan berat badan anda.
#4 Kurangkan pengambilan garam
Ramai orang tahu bahawa kalau nak kurangkan tekanan darah kena kurangkan garam dalam makanan, kan? Garam, atau lebih spesifik lagi natrium, merupakan nutrisi mikro yang sering dikaitkan dengan risiko hipertensi. Walaupun garis panduan pengurangan pada pengambilan makanan boleh memberikan kebaikan, namun ia boleh menjadi kontroversial.
Ini berikutan bukan semua individu akan mendapat kebaikan yang setaraf daripada gaya pemakanan rendah natrium dan jika diambil terlalu sedikit, ia turut boleh mendatangkan kemudaratan. Sama ada ia menjadi penawar atau bukan penawar darah tinggi, ia bergantung kepada keperluan individu seharian.
Bagi mereka yang didiagnosis dengan hipertensi, Persatuan Jantung Amerika telah menyarankan kadar natrium di antara 1,500 mg hingga 2,300 mg sehari. Dengan kata lain, jumlahnya tidak sampai satu sudu teh garam sehari. Jumlah ini tidak termasuk dengan penggunaan rempah ratus yang turut mengandungi garam campuran.
WHO telah mengeluarkan saranan yang berbeza. Mereka menyarankan pengambilan garam tidak melebihi 5,000 mg dan saranan ini bertepatan dengan beberapa kajian yang menerangkan perihal kemudaratan apabila seseorang individu itu mengambil sumber natrium yang tidak mencukupi.
Dalam kajian tinjau semula yang dijalankan oleh pengkaji daripada beberapa buah negara termasuk Malaysia pada tahun 2016 telah mendapati bahawa mereka yang mengambil jumlah natrium kurang daripada 3,000 mg sehari berisiko untuk mendapat masalah jantung berbanding dengan mereka yang mengambil natrium pada kadar 4,000-5,000 mg sehari.
Untuk kemudahan para pembaca, sukatan natrium adalah seperti berikut:
- ¼ sudu teh garam = 575 mg natrium
- ½ sudu teh garam = 1,150 mg natrium
- ¾ sudu teh garam = 1,725 mg natrium
- 1 sudu teh garam = 2,300 mg natrium
Sebagai pengguna, kita tidaklah selalu sedar berkenaan dengan jumlah garam yang ada di dalam makanan kita. Namun, jika anda mula memantau jumlah pengambilan garam, ia boleh menjadi penawar darah tinggi terbaik buat anda. Dapatkan khidmat nasihat daripada doktor anda jika terdapat kekeliruan pada subjek tersebut.