
Ahli BTS bukti aura luar biasa apabila kehadiran Taehyung atau lebih dikenali sebagai V berjaya mencetuskan fenomena global di Stadium Dodger, Los Angeles. Lontaran pertamanya dalam perlawanan Major League Baseball (MLB) pada 26 Ogos lalu bukan sahaja memukau ribuan penonton, malah melonjakkan jualan tiket sehingga lima kali ganda.
Taehyung, 30, tampil penuh bergaya mengenakan jersi Dodgers ketika melangkah masuk ke padang. Saat lagu ikonik BTS, MIC Drop bergema di seluruh stadium, sorakan gemuruh ARMY bergema mengiringi langkahnya. Lontaran bola pertamanya dianggap sempurna oleh ramai pengulas dan peminat, malah ada yang berseloroh beliau seakan layak ditawarkan kontrak sebagai pemain profesional.
Selepas lontaran itu, Taehyung kembali ke tengah padang melaungkan frasa ikonik “It’s time for Dodger baseball!” – ayat keramat penyiar legenda Vin Scully. Keyakinannya menambah lagi kehangatan suasana, menjadikan stadium seolah-olah berubah menjadi pentas konsert mini BTS.
Fenomena ini turut mencatat sejarah apabila platform jualan tiket StubHub melaporkan lonjakan lebih lima kali ganda jualan tiket sebaik sahaja pengumuman tentang kemunculan Taehyung dibuat. Malah, sistem mereka sempat tergendala kerana trafik pembelian yang luar biasa tinggi – bukti betapa kuatnya tarikan seorang bintang K-Pop bertaraf dunia.
Pengulas sukan di lokasi juga tidak ketinggalan memberi pujian, menyifatkan V sebagai “sensasi global” yang mampu mengubah momentum jualan hanya dengan pengumuman ringkas.
Bagi Taehyung sendiri, detik ini cukup bermakna kerana pernah menonton perlawanan sama bersama ahli BTS lain ketika baru debut dahulu. “Kali ini dapat kembali semula memberikan saya rasa nostalgia yang istimewa. Jika diberi peluang lagi, saya mahu melakukannya semula,” katanya dalam kenyataan BigHit Music.
Kehadiran pelantun lagu Slow Dancing itu sekali lagi menghubungkan peminat K-pop dengan dunia sukan. Malah, pengaruhnya kini melebar jauh melepasi dunia muzik – menjadi wajah utama jenama fesyen mewah, produk gaya hidup premium dan kempen global.
Fenomena ini memberi inspirasi jelas buat lelaki bahawa karisma tidak lahir semata-mata dari rupa paras, tetapi hasil gabungan keyakinan diri, disiplin kerja keras dan imej konsisten. Taehyung membuktikan bahawa seorang lelaki boleh menjadi ikon global jika mampu membina jenama diri dengan usaha dan keaslian.
Dengan BTS bakal kembali dengan projek muzik baharu serta jelajah dunia berskala besar pada tahun 2026, tidak syak lagi fenomena K-pop masih terus mendominasi dunia. Taehyung pula sudah pun mengukuhkan dirinya sebagai simbol maskulin bertaraf antarabangsa dari pentas muzik, stadium sukan, hingga dunia fesyen.