Andai diimbas fenomena dicetuskan kumpulan pelawak, Senario sejak bertapak pada 1996 melalui sitkom terbitan TV3, pasti ramai masih ingat dan rindukan jenaka serta mesej terselit dalam persembahan mereka.

Jenaka berunsur kisah rakyat dibawa kumpulan dibarisi Wahid, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Shamsul Ghau Ghau, Farouk Hussain, Ilya Buang dan Allahyarham Hamdan Ramli sebelum disertai Saiful Apek dan Yassin Yahya, memahat memori bermakna buat peminat.

Mewarnai kehidupan penonton di rumah dengan pelbagai celoteh mencuit hati melalui sitkom yang diterbitkan dari 1996 hingga 2013, Senario pantas menjadi sebutan ramai, lantas membuka jalan kepada genre komedi mengisi slot perdana.

Akui Masih Ada Peminat, Senario Tunggu Tawaran Stesen TV
Foto: Tangkap layar musim ke-9 sitkom Senario, episod 7.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, selepas detik keemasan kumpulan dianggotai bekas peserta program realiti komedi terbitan TV3, Sinaran Pasport Kegemilangan itu, populariti mereka sebagai jenama pelawak tersohor, kian pudar, apatah lagi dengan kebangkitan pelawak generasi baharu.

Barangkali faktor kurangnya muncul dalam program komedi televisyen (TV) sebagai sebuah kumpulan, menjadi punca Senario dilihat tidak aktif.

Mengulas situasi melanda Senario sekarang, Azlee berkata, sambutan peminat masih menggalakkan seperti awal kemunculan mereka. Namun, Senario ternanti-nanti pelawaan stesen TV untuk menerbitkan kembali sitkom Senario.

Azlee atau nama sebenar, Muhammad Azlee Jaafar mengaku ada usaha untuk berbincang dengan stesen TV untuk Senario membuat kemunculan semula.

Stesen TV Belum Buat Keputusan

“Sebenarnya, Senario masih ada ramai peminat. Jadi, kami harap ada stesen TV yang boleh beri peluang dan ruang kerana ramai peminat meluahkan rindu terhadap kami.

IKLAN

“Kami ada berbincang dengan stesen TV, tetapi, masih belum ada kata putus. Kami tidak kisah tawaran itu datang daripada mana-mana stesen TV. Apa yang penting, sitkom Senario dapat diwujudkan semula.

“Sejujurnya, memang ramai peminat yang bertanya. Tetapi kami tidak boleh beri apa-apa jawapan sebab hak penyiaran tertakluk kepada stesen TV,” katanya kepada BH Online.

Akui Masih Ada Peminat, Senario Tunggu Tawaran Stesen TV
Foto: Tangkap layar musim ke-12 sitkom Senario, episod 1.

Azlee yang berasal dari Johor berkata, hasrat kembali aktif sudah lama dibincangkan bersama anggota lain.

“Kami hendak buat kemunculan semula. Kami harap ada yang sudi ambil atau berminat untuk merealisasikan hasrat ini. Rata-rata peminat yang membesar dengan sitkom kami sememangnya berharap.

IKLAN

“Tapi, mungkin TV ada urutan atau sistem tersendiri untuk terbitkan mana-mana sitkom. Namun, kami tetap mencuba dengan harapan ada stesen TV hendak ambil Senario lagi,” katanya.

Senario Belum Berhenti

Azlee percaya Senario masih memiliki aura kuat dan mampu memberi pengaruh kepada masyarakat. Namun, mereka perlu membuat penambahbaikan supaya dapat menambat hati audiens sekarang.

“Senario belum berhenti beraksi lagi. Namun, bagaimana hendak bergerak kalau tidak dapat tawaran. Sekarang, kami banyak buat ‘show’ (menyanyi) dan penggambaran filem. Untuk sitkom, masih belum ada apa-apa tawaran.

“Kami punya cerita berubah-ubah. Mungkin akan kekalkan konsep lama, cuma diperbaharui dengan beberapa elemen tambahan seperti persembahan muzik secara ‘live’ atau pelbagaikan jalan cerita.

IKLAN

“Kami fikir masih banyak perkara boleh dibuat mengenai isu semasa. Malah, Senario juga terkenal dengan konsep cerita rakyat,” katanya.

Mahu Himpun Anggota Yang Masih Ada

Azlee berkata, jika diberi peluang, Senario mahu menghimpunkan semua anggota yang masih bertahan iaitu Yassin, Wahid, Lan, Saiful Apek dan Ilya manakala Allahyarham Hamdan akan digantikan anaknya.

“Sekarang Senario hanya tinggal enam anggota selepas pemergian Allahyarham Hamdan. Setakat ini, perancangan adalah untuk menggantikan posisi arwah adalah anaknya sendiri.

“Kami mungkin akan ambil anak arwah sebagai tetamu jemputan bagi memperkenalkan wajah dan menonjolkan bakatnya kepada khalayak,” katanya.

Sumber: Berita Harian

BACA: Penutup Kerjaya Solo Tiga Dekad, Awie Pentaskan Konsert Solo Terakhir

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI