
Dalam dunia penjagaan diri dan kecantikan, terdapat bahan semulajadi yang semakin popular kerana kepelbagaian manfaatnya iaitu gel lidah buaya (aloe vera gel). Di sini Maskulin senaraikan bagaimana gel ini boleh membawa manfaat kepada rutin penjagaan penampilan lelaki.
Gel Pencukur

Sebelum mencukur, sapukan gel lidah buaya untuk melembutkan janggut atau bulu dan mempersiapkan kulit. Ia membantu bilah pisau meluncur dengan lancar, mengurangkan risiko terluka. Dengan ini, ia boleh menggantikan fungsi krim pencukur.
Rawatan Pasca Cukur (Post-shave)

Sifat anti-radang semulajadi membantu menenangkan kulit yang teriritasi dan mencegah kerengsaan akibat pencukuran. Sapukan lapisan nipis gel lidah buaya selepas mencukur untuk kulit yang halus dan selesa. Tidak perlu membeli krim pasca cukur yang berasingan, mudah dan jimat bukan?
Pelembap

Lidah buaya adalah pelembap ringan dan tidak berminyak yang sesuai untuk semua jenis kulit. Ia menghidratkan kulit tanpa menyumbat pori-pori, menjadikannya pilihan yang sangat baik untuk kegunaan harian. Gunakan sebagai pelembap tunggal atau campurkan dengan losyen kegemaran anda.
Penjagaan Selepas Matahari

Sifat sejuk dan melegakan gel lidah buaya adalah sangat baik dalam merawat kulit yang terjejas akibat matahari. Simpan botol gel lidah buaya dalam beg anda untuk memberi kelegaaan segera kepada kulit yang rosak akibat matahari. Oleh itu, anda mampu mencegah kerosakan dari menjadi lebih teruk.
Legakan Kegatalan

Sepeti yang disebutkan di atas, gel ini sangat terkenal dengan sifat memberi kelegaan. Oleh itu, ia juga mampu melegakan kegatalan pada kulit yang sensitif dengan debu-debuan ataupun gigitan serangga.
Penggayaan Rambut

Selain kegunaan pada kulit, gel lidah buaya boleh digunakan sebagai produk penjagaan rambut. Ia memberikan ketahanan gaya rambut semulajadi tanpa rasa melekit seperti kebanyakan produk gel rambut lain. Lumurkan sedikit gel lidah buaya ke rambut anda untuk penampilan yang segar dan kemas.
Tambahan pula, kebanyakan produk penggayaan rambut berpotensi menjejaskan kulit wajah dan mengakibatkan jerawat jika terkena wajah, misalnya melalui peluh yang mengalir atau jika rambut anda cukup panjang untuk menyentuh kulit wajah anda. Dengan gel lidah buaya, anda tidak perlu khuatir akan perkara ini memandangkan ia juga boleh digunakan pada wajah.
Gel lidah buaya benar-benar adalah permata serbaguna yang boleh meningkatkan rutin penjagaan diri anda dalam pelbagai cara. Ia juga boleh didapati di pasaran dengan harga yang murah. Jika anda belum mempunyai sebotol gel ini di rumah anda, segeralah dapatkannya. Jadikan gel lidah buaya sebagai bahan asas penjagaan diri anda, dan nikmati manfaat semulajadi dan serbaguna yang ditawarkannya.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Rimasnya Bila Kulit Kepala Berjerawat! Kalau Tak Nak Kena, Jangan Abaikan Perkara Ini

Siapa yang tidak rimas kalau kulit kepala berjerawat? Jerawat yang ada di muka pun belum settle, tumbuh pula jerawat di kulit kepala.
Selain menjengkelkan, kulit kepala berjerawat ini juga menyakitkan dan ia sering mengakibatkan rambut mudah gugur dan timbul bau yang kurang menyenangkan jika jerawat bernanah.
KebiasaaNnya kulit kepala berjerawat berlaku apabila liang-liang rambut tersumbat dengan kekotoran dan minyak.
Ini menyebabkan folikel pada kulit kepala membesar dan berkemungkinan dijangkiti bakteria jika anda tidak membersihkan kulit kepala dengan sebaiknya.
Untuk mengelakkan kulit kepala berjerawat dan timbul masalah keguguran rambut, pastikan anda tidak mengabaikan perkara-perkara penting ini.
1. Malas Mencuci Rambut
Sikap malas mencuci rambut bukan sahaja akan menyebabkan rambut menjadi kusam dan berbau, ia juga menjadi punca kulit kepala berjerawat dan gatal. Pastikan anda mencuci rambut dengan syampu yang sesuai sebanyak tiga kali seminggu. Selain berkesan untuk mencegah dan menghapuskan kelemumur, mencuci rambut secara teratur juga boleh menghalang kegatalan dan munculnya jerawat pada kulit kepala.
2. Tidak Cukup Tidur

Kurang tidur juga menjadi punca jerawat timbul di kulit kepala kerana tubuh badan anda terganggu untuk membiak semula sel-sel kulit yang mati. Bahkan kekurangan tidur juga menyebabkan proses metabolisme tubuh berjalan dengan tidak sempurna. Itulah sebabnya pentingnya tidur yang cukup dan berkualiti agar anda mendapat tubuh badan yang sihat, segar dan bermaya.
3. Tidak Cuci Syampu Dengan Bersih

Pastikan anda mencuci rambut sebersih-bersihnya selepas bersyampu untuk mengelakkan sisa-sisa syampu melekat pada kulit kepala. Jika tidak dibersihkan dengan sempurna, akan timbul masalah jerawat di kulit kepala kerana liang-liang rambut anda tersumbat. Oleh itu, gandakan aktiviti membilas rambut selepas menggunakan syampu bagi mengelakkan perkara ini terjadi.
4. Menggunakan Tuala Yang Kotor
Antara sebab utama hadirnya jerawat di kulit kepala adalah disebabkan anda sendiri tidak menjaga kebersihan. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika anda sering menggunakan tuala mandi yang lembap dan tidak bersih. Selain itu, penggunaan sarung bantal yang kotor juga menyumbang kulit kepala kotor dan berjerawat. Sebaiknya ganti tuala mandi anda dengan yang baharu seminggu sekali, begitu juga dengan cadar dan sarung bantal yang ditukar sekurang-kurangnya dua minggu sekali.
5. Tidak Pandai Menguruskan Tekanan

Tekanan adalah sesuatu yang sering dialami oleh ramai individu terutamanya jika harus menyiapkan sesuatu kerja dalam masa yang singkat. Tekanan yang tidak terkawal untuk tempoh masa yang lama boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk jerawat pada kulit kepala. Oleh itu, penting untuk anda menguruskan tekanan dengan baik agar tidak mendatangkan kesan negatif terhadap penampilan diri.
6. Terdedah Kepada Cuaca Panas
Kulit kepala yang terdedah kepada cuaca panas dan berhabuk turut menyumbang kepada kehadiran jerawat di kulit kepala. Ini kerana cuaca panas diiringi dengan minyak dan habuk boleh melekat pada liang-liang kulit kepala dan menjadi punca bakteria merebak sehingga timbulnya jerawat. Oleh itu, anda digalakkan memakai topi untuk melindungi kulit kepala daripada habuk dan cuaca panas. Namun elak pakai topi dalam tempoh yang lama kerana ia boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kulit kepala.
7. Tidak Menjaga Pemakanan
Diet pemakanan juga penting dan perlu dititikberatkan. Kurangkan pengambilan makanan seperti udang, ketam dan kerang kerana ia boleh merangsang kulit kepala mudah gatal dan naik jerawat. Pengambilan makanan yang seimbang penting untuk penumbuhan rambut sekali gus menyihatkan kulit kepala.
8. Pakai Topi Tempoh Yang Lama

Tidak dinafikan pemakaian topi elok untuk melindungi diri daripada cuaca panas dan habuk, akan tetapi jika anda terlampau kerap memakai topi setiap masa walaupun cuaca tidak panas ia boleh menjadi punca munculnya jerawat di kulit kepala. Kulit kepala yang tertutup terlalu lama boleh menyebabkan perpeluhan dan membuatkan pori-pori kulit kepala tersumbat dan menghasilkan jerawat yang terhasil daripada campuran bakteria serta kekotoran.
Follow Instagram MASKULIN
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Rambut Boleh Kekal Bersinar, Sihat & Lebat Dengan 15 Tip Penjagaan Ini!

Anda pernah lihat bintang Hollywood? Lihat saja pelakon-pelakon popular seperti Chris Hemsworth, Brad Pitt, Tom Cruise dan ramai lagi. Walaupun ada yang umurnya sudah nak masuk setengah abad tapi gaya rambut mereka masih steady dan hebat!
Mungkin ada yang beranggapan dengan duit boleh beli segalanya termasuklah rambut yang cantik. Ya, ada benarnya tapi itu bukan tiket untuk buat anda putus asa dan terus membiarkan rambut tak terurus.
Tahukah anda apakah rahsia bintang Hollywood menjaga rambut mereka sentiasa nampak kemas, sihat dan bersinar? Jom ikuti 15 rahsia tip penjagaan rambut mereka di bawah!
JANGAN TERLALU KERAP BASUH
Ini antara kesalahan rookie yang banyak dilakukan oleh lelaki. Usah terlalu kerap menggunakan syampu yang mempunyai bahan kimia setiap hari. Cukuplah dalam seminggu anda mencuci rambut menggunakan syampu sekadar 3 atau 4 kali sahaja.

KERINGKAN DENGAN BAIK
Jangan sesekali menggosok rambut dengan tuala menggunakan kekerasan. Dalam kondisi basah rambut terdedah untuk rosak dengan mudah. Keringkan rambut dengan cara lap dengan perlahan-lahan.
SIKAT RAMBUT DENGAN BAIK
Jika rambut anda makin menipis, carilah gaya potongan rambut yang sesuai. Usah sembunyikan kawasan bertompok yang nipis dengan menyikat rambut ke sebelah kawasan itu. Ia bukan sahaja buruk malah buatkan anda nampak macam sangat desperate.
GUNA TELUR
Ya, telur ada banyak khasiat seperti protein dan mineral. Sekali-sekala anda boleh gunakan kuning telur sebagai perapi semulajadi. Biarkan ia menyerap masuk ke bahagian liang folikel rambut anda.
JAUHI KLORIN!
Kandungan klorin terutamanya di kolam renang merupakan ramuan bencana buat rambut anda. Ini kerana ia boleh membuatkan rambut menjadi kering dan mengeras. Jika anda ingin mandi di kolam renang gunalah penutup kepala atau spukan sedikit perapi.

GUNA PRODUK BERPADA-PADA
Usah terlalu teruja untuk mencuba segala macam produk penjagaan rambut. Penggunaan terlalu banyak produk ini mendedahkan rambut anda dengan pelbagai kandungan kimia.
SYAMPU BERFORMULA KHAS
Sebelum membeli dan menggunakan mana-mana syampu pertama sekali anda harus pastikan jenis rambut anda. Carilah syampu yang sesuai dengan rambut dan yang mengandungi bahan-bahan mesra alam dan mampu memberi kadar pH yang seimbang.
BASUH TAPI JANGAN ULANG
Ada sesetengah orang bila mandi suka mengenakan syampu melebihi satu kali. Bagi mereka cucian berkali-kali membuatkan rambut lebih bersih. Sebenarnya tabit itu sangat buruk untuk kesihatan rambut.
KURANGKAN SUHU
Tidak salah untuk menggunakan alat pengering rambut. Namun sebolehnya kurangkan sedikit tahap kepanasan yang anda gunakan. Atau untuk kesihatan berpanjangan cuba elak sama sekali daripada menggunakan pengering rambut.
SELALU TRIM RAMBUT
Setiap orang mempunyai kadar pertumbuhan rambut yang berbeza-beza. Namun majoritinya rambut akan mula tumbuh sedikit panjang selepas 4 hingga 6 minggu. Usah biarkan rambut anda serabai. Kunjungilah kedai gunting rambut sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk melakukan kemasan rambut.
MANDIAN SEJUK
Tahukah anda air sejuk boleh menutup kapilari darah pada kulit kepala. Kapilari darah ini berfungsi membawa pelbagai jenis nutrien yang diperlukan bagi mengelakkan rambut menjadi rosak. Jadi dengan mandi menggunakan air yang sejuk boleh membantu rambut menjadi lebih sihat.
ELAK WARNA
Antara punca utama rambut lelaki cepat rosak ialah tabiat mewarnakan rambut berulang kali. Minimumkan penggunaan bahan kimia terutamanya yang terdapat di dalam pewarna rambut.
ALAT YANG BETUL
Pastikan juga anda sentiasa menggunakan alatan yang betul untuk menguruskan rambut. Rambut merupakan bahagian yang sangat sensitif. Elakkan guna sikat yang mempunyai jarak ruang terlalu kecil.
TOPI KETAT
Menggayakan topi yang ketat di bahagian kepala juga tidak baik untuk kesihatan rambut untuk jangka masa yang lama.
PEMAKANAN YANG SIHAT
Diet yang sihat menjamin tubuh badan yang sihat. Begitu juga dengan rambut. Jika anda amalkan gaya hidup yang sihat ia akan turut mempengaruhi kesihatan rambut. Rambut yang sihat dan bersinar kebiasaannya datang daripada amalan diet yang sempurna.
Semoga 15 tip penjagaan rambut ini boleh memberikan manfaat buat anda, lelaki tampan yang ingin sentiasa bergaya dan sihat.
Selamat mencuba!
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Sakit Gigi Dan Gusi, Atasi Dengan Cara Tradisional

Perkara ini berlaku untuk semua peringkat umur. Anak-anak, remaja, hingga orang dewasa kerap mengalami sakit gigi. Puncanya pun bermacam-macam, seperti kerana adanya timbunan nanah di bahagian dasar gigi akibat jangkitan bakteria yang menimbulkan keradangan, gigi retak, susut gusi, kerosakan gigi yang mewujudkan lubang, tampalan gigi rosak, serta gigi tumbuh yang terapit.
Petua Hilangkan Sakit Gigi Tanpa Ubat
- Permulaan, siapkan dua ulas bawang putih, satu ulas cengkeh, satu sudu teh garam, dan beberapa titis minyak zaitun.
- Tumbuk semua bahan tadi hingga menjadi pes.
- Selepas jadi pes, tempelkan pada bahagian luar gigi yang sakit selama 30 minit.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang

