Ads

Apa Itu Filem ‘Coming of Age’ Dan Kenapa Genre Ini Dekat Dengan Lelaki

FILEM

Filem coming of age tentang lelaki sering kelihatan sederhana pada permukaan. Seorang remaja berpindah ke sekolah baharu, cuba mencari tempat dalam kelompok tertentu, berdepan konflik keluarga, jatuh cinta, bergaduh dengan sahabat atau terjebak dalam dunia yang jauh lebih keras daripada kehidupannya sebelum itu.

Namun di sebalik segala konflik tersebut, genre ini sebenarnya berbicara tentang satu perkara yang jauh lebih besar, iaitu proses seorang lelaki memahami identiti, nilai dan pilihan yang akhirnya membentuk diri.

Istilah coming of age mempunyai hubungan rapat dengan tradisi sastera Bildungsroman, iaitu karya yang mengikuti perkembangan psikologi dan moral seseorang daripada usia muda menuju kematangan.

Apabila konsep tersebut berpindah ke layar perak, asasnya kekal sama. Watak utama perlu melalui pengalaman yang mengubah cara dia melihat dirinya dan atmosfera dunia sekeliling.

Sebab itulah tidak semua filem berlatar sekolah atau mempunyai watak remaja secara automatik boleh dianggap sebagai naskhah coming of age. Perubahan dalaman watak merupakan elemen yang paling penting. Ia umpama kita melihat dunia dari perspektif watak yang ditonjolkan.

Apa Itu Filem 'Coming of Age' Dan Kenapa Genre Ini Dekat Dengan Lelaki
‘Rebel Without a Cause’ (1955) menampilkan James Dean

Dalam sejarah perfileman, karya seperti Rebel Without a Cause memperlihatkan keresahan generasi muda yang berdepan keluarga, masyarakat dan persoalan identiti, manakala The 400 Blows membawa penonton memahami seorang budak bermasalah bukan sekadar melalui tindakannya, tetapi melalui persekitaran yang membentuknya.

Pendekatan ini menjadi salah satu kekuatan utama genre tersebut kerana ia tidak sekadar bertanya mengapa seseorang bertindak buruk, sebaliknya cuba memahami bagaimana dia sampai ke tahap itu.

Kenapa Lelaki Mudah Relate Dengan Genre Ini?

Remaja lelaki sering melalui tempoh apabila mereka mula mempersoalkan makna menjadi seorang lelaki.

Ada tekanan untuk kelihatan kuat, tak boleh nampak takut, mampu mempertahankan diri dan mendapatkan penghormatan daripada kelompok sekeliling. Namun dalam masa yangs ama, mereka sebenarnya masih mencari ruang untuk memahami emosi, erti persahabatan dan hubungan dengan keluarga.

Disebabkan itu, filem coming of age lelaki sering menggunakan konflik fizikal atau persaingan sebagai bahasa untuk menyampaikan sesuatu yang lebih emosional.

Pergaduhan mungkin sebenarnya berpunca daripada rasa tidak selamat, keinginan untuk diterima atau ketakutan kehilangan status.

Ads

Persaingan antara dua lelaki pula boleh menjadi gambaran kepada keperluan mendapatkan pengiktirafan daripada figura bapa, rakan sebaya atau masyarakat.

Persahabatan juga sering menjadi jantung kepada cerita sebegini. Stand by Me, misalnya, menggunakan perjalanan empat budak lelaki sebagai cara untuk berbicara tentang persahabatan, trauma dan kehilangan zaman kanak-kanak.

Apa Itu Filem 'Coming of Age' Dan Kenapa Genre Ini Dekat Dengan Lelaki
Stand by Me (1986)

Hubungan lelaki tidak semestinya disampaikan melalui perbualan emosional yang panjang kerana dalam banyak keadaan, perasaan itu muncul melalui aktiviti bersama, gurauan, pergaduhan, kesetiaan dan momen apabila seseorang sanggup hadir ketika rakannya berada dalam kesusahan.

Subculture Sebagai Tempat Mencari Identiti

Satu lagi elemen penting ialah subculture seperti skateboarding, punk, bola sepak, motosikal, hip hop atau budaya asrama.

Bagi seorang remaja yang masih mencari identiti, subculture menawarkan rasa kepunyaan kerana ia hadir dengan bahasa, pakaian, muzik, hierarki dan kod sosial tersendiri.

Dalam Mid90s, budaya skateboarding menjadi ruang seorang budak mencari keluarga kedua selepas berdepan kehidupan rumah yang tidak stabil.

Apa Itu Filem 'Coming of Age' Dan Kenapa Genre Ini Dekat Dengan Lelaki
Mid90s (2018)

This Is England pula menggunakan subculture skinhead untuk meneroka bagaimana keinginan seorang budak untuk diterima boleh membawanya kepada politik identiti, ekstremisme dan keganasan.

Ads

Dalam kedua-dua contoh, subculture bukan sekadar hiasan visual tetapi menjadi sebahagian daripada pembentukan watak.

Apa Itu Filem 'Coming of Age' Dan Kenapa Genre Ini Dekat Dengan Lelaki
This is England (2006)

Konteks yang sama boleh dilihat dalam beberapa karya Malaysia. Jagat membawa penonton mengikuti Appoy, seorang budak yang hidup dalam persekitaran sosioekonomi mencabar dan tertarik kepada dunia gangster, manakala Mukhsin menggunakan pengalaman cinta pertama sebagai satu bentuk peralihan daripada kepolosan kanak-kanak kepada emosi yang lebih kompleks.

Apa Itu Filem 'Coming of Age' Dan Kenapa Genre Ini Dekat Dengan Lelaki
Jagat (2015)

Project High Council Dan Dunia Lelaki Muda Malaysia

Universe Project: High Council pula menarik kerana menggunakan budaya asrama, senioriti, reputasi dan hierarki sebagai medan perkembangan watak.

Di sebalik pergaduhan dan perebutan kuasa, terdapat persoalan tentang penghormatan, keluarga, persahabatan dan keinginan seorang lelaki muda untuk menentukan kedudukannya dalam dunia.

Apa Itu Filem 'Coming of Age' Dan Kenapa Genre Ini Dekat Dengan Lelaki
Project: High Council (2023)

Project: High Council membawa Fakhri berdepan sistem yang telah lama wujud, manakala Kahar: Kapla High Council memperlihatkan bagaimana seseorang boleh berubah apabila kuasa mula berada dalam tangannya.

KUDRAT 1968: High Council pula membawa persoalan tersebut kepada asal usul sistem, sekali gus menjadikan hierarki, senioriti dan politik sebagai sebahagian daripada proses pembentukan karakter.

Ads
Apa Itu Filem 'Coming of Age' Dan Kenapa Genre Ini Dekat Dengan Lelaki
Project High Council: Kudrat 1968 (2026)

Inilah yang menjadikan dunia High Council dekat dengan struktur coming of age. Watak memasuki sebuah sistem, diuji olehnya, membuat pilihan dan akhirnya berubah akibat pilihan tersebut.

Apa Bezakan Naskhah Baik Dengan Yang Lemah?

Naskhah coming of age yang baik tidak cukup sekadar mempunyai watak lelaki yang menang pergaduhan atau menjadi lebih kuat.

Watak perlu mengalami perubahan dalaman yang jelas, sama ada memahami dirinya, kehilangan sesuatu yang penting atau menyedari bahawa kuasa dan populariti tidak memberikan jawapan yang dicari.

Kekerasan juga perlu membawa akibat. Jika setiap masalah selesai dengan tumbukan tanpa meninggalkan kesan moral, psikologi atau hubungan, cerita mudah bertukar menjadi glorifikasi keganasan.

BACA: KUDRAT 1968: High Council Bukan Sekadar Kisah Kuasa, Tetapi Tentang Warisan, Pilihan dan Jurang Kelas

Begitu juga dengan subculture yang tidak boleh digunakan sekadar sebagai estetika kerana dunia tersebut perlu benar-benar mempengaruhi tindakan dan pemikiran watak.

Paling penting, lelaki tidak seharusnya ditulis dalam satu bentuk sahaja. Ada lelaki yang keras, ada yang pendiam, ada yang sensitif, ada yang menggunakan humor untuk menutup ketakutan dan ada yang masih mencari cara untuk memahami dirinya. Kepelbagaian inilah yang membuatkan watak terasa hidup.

Akhirnya, coming of age bukan tentang seseorang mencapai usia tertentu. Ia tentang saat seorang lelaki mula memahami bahawa setiap tindakan mempunyai harga, setiap pilihan mempunyai akibat dan menjadi dewasa bermaksud belajar hidup dengan kedua-duanya.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads