Arjen Robben, Kini Bergelar Pemain Padel Profesional

Share

Ketika Arjen Robben berlari di tepi garisan padang suatu ketika dahulu, hampir tiada pertahanan yang mampu membaca gerakannya.

Dari Chelsea ke Real Madrid hingga Bayern Munich, aura pemain Belanda ini sentiasa menjadi igauan ngeri bagi penjaga gol dan lawan.

Namun selepas menggantung but pada musim panas 2021, Arjen Robben membuktikan bahawa bab baharu dalam hidupnya masih penuh kejutan. Jika dahulu beliau menguasai bola, kini beliau mengalihkan tumpuan kepada raket dan dunia padel mula merasai impaknya.

Dua gelaran Liga Perdana Inggeris, satu LaLiga dan lapan Bundesliga hanya sebahagian daripada 12 kejuaraan liga yang berjaya dirangkulnya sepanjang dua dekad di pentas Eropah.

Namun selepas bersara, beliau memilih laluan yang berbeza daripada majoriti bekas pemain profesional lain yang biasanya terjun ke dunia analisis TV atau pengurusan pasukan.

Robben tidak mahu hanya menjadi pemerhati. Beliau mahu terus bersaing dan padel menjadi gelanggang baharunya.

Dari Menggelecek Pertahanan ke Mengawal Raket

Arjen Robben dikenali sebagai salah seorang winger kanan terbaik dalam sejarah. Kawalan bola, kepantasan dan cut inside ke kiri yang hampir mustahil dihentikan menjadikannya ikon moden bola sepak. Namun kini, semua fokusnya berubah kepada koordinasi mata dan tangan.

Padel, sukan raket yang sedang meledak kepopularannya di Eropah, menjadi arena terbaharu Robben.

Pada Ogos lalu, beliau mencatat sejarah peribadi apabila meraih mata ranking pertamanya dalam Persekutuan Padel Antarabangsa (FIP).

Digandingkan dengan Werner Lootsma dalam kejohanan FIP Bronze Westerbork, pasangan ini mara ke undian utama selepas menewaskan Ralph Boekema dan Mark Weldmate.

Menurut laporan Daily Mail, mereka bangkit dengan penuh dramatik menyelamatkan enam match point sebelum menang 4–3, 6–3, 7–6.

Walaupun tersingkir di pusingan 32 terakhir, prestasi Arjen Robben pada usia 41 tahun tetap mengejutkan ramai. Beliau sebelum ini pernah menamatkan Maraton Rotterdam dengan masa luar biasa 2 jam 58 minit 33 saat.

Mentaliti Juara Yang Tidak Pernah Padam

Dalam perlawanan berikutnya, Robben dan pasangannya tewas kepada pemain lebih berpengalaman iaitu Sten Richters dan Thijs Roper, masing-masing berstatus pemain ranking 155 dan 144 dunia.

Namun apa yang lebih menarik ialah penghargaan yang diberikan oleh lawan mereka yang menggelar Arjen Robben sebagai bekas pemain bola sepak profesional terbaik yang mereka kenal yang bermain padel.

Robben pula tampil merendah diri dan berkata, “Saya tidak fikir saya boleh mengambil diri saya terlalu serius. Saya bermula dengan jangkaan yang rendah. Tetapi saya cuba berjuang di gelanggang dan menjaringkan sebanyak mungkin mata.”

Setakat pertengahan November 2025, Arjen Robben berada di ranking 1,980 dunia dengan tiga mata ranking. Sebagai perbandingan, bintang dunia seperti Agustin Tapia dan Arturo Coello masing-masing memiliki lebih 20,000 mata.

Cinta Terhadap Padel Bermula Di Jerman

Minat Arjen Robben terhadap sukan ini bukan muncul selepas bersara. Ketika beraksi di Bayern Munich, beliau sudah aktif bermain padel sehingga tiga kali seminggu.

Beliau turut mengakui inspirasi datang daripada Zlatan Ibrahimovic yang mempopularkan padel secara agresif di Sweden.

“Zlatan Ibrahimovic menjadikan padel sukan penting di Sweden dan saya fikir saya boleh melakukan perkara yang sama di Belanda,” katanya.

Selain itu, pada 2023, Arjen Robben pernah berganding dengan rakan senegara Robin Van Persie dalam acara Pro Am di Amsterdam.

Mereka memenangi Perlawanan Lagenda dan Van Persie menyifatkan pengalaman itu sebagai pengalaman yang luar biasa dalam kejohanan tersebut.

BACA: Dua Warga Emas Raih PhD di UTM, Bukti Usia Bukan Penghalang Kejayaan

Tetap Curi Perhatian

Jika karier bola sepak Arjen Robben ibarat siri aksi blockbuster, bab baharunya dalam sukan padel adalah sekuel yang tidak pernah dijangka tetapi tetap mencuri perhatian.

Walaupun bermula dari bawah, mentaliti juara yang membentuknya selama ini kekal utuh dengan fokus, disiplin dan rasa lapar untuk bersaing.

Adakah Arjen Robben akan sekali lagi mendaki ke puncak dunia, kali ini dengan raket di tangan? Belum pasti.

Tetapi jika ada seseorang yang mampu mencipta keajaiban kali kedua dalam kerjaya sukan, Robben adalah calon paling layak.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim