Hiburan

Art of Speed Malaysia 2026 Gegar MAEPS Dengan Festival SoundCircus Paling Epik

Share

Festival automotif dan budaya kustom terbesar negara, Art of Speed Malaysia 2026 bakal kembali memeriahkan kalendar acara tahun ini dengan penganjuran edisi ke-15 pada 1 dan 2 Ogos 2026 di MAEPS Serdang.

Sejak penganjuran pertamanya, festival ini bukan sekadar acara automotif biasa. Ia berkembang menjadi sebuah festival gaya hidup yang menggabungkan dunia kustom automotif, seni visual, muzik dan budaya pop sekali gus menarik ribuan peminat dari dalam dan luar negara setiap tahun.

Untuk edisi kali ini, Art of Speed Malaysia 2026 dijangka tampil dengan pengalaman yang lebih besar dan lebih meriah. Pelbagai aktiviti, pameran serta persembahan akan memenuhi ruang pameran tertutup seluas 452084 kaki persegi selain kawasan luar yang merangkumi lebih 320 ekar di sekitar MAEPS.

SoundCircus Kembali Dalam Art of Speed Malaysia 2026

Antara tarikan utama yang paling dinantikan dalam Art of Speed Malaysia 2026 ialah Festival SoundCircus yang kembali selepas dua tahun tidak dianjurkan.

Festival muzik ini bakal berlangsung di kawasan seluas empat ekar dengan enam pentas persembahan yang akan menampilkan barisan artis dari Malaysia, Indonesia serta beberapa negara lain di rantau Asia.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar menyifatkan penganjuran kali ini sebagai satu evolusi festival yang memberi impak lebih besar kepada industri kreatif tempatan.

“Kami berbangga untuk membawa SoundCircus kembali ke MAEPS, Serdang pada 2026 menandakan evolusi festival dan impaknya yang semakin meningkat terhadap industri kreatif serta pembangunan pelancongan Malaysia,” katanya.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar

Menurut beliau, sejak diperkenalkan pada tahun 2017, festival muzik ini telah menjadi platform penting untuk mengetengahkan bakat muzik tempatan dan antarabangsa terutamanya dalam ekosistem muzik bebas dan bawah tanah.

Kolaborasi Muzik Istimewa Di Pentas Art of Speed Malaysia 2026

Festival SoundCircus 2026 bakal menampilkan pelbagai konsep persembahan unik yang menggabungkan artis dari generasi dan negara berbeza sekali gus menjadikan Art of Speed Malaysia 2026 lebih meriah.

Antara persembahan yang dijangka mencuri perhatian ialah kolaborasi kumpulan Cokelat dari Indonesia bersama legenda rock Malaysia, Ella, dalam sebuah persembahan khas dinamakan Takhta Ratu Nusantara.

Selain itu, gabungan dua generasi kumpulan rock Jemson dan Def Gab C bakal tampil menerusi konsep Legends X Renegades, manakala kumpulan Slatan akan meraikan ulang tahun mereka melalui persembahan khas Hari Slatan.

Tidak ketinggalan persembahan unik Dikir Kustom yang menampilkan Issey bersama The Clique yang menggabungkan muzik rakyat tempatan dengan budaya kustom.

Satu lagi persembahan istimewa ialah kolaborasi antara Couple dan Adnan Othman yang menyaksikan dua generasi anak dan ayah berkongsi pentas melalui konsep Power Pop Yeah Yeah.

Lebih 50 Pemuzik Bakal Menggegarkan Art of Speed Malaysia 2026

Barisan artis SoundCircus akan diumumkan secara berperingkat dan setakat ini lebih 50 pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun telah disahkan menyertai Art of Speed Malaysia 2026.

Antara nama yang telah diumumkan termasuk Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, Krusty, The Jansen dari Indonesia, Nadin Amizah dari Indonesia, Tenxi dari Indonesia, Johnny Pandora dari Jepun serta Iqbal M.

Fasa ketiga barisan artis pula dijangka diumumkan dalam masa terdekat yang dijangka menambah lagi kemeriahan festival muzik ini.

Menurut Asep, buat pertama kalinya festival ini akan menampilkan sehingga empat pentas utama di dalam dan luar kawasan acara bagi memberikan pengalaman muzik yang lebih pelbagai kepada pengunjung.

Sokongan Tourism Selangor Untuk Art of Speed Malaysia 2026

Penganjuran Art of Speed Malaysia 2026 dan SoundCircus turut mendapat sokongan daripada Tourism Selangor sebagai rakan strategik utama.

Kerjasama ini dilihat sebagai usaha penting untuk menjadikan Selangor sebagai destinasi utama bagi pelancongan budaya, industri kreatif serta acara gaya hidup berskala besar di Malaysia.

“Dengan sokongan Tourism Selangor kami berhasrat untuk mengangkat SoundCircus menjadi pengalaman muzik destinasi yang meningkatkan profil Selangor sebagai destinasi kreatif dan pelancongan terkemuka di rantau ini,” kata Asep lagi.

Pelbagai Aktiviti Automotif Di Art of Speed Malaysia 2026

Selain festival muzik, Art of Speed Malaysia 2026 juga menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi identiti utama festival ini sejak bertahun-tahun lalu.

Antara acara yang bakal berlangsung termasuk:

• Show and Shine pameran kereta dan motosikal kustom
• Hot Wheels Collectors Convention Malaysia
• Project Car Invitational Showcase
• ThunderCircus Mega Ride In
• Santai Scooterist dan Two Wheels Gathering
• Streetwear dan vintage market Kulture Kartel
• B Boy SEA Qualifier
• Forum industri Kustom dan Koffee Talk

Festival ini juga akan menampilkan Automotive Flea Market, Food Zone serta pelbagai zon gaya hidup lain yang menjadikan pengalaman pengunjung lebih lengkap sepanjang dua hari acara berlangsung.

BACA: Dewa 19 ‘Cintaku Tertinggal di Malaysia 2026’, Bakal Hadir Bersama Padi Reborn

Harga Tiket Art of Speed Malaysia 2026

Bagi pengunjung yang ingin merasai sendiri pengalaman festival ini, tiket Art of Speed Malaysia 2026 ditawarkan dalam beberapa kategori harga.

Tiket Art of Speed: RM35

SoundCircus General Admission: RM89 hingga RM169

SoundCircus Rockzone: RM139 hingga RM219

Hero Guest Care Pack: RM188 hingga RM388

Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman rasmi penganjur.

Dengan gabungan dunia automotif kustom, muzik, seni dan budaya pop, festival ini terus mengekalkan reputasinya sebagai antara festival gaya hidup automotif paling ikonik di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim