
Foto: Instagram AshwadIsmail
Ashwad Ismail hari ini mengumumkan pengunduran beliau sebagai Ketua Pengarang Astro AWANI selepas lebih 19 tahun menjadi sebahagian daripada perjalanan yang membentuk landskap kewartawanan moden negara.
Selepas hampir dua dekad mencorakkan hala tuju editorial dan strategi berita, keputusan Ashwad Ismail ini menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah penyiaran berita tempatan.
Nama Ashwad Ismail bukan asing dalam sejarah penubuhan saluran berita itu. Beliau merupakan antara individu yang berada di barisan awal ketika visi pengasas melahirkan Astro AWANI pada tahun 2007.
Sejak itu, beliau menyaksikan sendiri evolusi sebuah saluran berita yang bermula dengan cita cita besar, sehingga diiktiraf sebagai antara jenama berita paling dipercayai di Malaysia.
Sepanjang tempoh tersebut, Ashwad Ismail memainkan peranan penting dalam membentuk identiti editorial yang tegas, berprinsip dan berteraskan kepentingan rakyat.
Sepanjang lima tahun lalu, beliau diberi kepercayaan oleh Astro Malaysia Holdings Berhad untuk menerajui Astro Awani Network Sdn Bhd dalam tempoh yang boleh dianggap paling mencabar dalam sejarah media global.
Era tersebut menyaksikan peralihan besar dalam corak penggunaan berita, ledakan platform digital serta kebangkitan kecerdasan buatan yang mengubah cara bilik berita beroperasi.
“AWANI bukan sekadar tempat kerja bagi saya. Ia adalah satu tanggungjawab,” katanya.
“Diberi kepercayaan untuk membentuk hala tuju editorial dan budaya institusi merupakan penghormatan terbesar dalam kehidupan profesional saya.”
Di bawah kepimpinan beliau, Astro AWANI mencatat pelbagai pencapaian penting. Selain memperkukuh kedudukan komersial organisasi, beliau turut menekankan aspek tadbir urus editorial serta etika bilik berita.
Transformasi digital dipacu secara menyeluruh merentasi pelbagai platform, sekali gus memposisikan Astro AWANI sebagai rujukan serantau dalam perbincangan tentang kewartawanan di era kecerdasan buatan.
“Setiap transformasi yang kami laksanakan berteraskan kepercayaan bahawa kewartawanan yang dipercayai mesti kekal berpaksikan rakyat, mampan dari segi komersial, berpandangan jauh dari sudut teknologi dan sentiasa manusiawi,” tambah beliau.
Keputusan untuk berundur, menurut Ashwad Ismail, bukan sesuatu yang dibuat secara terburu buru. Ia hadir dengan pertimbangan mendalam, khususnya ketika organisasi berada dalam keadaan kukuh dari sudut editorial dan komersial.
“Tiada masa yang benar benar sempurna untuk meninggalkan sesuatu yang kita cintai.
Namun kepimpinan juga menuntut kebijaksanaan untuk memberi ruang kepada pembaharuan. Saya berundur pada saat organisasi ini berada dalam keadaan yang kuat.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penonton, warga bilik berita, pasukan produksi, profesional kreatif, rakan strategik serta Astro Group yang bersama sama menempuh perjalanan hampir dua dekad ini.
Ashwad Ismail menyatakan keyakinannya bahawa barisan kepimpinan dan pasukan editorial sedia ada akan terus memacu organisasi ke tahap lebih tinggi.
“Hari ini, Astro AWANI adalah sebuah institusi. Menjadi sebahagian daripada titian perjalanan sebuah visi kepada impak, ia adalah sesuatu yang akan sentiasa saya bawa bersama, selamanya,” jelas beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, turut merakamkan penghargaan terhadap Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail, susulan pengumuman pengunduran beliau daripada Astro AWANI.
Tambahnya lagi, sumbangan Ashwad sebagai signifikan dalam membentuk hala tuju editorial dan standard liputan berita, serta mengajak seluruh warga Astro merakamkan penghargaan atas dedikasi beliau sepanjang berkhidmat.
Pengunduran ini menandakan penutup satu bab penting dalam sejarah Astro AWANI, namun dalam masa yang sama membuka ruang kepada fasa baharu yang bakal membentuk masa depan kewartawanan negara.
Menurut beberapa sumber, Ashwad bakal menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia.
BACA: ‘Duit Duyong’ Edisi Terhad Jadi Simbol Perpaduan Sempena Tahun Baharu Cina
Sepanjang tempoh kepimpinan Ashwad Ismail, Astro AWANI bukan sahaja berkembang dari sudut komersial, malah memperkukuh reputasinya sebagai institusi berita yang berwibawa. Penekanan terhadap integriti, inovasi digital dan keseimbangan editorial menjadi asas kepada kestabilan organisasi dalam menghadapi perubahan landskap media.
Pengunduran Ashwad Ismail dilihat sebagai satu transisi strategik, bukan sekadar perubahan individu. Ia mencerminkan kematangan institusi dalam memastikan kesinambungan kepimpinan dan pembaharuan yang berterusan demi memastikan kewartawanan negara terus relevan dalam era digital.
Sumber: Astro Awani
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.