
Astro Originals meneruskan momentum karya premium tempatan dengan sebuah lagi siri yang dijangka mencetus perbualan hangat tentang ‘Honey Trap’ yang bakal ditayangkan bermula 20 Jun 2025.
Dengan latar dunia fiksyen Masraya yang diperkenalkan dalam siri ‘KUDETA (2022)’, ‘Honey Trap’ tampil mengangkat kisah seorang perisik wanita dalam dilema antara tanggungjawab negara dan konflik peribadi.
Drama bersiri ini hadir dengan 8 episod serta 2 episod istimewa, menampilkan watak utama, Surya Gabriel (lakonan Nina KSC), seorang perisik wanita elit, berkaliber dan berani.
Misi utamanya? Menumpaskan kumpulan pemberontak yang mengancam kestabilan Masraya. Namun, segalanya menjadi rumit apabila dia perlu merekrut aset yang ada kaitan rapat dengan musuh dan hubungan mereka mula berubah menjadi sesuatu yang lebih dari sekadar misi.
“Jika KUDETA memfokuskan kuasa dan politik secara besar-besaran, Honey Trap pula lebih bersifat peribadi dan mendalam dengan menampilkan sisi psikologi dan isu sosial.
“Kami percaya ini akan memberikan pengalaman tontonan yang segar, berani dan relevan, ” jelas Ketua Astro Shaw dan. Penerbit Eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad.
Walaupun Honey Trap diterajui watak wanita, kehadiran karakter lelaki dalam siri ini membawa naratif yang seimbang. Antara nama yang menguatkan barisan pelakon ialah Ungku Ismail, Syarul Ezani, Irfan Zaini dan Ayez Shaukat Fonseka.
Karakter-karakter lelaki dalam siri ini bukan sahaja memegang peranan penting dalam naratif, tetapi mencerminkan sisi kompleks, keliru dan juga hipokrit dalam dunia kuasa.
“Motifnya dendam. Tapi drama ini bersangkut paut dengan politik, kuasa dan hipokritikal. Cerita ni kompleks dan agak pening kepala bila baca skrip.
“Tapi bila kita dah shoot, kita nampak dan faham… dan tak susah sangat,” jelas Ungku Ismail, salah seorang pelakon ‘Honey Trap’ yang ditemui MASKULIN semalam di majlis pelancarannya semalam.
Siri ini bukan sahaja menawarkan elemen aksi dan ketegangan politik, tetapi juga memaparkan pergelutan dalaman dan psikologi yang lebih mendalam.
Isu kesihatan mental di tempat kerja, manipulasi struktur autoriti dan ketidakseimbangan kuasa turut dibawa secara halus namun berkesan.
Di sebalik naratif penuh aksi dan politik, ‘Honey Trap’ lahir daripada pengalaman peribadi pengarahnya, Imran Sheik, dalam menjaga ahli keluarga yang menghidap schizophrenia. Beliau yang juga mengarah KUDETA, kembali menerajui projek ini dengan visi lebih empatik dan psikologikal.
“Bukan niat saya untuk mensensasikan penyakit ini, sebaliknya untuk meningkatkan empati masyarakat terhadap mereka yang menghadapi isu kesihatan mental… pesakit mental memiliki kekuatan dalaman luar biasa yang jarang kita sedari,” jelas Pengarah, Imran Sheik.
Dengan kerjasama produksi Lacuna Pictures dan diterbitkan oleh Astro Shaw, ‘Honey Trap’ turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama Goodday Charge, menerusi inisiatif promosi dan penempatan produk.
BACA: Stadium Juara Digegarkan Pentas Kebanggaan MPL MY, Kombinasi Muzik, E-Sukan dan Semangat Komuniti
Tambahan pula, dua episod pertama boleh distrim terus di On Demand bermula hari pertama tayangan.
Honey Trap akan ditayangkan setiap:
Dengan plot penuh mencengkam, watak-watak yang memikat dan isu-isu kontemporari yang menggugah, ‘Honey Trap’ bukan sekadar sebuah siri thriller tapi ia cerminan konflik moden dalam dunia kuasa, psikologi dan moraliti manusia!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.