
Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai antara kita tanpa sedar terperangkap dalam tekanan untuk menjadikan sambutan itu sempurna. Rumah mesti paling cantik, hiasan paling meriah, baju paling bergaya dan juadah paling lengkap.
Namun dalam usaha mengejar kesempurnaan itu, ada sesuatu yang kadang kadang kita terlupa. Semangat kebersamaan yang menjadi asas sebenar Hari Raya.
Itulah mesej utama yang cuba disampaikan oleh Astro Malaysia menerusi sebuah filem pendek berdurasi 15 minit berjudul “Bila Bersama, Lagi Jadi”.
Diterbitkan dengan kerjasama Naga DDB Tribal dan diarahkan oleh Hyrul Anuar dari Director’s Think Tank, filem ini bukan sekadar iklan raya biasa. Ia sebuah kisah penuh humor, emosi dan nostalgia yang menyentuh tentang persahabatan, ego dan akhirnya mesej pengampunan.
Cerita bermula di sebuah kampung yang sedang meriah membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Seperti tradisi setiap tahun, kampung tersebut menganjurkan Pesta Panjut Raya, sebuah pertandingan menghias pelita panjut yang menjadi kebanggaan penduduk setempat.
Selama lima tahun berturut turut, Samad menjadi juara pertandingan itu. Dengan penuh keyakinan, dia meraikan rekod kemenangannya sambil menganggap dirinya sukar dicabar.
Namun keadaan berubah apabila Razak, seorang anak kampung yang sudah lama merantau, kini pulang ke kampung halaman dan menyatakan hasrat turut menyertai pertandingan tersebut.
Kehadirannya membuatkan suasana tiba tiba menjadi lebih tegang.
Tok kampung yang memperkenalkan Razak kemudian secara berseloroh memecahkan dinding keempat dan mengajak penonton menyaksikan kisah lama antara dua lelaki tersebut melalui Astro One di sebuah tablet.
Di situlah bermulanya perjalanan ke masa lalu.
Menariknya flashback Samad dan Razak dipersembahkan dengan cara yang cukup unik dan mencuit hati dengan gaya lagu rock kapak bertenaga.
Menerusi montaj tersebut penonton melihat bagaimana Samad dan Razak sebenarnya pernah menjadi sahabat karib yang sangat baik dan tidak boleh dipisahkan.
Namun persahabatan itu berubah apabila kedua dua mereka jatuh hati kepada wanita yang sama, Rokiah.
Akhirnya Samad berjaya memenangi hati wanita tersebut dan mengahwininya. Razak yang kecewa memilih untuk meninggalkan kampung dan jauh membawa diri.
Kembali ke masa kini, pertandingan pelita panjut semakin hampir.
Penduduk kampung mula sibuk membuat persiapan, namun Samad tidak mahu kehilangan gelaran juaranya.
Dalam usaha memastikan dia menang sekali lagi, Samad bertindak memborong hampir semua buluh dan bahan binaan yang diperlukan untuk membuat pelita panjut.
Razak pula tidak patah semangat. Sebaliknya dia menjadi lebih kreatif dan berfikir luar kotak. Dia menghasilkan sebuah instalasi cahaya menggunakan lampu LED moden yang jauh lebih besar dan dramatik.
Pertandingan yang pada awalnya sekadar tradisi kampung kini bertukar menjadi persaingan ego antara dua lelaki.
Melihat instalasi Razak yang semakin mendapat perhatian penduduk kampung, Samad menjadi semakin tertekan.
Dalam usaha untuk mengatasi Razak, dia mengambil langkah yang lebih ekstrem dengan mengadakan pertunjukan bunga api dan dron yang besar-besaran.
Namun rancangan itu tidak berjalan seperti yang diharapkan. Pertunjukan tersebut akhirnya menjadi bencana apabila rumah Samad terbakar.
Dalam keadaan marah dan kecewa, Samad menyalahkan Razak kerana merasakan dia cuba merampas perhatian dan popularitinya di kampung.
Ketegangan antara mereka akhirnya memuncak.
Namun seperti mana kisah raya yang baik, konflik itu akhirnya membuka jalan kepada sesuatu yang lebih bermakna.
Razak memilih untuk mengetepikan ego lama dan membantu membina semula rumah Samad yang musnah.
Detik itu menjadi simbol bahawa Hari Raya bukan tentang siapa yang menang dalam pertandingan, tetapi tentang memaafkan, menghargai hubungan dan hidup sebagai satu komuniti.
Filem pendek ini dibintangi oleh Adlin Aman Ramlie sebagai Samad dan Faizal Hussein sebagai Razak selain turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Bell Ngasri, Noryn Aziz, Azhan Rani, Sharifah Shahirah, Auddra dan kumpulan ALPHA.
Versi muda kedua-dua watak pula dilakonkan oleh Merqeen (Samad) dan Mierul Aiman (Razak).
Melalui filem pendek ini Astro berharap masyarakat dapat melihat semula apa yang menjadikan sambutan Aidilfitri benar benar bermakna.
Hari ini ramai yang semakin individualistik dan terlalu fokus untuk menjadikan sambutan raya kelihatan sempurna sehingga terlupa bahawa raya sebenarnya tentang hubungan sesama manusia.
Seperti pelita panjut.
Satu pelita yang menyala mungkin kelihatan indah. Tetapi apabila ratusan pelita dinyalakan bersama suasananya menjadi jauh lebih bermakna.
Begitulah juga dengan kehidupan bermasyarakat. Kerana akhirnya mesej yang ingin disampaikan cukup mudah.
Bila Bersama Lagi Jadi.
Dari Ramadan hingga Syawal kebersamaanlah yang menjadikan setiap detik itu lebih indah dan bermakna.