
Aaron Aziz sekali lagi membuktikan kekuatannya sebagai ikon filem aksi Malaysia apabila lakonannya dalam filem Banduan berjaya menarik perhatian penonton di seluruh Malaysia dan Brunei.
Dalam tempoh hanya beberapa hari tayangan, filem aksi ini mencatat kutipan pembukaan sebanyak RM3 juta, satu permulaan luar biasa untuk sebuah adaptasi tempatan yang dinantikan ramai.
Fenomena Baharu Di Pawagam Tempatan
Banduan merupakan adaptasi rasmi kepada filem box office India Kaithi, namun berjaya mengekalkan jiwa asal karya sambil menyuntik cita rasa tempatan.
Dengan penceritaan yang tegang, sinematografi yang mengagumkan serta emosi kemanusiaan yang kuat, filem ini bukan sekadar aksi semata-mata tetapi juga kisah pengorbanan dan redemption yang menyentuh jiwa.

Sejak tayangan awalnya, media sosial dibanjiri dengan komen positif daripada penonton yang kagum dengan mutu produksi serta lakonan mantap barisan pelakon utama, khususnya Aaron Aziz.
“Selesai layan filem Banduan. Kita bagi 11/10 sebab terlalu padu! Dua jam tujuh minit tak rasa lama pun. Dato’ Aaron Aziz memang power habis dalam filem ni!” — @wanfakhrul23
“Done tonton filem Banduan, overall rating 9/10. Watak Dali sebagai hero sangat berkesan, penuh emosi dan realistik. Lakonan Aaron Aziz kali ni betul-betul hidup.” — @misszfarah05
Reaksi positif pelbagai latar belakang ini menjadi bukti bahawa Banduan berjaya merapatkan jurang budaya menerusi bahasa sinema dan kekuatan penceritaan tempatan.
Inspirasi Dari Karya Tamil, Disuntik Jiwa Tempatan
Penerbit Eksekutif Banduan, Kalyana Devan, menyifatkan sambutan luar biasa ini sebagai kemenangan besar buat industri filem tempatan.
“Kami amat bersyukur dan terharu melihat sambutan positif terhadap Banduan dan bagaimana filem ini berjaya menyatukan penonton daripada pelbagai latar budaya dan bangsa. Filem remake Tamil pertama ke versi Bahasa Melayu ini membuktikan kekuatan penceritaan emosi dengan sentuhan aksi tempatan,” katanya.

Banduan diarahkan oleh Kroll Azry, diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures, dan Astro Shaw bertindak sebagai rakan pemasaran serta pengedaran rasmi.
Kisah Dali, Antara Dendam dan Cinta Seorang Ayah
Filem aksi Banduan membawa penonton menelusuri kisah Dali, bekas banduan yang baru dibebaskan selepas sepuluh tahun dipenjara.
Dalam perjalanan untuk bertemu anak perempuannya buat kali pertama, takdir membawanya ke misi penuh adrenalin apabila dia terperangkap dalam operasi penyelamatan berisiko bersama Inspektor Johari.

Mereka perlu menyelamatkan sekumpulan anggota polis yang diracun dan dijadikan tebusan oleh sindiket samseng kejam. Di sinilah Aaron Aziz menzahirkan kekuatan sebenar wataknya — gabungan kasih seorang bapa dan keberanian seorang pejuang yang tidak pernah berputus asa.
Selain Aaron, filem ini turut dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor, Dato’ Afdlin Shauki, Fadhli Masoot, Amir Nafis dan Abi Madyan, masing-masing membawa tenaga tersendiri yang menghidupkan nadi cerita.

ARTIKEL BERKAITAN: “Daddy Will Defend You Gus Till I Die”, Aaron Aziz Tampil Pertahankan Keluarga
Bukti Kuasa Cerita dan Bintang Tempatan
Dengan kejayaan kutipan awal RM3 juta, Banduan membuktikan bahawa naskhah tempatan masih mampu bersaing dengan produksi antarabangsa apabila diberikan pendekatan segar dan tenaga bintang yang berkaliber seperti Aaron Aziz.
Lebih menarik, filem ini turut ditayangkan di Kanada, Amerika Syarikat dan Brunei, manakala tayangan di Singapura dijadualkan bermula 13 November 2025.

Dalam era di mana penonton semakin kritikal dan menuntut nilai hiburan tinggi, Banduan muncul sebagai tanda bahawa filem tempatan masih punya taring. Dan sekali lagi, Aaron Aziz menjadi wajah yang membuktikannya.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




