Berani Pilih Cinta Berbeza Usia? Mierul Aiman Kata, Tiada Masalah!

Share

Topik hubungan cinta antara lelaki muda dengan wanita lebih berusia atau ‘love gap’ sering mencetuskan perdebatan. Ada yang menyokong, ada juga yang skeptikal. Namun bagi pelakon Mierul Aiman, perkara ini bukan sesuatu yang patut dipandang serong.

Berkongsi pandangan, Mierul, 26, mengakui tanggapan negatif mungkin wujud kerana ia jarang berlaku secara terbuka di sekeliling kita. “Saya rasa orang anggap salah sebab susah nak lihat depan mata. Ia di luar norma kehidupan mereka, jadi dianggap tak normal,” jelasnya. Bagi Mierul, itu hanyalah persepsi. Hakikatnya, perbezaan usia bukan penghalang selagi hubungan dibina atas rasa hormat, kejujuran dan keserasian.

Menariknya, tema ‘love gap’ ini turut menjadi inti dalam drama terbarunya, Seadanya Kita, yang kini ditayangkan di platform VIU Malaysia. Dalam naskhah tersebut, Mierul membawakan watak Kerol, lelaki muda yang bercinta dengan wanita lebih tua bernama Alani (lakonan Emma Maembong).

Mengulas cabaran membawakan watak tersebut, juara Hero Remaja 2021 ini berkata, dia perlu benar-benar memahami emosi dan realiti pasangan sebegini. “Saya perlu faham logik di sebalik hubungan jarak umur. Bila mendalami watak, saya jadi faham betapa kompleksnya isu ini dan kenapa ia boleh diterima akal,” katanya.

Bagi lelaki moden, pandangan Mierul ini membawa mesej penting — jangan biarkan norma masyarakat menjadi penentu kebahagiaan peribadi. Cinta yang matang bukan soal angka pada kad pengenalan, tetapi soal keserasian hati dan kematangan jiwa.

BACA LAGI : Lelaki Muda Lebih Pilih Wanita Berusia Sebagai Teman, Ini Sebabnya!

Published by
Nana