Jenama automotif premium dan mewah BMW sentiasa memposisikan jenama mereka sebagai penggerak gaya hidup sihat seperti sukan golf. Pada hari ini, BMW Malaysia mengumumkan bahawa ia bakal kembali sebagai rakan automotif premium rasmi Kejohanan Maybank 2023 (Maybank Championship 2023).

Ia sekali gus menjadikan ia sebagai komitmen utuh mereka dalam mendukung acara-acara bertaraf dunia di samping memajukan usaha kelestarian menerusi kenderaan BMW i yang dikuasakan elektrik.

Acara ini, yang diluluskan oleh Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dikatakan selari dengan visi Maybank dalam menjulang kegiatan sukan melibatkan wanita, menghimpunkan atlet-atlet wanita yang terhandal di dunia dan memberi ilham kepada mereka untuk terus menggapai kecemerlangan.

Hadir dengan tema ‘Retake the Green’, kejohanan ini menampilkan pemain-pemain golf terbaik dari serata dunia untuk sebuah persaingan yang mengujakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

BMW Malaysia Kembali Sebagai Rakan Automotif Rasmi Kejohanan Golf Maybank Championship 2023

Ads

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, “Kami berbesar hati untuk menjadi rakan automotif premium yang rasmi sekali lagi untuk Kejohanan Maybank 2023. Usaha sama ini bukan sahaja menekankan sokongan padu kami ke atas sukan golf, tapi turut menunjukkan komitmen BMW Malaysia dalam memacu inovasi dan kelestarian melalui kenderaan elektriknya.

“Di samping itu, kami juga berasa teruja untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang memperkasakan atlet-atlet golf wanita, menonjolkan impak mereka dalam dunia golf selain terus menyalakan cita dan semangat mereka terhadap sukan ini.

“Ia merupakan antara prinsip yang kami genggam erat di BMW Group Malaysia, di mana Diversiti, Kesaksamaan, dan Keterangkuman menjadi elemen dalam budaya yang menunjangi seluruh organisasi kami,” tambahnya lagi.

Ads

Dalam pada masa itu, Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan mengulas, “Sebagai wakil pengedar bertauliah BMW yang terbesar di Malaysia, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.

“Ia bagi membekalkan pengalaman pemanduan yang mencerminkan komitmen kami ke atas visi pengangkutan lestari dan inovasi alaf baharu. Kolaborasi ini memastikan aspek mobiliti yang berdasarkan kemewahan, prestasi dan kesihatan alam sekitar disulam dengan sebaiknya.”

Ads

BMW Malaysia bakal menyediakan barisan kenderaan elektriknya terdiri daripada 22 unit BMW iX dan tujuh unit BMW i7. Ia akan menjadi kenderaan rasmi bagi para pemain, pengelola pertandingan, dan VVIP sepanjang kejohanan ini berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club. Selain itu, Di samping itu, sebuah jentera BMW i7 juga akan dipamerkan di Lubang 15, menambah rencah sofistikasi di acara tersebut.

Kejohanan Maybank 2023 dijadualkan mengambil tempat dari tanggal 26 hingga 29 Oktober 2023. Acara ini akan menampilkan 80 atlet wanita dari serata dunia, antaranya ialah juara-juara dunia bernama Nelly Korda, Lydia Ko, Jin Young Ko, Atthaya Thitikul, Minjee Lee, Brooke Henderson, Celine Boutier, berserta seorang pemain wanita Malaysia dengan ranking tertinggi, Kelly Tan. Para atlet ini akan bersaing untuk merebut bahagian mereka daripada hadiah keseluruhan yang bernilai US$3 juta.

Warga umum dipelawa untuk menyaksikan acara yang mengujakan ini melalui program siaran antarabangsa di MSNBM dan juga Astro, membolehkan para peminat sukan golf berkongsi keterujaan dari keselesaan rumah masing-masing. Para peminat dan penyokong juga boleh mendapatkan tiket bagi menyaksikan sendiri temasya berprestij ini di ruang lapangan penonton.

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI