Industri sukan seluruh dunia terjejas teruk dengan berlakunya penularan wabak COVID-19. Antara sukan yang paling terkesan ialah bola sepak. Boleh dikatakan hampir kesemua liga serta pertandingan bola sepak di seluruh dunia terpaksa ditunda atau dibatalkan.

Ini termasuklah aktiviti bola sepak di negara kita. Selain impak ekonomi yang dirasai oleh setiap kelab bola sepak atau persatuan bola sepak, pemain-pemain juga turut terjejas dari segi pendapatan, kesihatatan fizikal dan juga mental.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang aPakah yang dihadapi oleh pemain, MASKULIN telah diberi kesempatan untuk menemubual pemain bola sepak kebangsaan yang kini menyarung jersi pasukan Selangor dan merupakan duta bagi jenama Nike Malaysia, Brendan Gan bagi mendapatkan gambaran apakah cabaran yang dihadapi oleh pemain ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sekarang.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by B R E N D A N. G A N (@brendangan) on

Bagaimanakah anda mengekalkan kesihatan fizikal sepanjang tempoh PKP dan apakah jenis latihan yang dilakukan di rumah?

Agak sukar mengekalkan kecergasan pada tahap 100% kerana latihan banyak melibatkan aktiviti berlari dan gerakan di permukaan luas. Namun kami sebagai pemain ada cara tersendiri bagi memastikan sentiasa bersedia untuk kembali berlatih apabila tamat PKP nanti. Saya sensiri melakukan banyak HIIT, Tabata, EMOM dan AMRAP sebagai latihan kecergasan diri.

Impak situasi sekarang terhadap anda sebagai pemain

Ia banyak memberi impak secara peribadi kepada saya dan keluarga. Antaranya rasa teruja untuk melangkah ke padang bola sepak itu sudah hilang seketika. Dari sudut positif pula lebih banyak masa boleh diluangkan bersama keluarga dan berpeluang melihat anak lelaki saya membesar. Saya juga selalu ingatkan diri agar sentiasa bersyukur walaupun berdepan situasi seperti sekarang kerana lebih ramai kurang bernasib baik.

Rutin kecergasan & nutrisi harian

Perkara paling penting bagi seorang player ialah mempunyai rutin baik dari segi latihan, tempoh permainan dan jadual. Jadi bila di rumah seperti sekarang saya sentiasa sibukkan diri.

7am: Bangun tidur, main dengan anak sekejap.
7:30am: Buat senaman regangan ringan untuk pastikan badan sudag bangun
8:30am: Sarapan biasanya dengan healthy shake dari beri, pisang, bayam, epal dan sumber protein.

Manakala diet harian lebih kepada sayur-sayuran kerana isteri seorang vegetarian. Saya akan tambah sumber protein seperti ayam panggang, ikan atau daging. Kebiasaannya saya kekalkan dengan formula 80/20 iaitu 80% makanan sihat dan 20% untuk makanan ringan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by B R E N D A N. G A N (@brendangan) on

IKLAN

Bagaimana kekalkan kesihatan mental dan kurangkan stres sepanjang PKP?

Kesihatan mental adalah satu perkara yang jarang diperkatakan di kalangan pemain bola sepak dan atlet sedangkan ini merupakan karier yang datang dengan tekanan tinggi. Bagi saya saya percaya apa jua cabaran boleh dilalui dengan sentiasa berhubung bersama orang tersayang.

Dianggap antara pemain paling penting skuad kebangsaan bagaimana berdepan harapan menggunung daripada peminat?

Bola sepak merupakan sukan berpasukan jadi setiap pemain mempunyai peranan sama penting. Jika setiap orang berikan komitmen 100% di atas dan di luar padang kejayaan itu akan datang dengan sendiri. Harapan atau jangkaan peminat itu normal cuma bagaimana pemain itu hadapinya sahaja membezakannya.

Anda pernah alami kecederaan ACL sebanyak dua kali. Boleh kongsi pengalaman bagaimana anda bangkit semula?

Jujur saya katakan itu adalah tempoh yang paling sukar dalam karier saya sebagai pemain bole sepak. ACL merupakan kecederaan paling teruk boleh dibayangkan buat seorang pemain dan tempoh pemulihannya juga lama iaitu setahun.

Pertama kali alaminya saya berasa tidak sabar untuk jalani pembedahan dan memasuki rehab pemulihan. Namun yang kali kedua itu memang betul mencabar kerana sudah tahu apa yang perlu saya lalui untuk pulih semula.

Dari segi kekuatan mental pula saya terus kuatkan hati dan bertuah kerana ada famili dan rakan-rakan di sekeliling, Mereka sentiasa berikan kata-kata semangat agar saya terus fokus mencapai sasaran untuk main bola sepak semula.

IKLAN

 

View this post on Instagram

 

A post shared by B R E N D A N. G A N (@brendangan) on

Pemain yang paling banyak beri pengaruh dalam karier anda

Ketika membesar saya dan ayah banyak suka menonton gaya permainan Zola dari pasukan Chelsea. Kakinya sangat pantas dan mempunyai skil yang boleh memutarkan pemain lawan. Dia membuatkan saya lebih jatuh cinta kepada bola sepak. Bila semakin membesar saya juga mula suka kepada Paul Scholes, Luka Modric, Xavi dan Iniesta.

Gol atau assist dalam karier yang paling diingati

Gol paling saya ingat ialah jaringan saya menyamakan kedudukan pada minit ke-91 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dan juga gol sewaktu mewakili Malaysia ketika bertemu dengan Thailand.

Anak saya pada ketika itu baru dua hari lahir dan kemudian saya diterbangkan untuk sertai skuad kebangsaan. Jadi ia cukup memberi kenangan yang sangat istimewa. Manakala assist paling saya ingat ialah bantuan gol saya untuk Sumareh juag ketika berdepan Thailand.

IKLAN

Bola sepak tidak akan sama lagi dalam beberapa tempoh yang panjang selepas ini. Ke manakah hala tuju bola sepak pasca PKP?

Sudah tentu jika liga atau sebarang kejohanan disambung akan dimainkan dalam stadium tanpa penonton. Ia mungkin akan ambil masa namun saya yakin segalanya akan kembali pulih. Dan bola sepak akan terus kembali menjadi sukan nombor satu di Malaysia.

Terlalu lama berlatih dan berada di rumah – adakah ini menjejaskan prestasi pemain?

Jika perlawanan disambung terus selepas ini sedikit sebanyak prestasi akan terjejas. Pemain memerlukan sekurang-kurangnya sedikit tempoh masa untuk kembalikan kecergasan dan asah semula skil yang mungkin terperap agak lama.

Bagaimana anda terus berhubung dengan rakan sepasukan Selangor FC dan skuad Harimau Malaya?

Kita beruntung kerana lahir dalam era di mana teknologi boleh diakses oleh hampir setiap orang. Jadi setiap hari saya dan rakan sepasukan sama ada Selangor atau skuad kebangsaan berhubung melalui panggilan video. Kami berkongsi pelbagai tip senaman dan cara mengekalkan motivasi diri agar sentiasa positif. Malah kami juga ikuti sesi latihan bersama secara online yang dikendalikan oleh staf kejurulatihan.

Perancangan dan sasaran bersama Selangor dan Harimau Malaya?

Saya datang ke Selangor untuk meraih banyak kejuaraan, bermain bola sepak yang berkualiti dan memberi cabaran baru kepada diri sendiri. Saya juga ingin tampilkan kemampuan diri dengan beraksi sebaik mungkin untuk The Red Giants.

Bagi pasukan kebangsaan pula, saya harus terus fokus bermain sebaik mungkin untuk Selangor. Jika prestasi saya baik maka Coach Tan akan pilih saya bermain bersama Harimau Malaya. Harapannya agar kita dapat layak ke Piala Asia 2023 dan memasang impian layak ke Piala Dunia.

Apakah perkara pertama yang ingin anda lakukan bila tamatnya PKP?

Selain bermain bola sepak. saya ingin rasai semula nikmat untuk berada di luar dan menikmati keindahan alam. Saya juga ingin pergi ke cafe menikmati kopi kegemaran.

Tapi bila difikirkan kehidupan saya sebelum ini tidaklah jauh berbeza dengan apa yang dialami sekarang. Bezanya saya ada latihan bola yang banyak. Selainnya habiskan masa dengan keluarga, berada di kafe, padang latihan dan duduk di rumah.

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI