
Aktiviti mandi-manda di sungai, berkhemah berhampiran air terjun atau mendaki ke kawasan jeram memang antara pilihan rekreasi hujung minggu yang cukup popular. Namun apabila negara memasuki tempoh Monsun Timur Laut (MTL), suasana yang kelihatan tenang boleh berubah dalam masa sangat singkat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan aktiviti rekreasi air termasuk berenang, mandi-manda, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air sepanjang MTL 2026/2027.
Peringatan tersebut dibuat susulan keadaan cuaca yang tidak menentu serta episod hujan lebat dan berterusan yang boleh menyebabkan paras air naik secara mendadak, arus bertambah kuat dan seterusnya mencetuskan fenomena kepala air.
MET Malaysia sendiri menjelaskan bahawa Monsun Timur Laut lazimnya membawa hujan lebat terutama ke Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah. Pada musim seperti ini, perubahan cuaca di kawasan hulu boleh memberi kesan besar kepada aliran sungai di kawasan yang jauh di bawah.
Kepala Air Boleh Datang Tanpa Banyak Amaran
Bahaya utama fenomena kepala air ialah ia tidak semestinya bermula di kawasan tempat seseorang sedang beriadah.
Hujan lebat mungkin berlaku beberapa kilometer di kawasan hulu, sedangkan cuaca di tempat anda berada masih kelihatan baik. Air yang terkumpul kemudian bergerak dengan pantas ke bahagian hilir, membawa bersama sampah, ranting, batu dan kayu.
JBPM dalam kenyataan disiarkan BERNAMA memberi peringatan, “Fenomena kepala air boleh berlaku dalam sekelip mata, jangan tunggu sehingga air menjadi deras untuk bertindak. Keselamatan nyawa hendaklah sentiasa menjadi keutamaan.”

Panduan keselamatan air JBPM turut menjelaskan bahawa hujan lebat luar biasa di kawasan hulu boleh mencetuskan kepala air, dengan arus kuat membawa daun kering, ranting, batu dan batang pokok atau balak sepanjang laluannya.
Sebab itu kesilapan paling besar ialah menunggu sehingga air benar-benar deras sebelum beredar. Apabila arus sudah terlalu kuat, peluang untuk bergerak ke kawasan selamat boleh menjadi jauh lebih kecil.
Tragedi Sungai Pertak Jadi Peringatan
Peringatan JBPM hadir selepas tragedi kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor, yang melibatkan beberapa kumpulan melakukan aktiviti rekreasi dan pendakian.
Lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus deras dalam kejadian tersebut, manakala puluhan yang lain terkandas di kawasan sekitar.
“Selain itu, 26 individu yang terkandas di sekitar kawasan kejadian telah berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat,” jelas JBPM lagi.
Dalam perkembangan pada 10 November, lima daripada lapan mangsa yang dihanyutkan dilaporkan telah ditemukan lemas, manakala usaha mencari tiga lagi mangsa masih diteruskan. Operasi menyelamat turut berdepan arus deras dan risiko hujan susulan Monsun Timur Laut.
Kejadian tersebut memperlihatkan betapa pantas keadaan di sungai boleh berubah, terutama apabila aktiviti dilakukan jauh dari kawasan bandar dan akses bantuan kecemasan mungkin mengambil masa.
“Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan serius bahawa aktiviti rekreasi di kawasan sungai dan hutan mempunyai risiko keselamatan yang tinggi, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim monsun.”
Jangan Hanya Tengok Cuaca Di Tempat Kita Berdiri
Salah satu perkara yang mudah mengelirukan ketika berada di air terjun atau sungai ialah cuaca di kawasan tersebut mungkin masih cerah.
Namun itu bukan jaminan keadaan selamat.
Hujan di kawasan hulu boleh menyebabkan air turun dengan pantas ke hilir. Jadi sebelum memasuki kawasan rekreasi, semak bukan sahaja keadaan cuaca semasa tetapi juga amaran hujan di daerah dan kawasan sekitarnya.
MET Malaysia menyediakan maklumat ramalan serta amaran cuaca melalui laman rasmi dan aplikasi myCuaca, termasuk amaran hujan berterusan semasa musim monsun.
Sekiranya pihak berkuasa mengarahkan kawasan rekreasi ditutup atau meminta pengunjung beredar, arahan tersebut perlu dipatuhi walaupun keadaan pada waktu itu masih kelihatan tenang.
Jangan Cuba Melawan Arus
Apabila paras sungai mula meningkat, jangan buang masa mengemas barang terlalu lama atau cuba menyeberangi sungai sebelum air menjadi lebih deras.
Cari kawasan tinggi dan jauh daripada laluan air secepat mungkin.
Kepala air bukan sekadar peningkatan paras air. Ia boleh datang bersama arus kuat, kayu, batu dan serpihan besar yang mampu menyebabkan kecederaan serius walaupun seseorang pandai berenang.
Jika berlaku kecemasan, JBPM mengingatkan sekiranya berlaku kecemasan, orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan 999 dengan segera dan memberikan maklumat lokasi kejadian kepada pihak penyelamat.
Maklumat lokasi yang jelas sangat penting, khususnya di kawasan hutan atau air terjun yang mungkin tidak mempunyai alamat jalan yang mudah dikenal pasti.
Tip Kenal Pasti Kepala Air
Walaupun kepala air boleh berlaku dengan cepat, terdapat beberapa perubahan yang wajar dianggap sebagai tanda untuk keluar dari kawasan sungai dengan segera.
Paras air tiba-tiba meningkat
Jika batu, tebing atau kawasan cetek yang sebelum itu kelihatan jelas mula ditenggelami air dengan cepat, jangan tunggu untuk melihat sama ada keadaan akan kembali normal.
Arus berubah menjadi lebih kuat
Perubahan mendadak daripada aliran sederhana kepada arus yang lebih laju merupakan petanda keadaan di kawasan hulu mungkin sudah berubah.
Air mula membawa banyak daun dan ranting
JBPM menyatakan kepala air boleh membawa daun kering, ranting, batu serta batang pokok bersama arus. Peningkatan mendadak bahan hanyut perlu dianggap sebagai amaran serius.
Kelihatan kayu besar atau batu dibawa arus
Ini menunjukkan tenaga arus sudah cukup kuat untuk menggerakkan objek berat. Pada tahap ini, berada di dalam air sangat berbahaya.
Hujan lebat berlaku di kawasan sekitar atau hulu
Jangan hanya bergantung pada keadaan langit tepat di atas kepala. Jika kawasan berhampiran menerima hujan lebat berterusan, risiko kenaikan air tetap ada.
Air berubah secara mendadak
Perubahan luar biasa pada warna, kelajuan atau jumlah air perlu dijadikan alasan untuk beredar dahulu, bukannya menunggu kepastian.
BACA: Apa Itu Movember & Signifikasi Terhadap Kesedaran Kesihatan Lelaki
Dalam situasi sebegini, lebih baik keluar terlalu awal daripada terlambat beberapa minit.
JBPM sendiri mengingatkan orang ramai agar sentiasa memantau perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan langkah pencegahan.
Aktiviti sungai dan air terjun memang menyeronokkan, tetapi ketika musim monsun, keadaan alam tidak boleh dinilai berdasarkan apa yang kelihatan di depan mata sahaja.
Jika ada keraguan terhadap cuaca atau keadaan sungai, keputusan paling selamat adalah mudah — tangguhkan aktiviti dan datang semula pada hari lain.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
