
Bagi komuniti motosikal, khususnya pemilik Harley-Davidson, pengalaman menunggang bukan sekadar tentang memiliki sebuah jentera berkapasiti besar atau mengembara dalam konvoi. Kemahiran mengawal motosikal dengan baik, keyakinan ketika berada di jalan raya serta hubungan sesama komuniti menjadi sebahagian daripada budaya yang sama pentingnya.
Atas semangat itu, Harley-Davidson Malaysia baru-baru ini menamatkan program Skilled Rider Training (SRT) terbesar pernah dianjurkan di negara ini, menghimpunkan seramai 40 penunggang Harley-Davidson dari Penang, Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Singapura.
Program sehari penuh berkenaan memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting termasuk manuver berketepatan tinggi, kawalan motosikal pada kelajuan rendah serta peningkatan aspek keselamatan ketika menunggang.

Menariknya, peserta yang menyertai latihan tersebut datang daripada pelbagai generasi. Ada penunggang berusia awal 20-an, manakala peserta paling berusia pula berada dalam lingkungan 80-an.
Perbezaan usia itu sendiri memberikan gambaran yang cukup jelas mengenai daya tarikan Harley-Davidson, yang bukan sekadar bergantung pada satu kelompok umur atau generasi tertentu.
Kawalan Kelajuan Rendah Sama Penting Dengan Kuasa
Bagi penunggang motosikal besar, salah satu cabaran sebenar bukan semestinya ketika bergerak laju di lebuh raya.
Mengendalikan sebuah motosikal berat dalam ruang sempit, membuat pusingan U, bergerak perlahan dalam kesesakan atau mengawal keseimbangan ketika berhenti boleh menjadi antara situasi yang menuntut kemahiran lebih tinggi.
Sebab itu latihan SRT memberi perhatian kepada kawalan jentera pada kelajuan rendah serta manuver yang memerlukan ketepatan.

Kemahiran seperti ini mungkin tidak kelihatan dramatik seperti selekoh pada kelajuan tinggi, tetapi ia mempunyai kaitan langsung dengan keyakinan penunggang dalam penggunaan seharian.
Program tersebut turut menekankan protokol keselamatan yang dipertingkatkan, selari dengan matlamat untuk menjadikan penunggang lebih bersedia menghadapi pelbagai situasi sebenar di jalan raya.
Harley-Davidson Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Lotus’s Malaysia yang menjadi penaja lokasi rasmi untuk sesi latihan tersebut.

Lapan Penunggang Terima Pin Perak Khas
Selepas melengkapkan sesi latihan, kesemua 40 peserta menerima sijil rasmi penyertaan bersama pin SRT sebagai pengiktirafan kepada tamatnya program tersebut.
Namun lapan peserta yang mempamerkan tahap kawalan teknikal serta ketangkasan terbaik sepanjang latihan menerima satu lagi penghargaan khas menerusi pin perak.
Pengiktirafan itu bukan sekadar berdasarkan siapa yang mampu menunggang paling pantas, sebaliknya memberi perhatian kepada ketepatan, kawalan serta kemampuan mengendalikan motosikal dengan baik sepanjang tugasan yang diberikan.


Dalam komuniti motosikal, khususnya pemilik jentera besar, program sebegini memberi nilai yang lebih besar daripada sekadar satu sesi latihan.
Ia menyediakan ruang kepada penunggang untuk menyemak semula tabiat yang mungkin sudah lama dilakukan, memperbaiki teknik serta belajar daripada penunggang lain yang mempunyai pengalaman berbeza.
Dari Latihan Terus Ke H.O.G. BBQ Night
Selepas program latihan pada sebelah siang, tumpuan beralih kepada acara komuniti H.O.G. BBQ Night yang berlangsung di Makhan by Kitchen Mafia.
H.O.G. atau Harley Owners Group merupakan komuniti pemilik Harley-Davidson yang menjadi antara tonggak penting budaya jenama itu di seluruh dunia.
Kira-kira 150 ahli komuniti hadir memeriahkan acara malam tersebut yang membawa tema “Wild Wild West”.

Para peserta hadir dengan gaya berinspirasikan Barat, manakala penganjur turut menyediakan patch koboi edisi terhad yang dihasilkan khas untuk acara berkenaan.
Pendekatan ini menunjukkan sisi lain dunia motosikal yang sering terlindung di sebalik imej jentera besar dan bunyi enjin V-twin.
Bagi ramai pemilik Harley-Davidson, pengalaman memiliki motosikal tersebut turut datang bersama sebuah komuniti.
Konvoi, perjumpaan, latihan, acara sosial dan perjalanan jarak jauh menjadi antara perkara yang membina hubungan sesama penunggang, malah dalam banyak keadaan persahabatan itu boleh bertahan bertahun-tahun.
H.O.G. Malaysia Jalin Kerjasama Dengan Makhan by Kitchen Mafia
Dalam acara yang sama, Harley-Davidson Malaysia turut mengumumkan kerjasama jangka panjang antara H.O.G. Malaysia dan Makhan by Kitchen Mafia.
Menerusi kerjasama tersebut, ahli H.O.G. yang sah akan menikmati keistimewaan dan diskaun khas ketika menjamu selera di premis berkenaan.
Walaupun kelihatan seperti satu kerjasama gaya hidup biasa, ia sebenarnya mencerminkan bagaimana komuniti motosikal moden semakin berkembang di luar aspek pemilikan jentera.

Jenama motosikal kini tidak hanya menjual produk, tetapi membina satu ekosistem pengalaman yang merangkumi perjalanan, sosial, pakaian, makanan, acara dan hubungan komuniti.
Untuk sebuah jenama seperti Harley-Davidson yang sudah cukup sinonim dengan konsep kebebasan dan pengembaraan, elemen sebegini menjadi sebahagian daripada identiti yang dibina selama beberapa generasi.
Asia Harley Days 2026 Antara Acara Akan Datang
Bukan sekadar meraikan program SRT dan komuniti H.O.G., Harley-Davidson Malaysia turut menggunakan kesempatan tersebut untuk memberi gambaran mengenai perancangan aktiviti mereka seterusnya.
Antara yang bakal menjadi tumpuan ialah Asia Harley Days 2026, selain beberapa program tunggangan utama di peringkat nasional dan serantau yang dirancang sehingga awal 2027.
Walaupun butiran penuh jadual belum didedahkan dalam kenyataan media tersebut, pengumuman itu memberi petunjuk bahawa kalendar aktiviti komuniti Harley-Davidson Malaysia bakal terus sibuk dalam beberapa bulan akan datang.
BACA: MotoGP Malaysia Pecah Rekod Kehadiran Lagi, Hampir 200,000 Penonton Hadir Ke Sepang
Bagi pemilik yang melihat motosikal bukan sekadar sebagai kenderaan hujung minggu, aktiviti seperti ini memberikan ruang untuk mereka meneroka lokasi baharu, bertemu komuniti lebih besar dan meningkatkan kemahiran menunggang dalam suasana yang lebih tersusun.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
