
Setiap kali masuk November, kita mungkin mula melihat lebih ramai lelaki menyimpan misai. Bagi sesetengah orang ia sekadar perubahan gaya, tetapi di sebalik fenomena itu sebenarnya terdapat sebuah gerakan kesihatan lelaki global yang dikenali sebagai Movember.
Nama Movember berasal daripada gabungan perkataan moustache atau “Mo” dan November. Misai dijadikan simbol untuk mencetuskan satu perkara yang kadangkala sukar dilakukan oleh lelaki… memulakan perbualan tentang kesihatan sendiri.
Daripada kanser prostat dan testis sehinggalah kemurungan serta risiko bunuh diri, mesej Movember cukup mudah. Lelaki tidak sepatutnya menunggu sehingga keadaan menjadi serius sebelum mula mengambil berat tentang tubuh dan minda mereka.

Bermula Daripada 30 Lelaki Di Melbourne
Movember bermula pada 2003 apabila dua sahabat, Travis Garone dan Luke Slattery, berbual di Melbourne, Australia mengenai trend fesyen lama yang kembali popular. Mereka kemudian tertanya-tanya mengapa misai tidak mengalami kebangkitan sama.
Daripada gurauan itu, mereka berjaya mengajak 30 lelaki menyimpan misai sepanjang November. Setahun kemudian, kempen tersebut mula distrukturkan dengan lebih serius dan kutipan dana disalurkan kepada Prostate Cancer Foundation of Australia.
Apa yang bermula sebagai cabaran kecil akhirnya berkembang menjadi gerakan antarabangsa. Menurut Movember, gerakan itu kini melibatkan lebih enam juta peserta sepanjang sejarahnya dan telah membiayai lebih 1,320 projek kesihatan lelaki di seluruh dunia. Fokus utamanya terbahagi kepada tiga bidang besar iaitu kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri, kanser prostat serta kanser testis.
Kanser Prostat, Jangan Tunggu Ada Simptom
Kanser prostat menjadi antara isu kesihatan utama yang dibawa Movember sejak awal kewujudannya. Risiko penyakit ini meningkat dengan pertambahan usia, manakala sejarah keluarga juga boleh meningkatkan risiko seseorang lelaki mengalaminya.
Namun kesedaran tidak bermaksud setiap lelaki perlu terus meminta ujian PSA tanpa berbincang dengan doktor.
National Cancer Institute (NCI) menjelaskan bahawa ujian prostate-specific antigen atau PSA boleh membantu mengesan perubahan pada prostat, tetapi bacaan tinggi tidak semestinya bermaksud seseorang mempunyai kanser. Keadaan seperti pembesaran prostat dan keradangan juga boleh meningkatkan PSA.
Disebabkan risiko keputusan positif palsu, overdiagnosis dan rawatan yang mungkin sebenarnya tidak diperlukan, keputusan untuk menjalani saringan PSA wajar dibincangkan bersama doktor berdasarkan umur, sejarah keluarga dan faktor risiko individu.
Mesej pentingnya bukan takut kepada pemeriksaan, tetapi jangan mengabaikan perubahan pada tubuh.
Kanser Testis Juga Melibatkan Lelaki Lebih Muda
Jika kanser prostat lebih kerap dikaitkan dengan lelaki berusia, kanser testis pula menjadi peringatan bahawa golongan muda juga perlu peka terhadap kesihatan sendiri.
Antara tanda yang disenaraikan NCI ialah ketulan atau bengkak tanpa rasa sakit pada testis, perubahan pada teksturnya, rasa tidak selesa pada bahagian testis atau skrotum serta rasa sakit yang membosankan di bahagian bawah abdomen atau pangkal paha.
Ia tidak bermaksud setiap ketulan ialah kanser, tetapi perubahan luar biasa sepatutnya diperiksa doktor dan bukannya dibiarkan kerana malu atau takut.
Inilah antara masalah yang cuba dilawan oleh Movember — mentaliti “tengok dulu macam mana” sehingga sesuatu masalah kesihatan menjadi lebih serius.
Kesihatan Lelaki Bukan Hanya Tentang Organ Reproduktif
Walaupun Movember memberi tumpuan khusus kepada kanser prostat, kanser testis dan kesihatan mental, kesedaran kesihatan lelaki juga perlu merangkumi risiko penyakit kronik.
Penyakit kardiovaskular kekal sebagai penyebab kematian utama dunia. WHO menganggarkan sekitar 19.8 juta kematian akibat penyakit kardiovaskular berlaku pada 2022, dengan faktor seperti penggunaan tembakau, diet tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, obesiti dan pengambilan alkohol secara berbahaya memainkan peranan penting.
Jadi, menjaga kesihatan lelaki tidak cukup sekadar pergi ke gim. Pemeriksaan tekanan darah, gula dalam darah, kolesterol, berat badan dan perubahan gaya hidup juga menjadi sebahagian daripada pencegahan.
Bahagian Paling Sukar: Kesihatan Mental Lelaki
Mungkin bahagian paling signifikan tentang Movember ialah bagaimana ia membawa isu kesihatan mental lelaki keluar daripada ruang senyap.
Lelaki sering dibesarkan dengan idea bahawa masalah perlu diselesaikan sendiri, emosi perlu dikawal dan meminta bantuan boleh dianggap sebagai kelemahan. Masalahnya, sikap seperti ini boleh membuatkan seseorang terus berdiam diri walaupun keadaan mental semakin merosot.
Kajian semakan yang diterbitkan pada 2026 mendapati pematuhan kuat kepada norma maskuliniti tradisional berkait dengan kecenderungan yang lebih rendah untuk mendapatkan bantuan psikologi dan meneruskan rawatan.
BACA: Ubermen Aura EDP Tampil Dengan 4 Haruman Baharu, Lengkapkan Rutin Grooming Lelaki Moden
Satu lagi semakan sistematik terhadap 47 kajian mendapati ketakutan dianggap lemah, keperluan untuk kelihatan berdikari dan stigma sosial menjadi antara halangan lelaki mendapatkan bantuan kesihatan mental.
WHO pula menyatakan lelaki secara umumnya kurang mendapatkan bantuan untuk masalah mental dan lebih berisiko meninggal dunia akibat bunuh diri berbanding wanita. Secara global, kira-kira 727,000 kematian akibat bunuh diri dianggarkan berlaku pada 2021.
Sebab itu bertanya kepada seorang kawan, “Kau okay ke sebenarnya?” bukan perkara kecil.
Kadangkala perbualan itulah yang membuka pintu kepada bantuan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
