Hidup di zaman yang serba canggih dan moden kini mungkin lebih mencabar kerana masing-masing sibuk dengan urusan seharian. Cuba kita tanya pada diri, cukup ke cara layanan kita terhadap si dia selama ini?

Selain beri kasih sayang, pernahkah kita cuba untuk memenuhi impiannya demi lihatnya tersenyum? Berapa kali kita memberi pujian pada si dia dalam sehari? Benar rasa cinta itu penting dalam hubungan rumahtangga, tapi hanya mengucapkan “I love you” sahaja tak cukup.

Jom kita tiru apa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW agar hubungan suami isteri nyata lebih mesra dan mekar berputik seperti saat pertama kali mula-mula anda jatuh hati dahulu!

Buat 5 Amalan Nabi SAW Ini Agar Anda Jadi Suami Teragung Di Hati Isteri!

1. Memberi hadiah

Si isteri mesti suka perkara ini. Ya, sebagai seorang suami anda harus peka dan tahu mengambil hati isteri. Jangan asyik bagi alasan “I tak tahu jadi lelaki romantik”. Kalau tak tahu, BELAJAR. 

IKLAN

Tak perlu barangan yang berjenama, cukup mengikut pada kemampuan anda. Belikan sekuntum bunga pun, perut si isteri dah penuh dengan rama-rama yang berterbangan. Tapi si isteri pun jangan lupa memberi kepada suami juga ye.

Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai.” (HR. Al-Bukhari)

2. Amalan memuji

Semua manusia suka dipuji. Setiap pasangan harus saling memuji dalam semua aspek kehidupan. Tak rugi pun kalau kita memuji pasangan kita kan. Bagaimana marah pun seseorang itu tetapi kalau dipuji, pasti hatinya akan sejuk serta-merta. 

IKLAN

Nabi gemar memuji isterinya dan baginda juga suka menggunakan bahasa-bahasa yang romantis apabila berkomunikasi dengan isterinya. Contohnya, nama panggilan yang sering digunakan oleh Nabi SAW terhadap isterinya Aisyah r.a adalah “Aish” yang bermaksud ‘Hidup’ atau “Humairah” yang bermaksud ‘yang berpipi kemerah-merahan’.

3. Saling membantu pasangan

Bukankah sebelum berkahwin anda telah berjanji dengan pasangan bahawa anda sanggup susah dan senang dengannya? Jadi apabila salah seorang daripada anda susah, pasangan harus tampil membantu. Tidak kisah remeh mana sekali pun kesusahan itu, anda mesti membantu untuk meringankan beban pasangan.

Diriwayatkan juga daripada Aisyah r.a, katanya: “Aku pernah melihat baginda Rasul SAW menaungi aku dari terik matahari dengan kain serban baginda sendiri, kerana pada ketika itu aku sedang asyik menonton orang-orang Habsyah sedang membuat pertunjukan di masjid, akhirnya aku merasa jemu melihat permainan tersebut.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

IKLAN

4. Peruntukan masa dengan pasangan

Hanya berdua okay? Kalau dah beranak-pinak tu mintalah tolong sesiapa jagakan anak sebentar. Bawa pasangan pergi bersiar-siar, ambil angin, kongsi kegembiraan dan rasakan nikmat bahagia itu bersama. Jangan jadikan anak-anak sebagai alasan untuk tidak mempunyai waktu bersama pasangan.

Menurut riwayat lain pula, dikatakan bahawa Aisyah r.a pernah memberitahu: “Tiba-tiba muncul beberapa orang berkulit hitam dan membuat pertunjukan di hadapan baginda Rasul SAW pada Hari Raya. Lalu Baginda Rasul SAW mengajak aku pergi menonton pertunjukkan itu. Maka aku dibiarkan Baginda Rasul menonton dari atas bahunya sehingga aku merasa puas.”

5. Amalkan sentuhan

Sudah sah sebagai suami isteri, jadi tiada apa yang mampu menghalang anda dari ‘melebih-lebih’ dengan pasangan. Rajin-rajinkanlah mengucup, memeluk atau bersentuhan dengan apa jua cara pun bersama pasangan.

Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya seorang suami melihat isterinya (dengan kasih sayang) dan isterinya pun melihatnya (dengan kasih sayang pula), maka Allah SWT melihat kedua-duanya dengan pandangan kasih sayang. Dan apabila suami memegang telapak tangan isterinya, maka dosa-dosa mereka keluar dari celah jari-jari tangan mereka.” (Riwayat Rafi’I dari Abu Sa’id)

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI