
BYD Sime Motors memperkenalkan barisan BYD SEALION 7 2026 yang kini terdiri daripada tiga varian, iaitu Dynamic, Premium dan Performance.
Pembaharuan ini membawa jarak pemanduan lebih jauh, pengecasan lebih pantas serta pilihan harga yang lebih mudah dicapai oleh pengguna Malaysia.
Varian Dynamic menjadi model baharu dalam keluarga SUV elektrik segmen D tersebut, manakala Premium dan Performance menerima peningkatan kapasiti bateri serta keupayaan pengecasan pantas.
Langkah ini bertujuan memenuhi keperluan pengguna yang mahukan sebuah kenderaan elektrik untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.
Sejak diperkenalkan pada 2024, BYD SEALION 7 mencatat lebih 6,300 unit penghantaran di seluruh negara dan menjadi SUV elektrik segmen D paling laris di Malaysia pada 2025.
Slogan asalnya, “Pinnacle of Performance, Redefined for Tomorrow”. Untuk 2026, ia dievolusikan kepada “Pinnacle of Performance, Redefined FURTHER for Tomorrow”.
BYD SEALION 7 Dynamic dijual pada harga RM163,800. Namun, 300 pelanggan pertama boleh mendapatkannya pada harga istimewa RM159,800 selepas penjimatan RM4,000.
Varian pacuan roda belakang ini menggunakan bateri Blade berkapasiti 71.8 kWh. Ia menghasilkan kuasa 170 kW dan tork 380 Nm, dengan jarak pemanduan sehingga 520 kilometer berdasarkan piawaian NEDC.
Pecutan dari 0 hingga 100 km/j mengambil masa 7.3 saat, manakala pengecasan pantas arus terus disokong sehingga 110 kW. Spesifikasi ini menjadikannya pilihan praktikal untuk pengguna bandar yang mahu beralih kepada SUV elektrik premium tanpa memasuki julat harga lebih tinggi.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, “BYD SEALION 7 telah membina reputasi sebagai SUV elektrik utama segmen D dan menerima sambutan baik daripada pelanggan Malaysia yang menghargai gabungan prestasi, teknologi, praktikaliti serta reka bentuk tersendiri.
“Dengan pengenalan varian Dynamic baharu serta penambahbaikan pada varian Premium dan Performance, pelanggan kini mempunyai fleksibiliti lebih besar untuk memilih kenderaan elektrik yang paling sesuai dengan gaya hidup mereka. Peningkatan terbaharu ini menjadikan BYD SEALION 7 2026 sebuah pakej yang lebih lengkap, menawarkan nilai lebih baik sambil menyokong perjalanan elektrifikasi negara.”
Varian Premium berharga RM188,800 dan menerima bateri Blade lebih besar berkapasiti 91.39 kWh, berbanding 82.56 kWh sebelum ini.
Peningkatan tersebut melonjakkan jarak pemanduan daripada 567 kilometer kepada 650 kilometer berdasarkan NEDC. Kuasa pengecasan pantas arus terus juga dinaikkan daripada 150 kW kepada 230 kW, sekali gus memendekkan tempoh menunggu di stesen pengecasan.
Bagi pengguna yang mahukan prestasi lebih agresif, varian Performance berharga RM203,800 menawarkan pacuan semua roda, kuasa 390 kW dan tork 690 Nm. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.5 saat serta mencatat jarak sehingga 600 kilometer.
Varian ini turut dilengkapi bateri 91.39 kWh, pengecasan pantas 230 kW, angkup brek merah dan roda 20 inci bagi menyerlahkan karakter lebih sporty.
BACA: Dua Badang Negara Gegarkan Glasgow, Sukan Angkat Berat Malaysia Raih Dua Emas Penuh Bergaya
Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew berkata kejayaan sesebuah jenama tidak seharusnya dinilai melalui angka jualan semata-mata.
“Kami percaya kejayaan sesebuah jenama bukan hanya perlu diukur berdasarkan jualan, tetapi juga melalui pengalaman pemilikan yang diberikan setiap hari.
“Pada hari ini, BYD mengendalikan 44 pusat jualan dan pemasaran, 28 kemudahan selepas jualan serta 12 pusat badan dan cat di seluruh Malaysia. Kami juga baru-baru ini melancarkan Program Kenderaan Terpakai Diperakui BYD, termasuk bilik pameran BYD Certified pertama di rantau Asia Pasifik.
“Kesemua pelaburan ini mengukuhkan komitmen kami untuk memberikan lebih keyakinan, kemudahan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan sepanjang perjalanan pemilikan mereka,” katanya.
Semua varian dilengkapi teknologi bateri Blade, sembilan beg udara, sistem bantuan pemanduan termaju, skrin tengah 15.6 inci serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan.
Pakej waranti merangkumi enam tahun atau 150,000 kilometer untuk kenderaan serta lapan tahun atau 160,000 kilometer bagi bateri voltan tinggi dan unit pacuan. Penyesuai Vehicle-to-Load serta kabel pengecas Jenis 2 dengan palam tiga pin turut diberikan secara percuma.
BYD SEALION 7 2026 boleh dilihat di jerayawara “BEYOND YOUR DRIVE” di 1 Utama hingga 2 Ogos 2026, selain di semua bilik pameran BYD seluruh negara.