
Dalam tempoh hanya tiga tahun, landskap automotif Malaysia berubah lebih pantas daripada apa yang dijangka ramai. Jika sebelum ini kenderaan elektrik dianggap niche, hari ini ia sudah menjadi sebahagian daripada arus perdana. Dan salah satu nama yang paling kuat menggerakkan perubahan ini ialah BYD Sime Motors, yang kini meraikan ulang tahun ketiganya dengan pencapaian yang sukar dipandang ringan.
Lebih 25,000 unit kenderaan BYD kini berada di jalan raya Malaysia. Angka ini bukan sekadar statistik jualan, tetapi gambaran bagaimana teknologi, gaya hidup moden dan kesedaran kelestarian semakin diterima oleh rakyat negara ini.
Setiap pemilik BYD membawa satu cerita baharu tentang perubahan menuju masa depan yang lebih hijau dan lebih efisien.
Paling mengagumkan, pemilikan EV BYD ini secara kolektif telah mengurangkan lebih 62,000 tan karbon dioksida setiap tahun, bersamaan dengan penanaman hampir 2.5 juta pokok — cukup untuk menghijaukan keseluruhan pesisir pantai Malaysia lebih enam kali. Ini bukan lagi sekadar pencapaian syarikat, tetapi impak sosial dan alam sekitar yang nyata.
BYD Sime Motors terus membuktikan dominasinya dalam segmen EV negara melalui rangkaian penuh tujuh model setakat ini, merangkumi sedan, SUV dan juga MPV.
Model ikonik BYD ATTO 3 kekal sebagai peneraju dalam segmen Elektrik SUV C, sementara tahun 2025 memperkenalkan dua bintang baharu, BYD ATTO 2 dan BYD SEAL 6, bersama versi dipertingkat bagi BYD SEAL.
Daripada pilihan mampu milik hingga premium, BYD menempatkan dirinya sebagai jenama yang memenuhi keperluan segenap lapisan pemandu Malaysia.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Menurut Eagle Zhao, “Ulang tahun ini menandakan satu pencapaian yang sangat bermakna bagi kami. Kini lebih 25,000 rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada keluarga BYD, menunjukkan betapa pesatnya pertumbuhan EV di negara kita.
“Komitmen kami untuk menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih hijau, pintar dan selamat telah membawa kami ke tahap ini dan kami amat menghargai kepercayaan rakyat Malaysia.
“Kami teruja untuk meneruskan perjalanan ini bersama dan terus memperkenalkan produk serta teknologi terbaik kepada Malaysia,” tambahnya lagi.
Bukan sekadar produk, sokongan infrastruktur juga menjadi sebab utama kejayaan BYD Sime Motors. Setakat ini, rangkaian nasional mereka merangkumi 39 pusat jualan dan pemasaran, 24 pusat servis serta 12 pusat badan dan cat sah.
Operasi ini disokong pula oleh gudang alat ganti berpusat dengan lebih 4,600 item dan kadar pemenuhan 94 peratus, memastikan tempoh pembaikan lebih cepat serta pengalaman pemilikan yang lancar untuk pelanggan.
Lebih 1,000 kakitangan tempatan turut dilatih secara profesional melalui pusat latihan khas, memastikan setiap pemilik BYD menerima standard perkhidmatan bertaraf global.
Manakala bagi Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors, Jeffrey Gan turut memberikan pandangannya terhadap pengiktirafan ini.
“Dalam tempoh hanya tiga tahun, BYD telah menjadi salah satu tunjang utama dalam portfolio automotif Sime Motors. Kami mempunyai asas yang kukuh untuk memperluas penggunaan kenderaan elektrik melalui rangkaian jualan dan selepas jualan yang kukuh, fasiliti canggih dan tenaga kerja EV yang mahir.
“Kenderaan kami telah mengubah landskap jalan raya Malaysia, menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses dan praktikal untuk semua.
“Terima kasih kepada semua pemilik BYD di Malaysia atas kepercayaan dan sokongan anda. Memberi pengalaman pemilikan yang terbaik kekal menjadi keutamaan kami”.
Menuju 2026, BYD Sime Motors semakin agresif dalam strategi jangka panjang. Mereka merancang pengembangan rangkaian, meningkatkan integrasi teknologi serta memulakan operasi pemasangan tempatan CKD untuk mencipta nilai baharu dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Di samping itu, pelanggan kini menikmati penjimatan akhir tahun hingga RM20,000 bagi model terpilih, selaras dengan tarikh akhir pengecualian cukai penuh EV import yang semakin hampir.
BACA: 6 Rutin Senaman Pagi Power-Up Mentaliti Lelaki
Ulang tahun ketiga ini bukan sekadar tanda kejayaan, tetapi simbol anjakan industri automotif Malaysia ke era baharu.
Dengan gabungan teknologi, rangkaian kukuh dan visi masa depan yang jelas, BYD Sime Motors bukan sahaja menerajui pasaran EV, tetapi membentuk cara rakyat Malaysia bergerak, memandu dan berfikir tentang mobiliti moden yang lestari.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.