Inspirasi

Chef Wan Bangga Cucu Sarung Jersi Malaysia, Isabella Bantu Malayan Tigress B-17 Mara Separuh Akhir

Share

Daripada dunia kulinari ke padang bola sepak, keluarga Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan kini mempunyai satu lagi pencapaian untuk diraikan apabila cucunya, Isabella Saffiya O’Luanaigh, terpilih membarisi skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun negara.

Isabella merupakan antara 22 pemain dalam skuad Malayan Tigress B-17 yang beraksi pada kempen Piala Srikandi Merdeka 2026 di Kudus, Indonesia.

Lebih manis, pemain berusia 14 tahun itu turut menjadi sebahagian daripada perjalanan skuad negara yang berjaya melangkah ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan besar 9-0 ke atas Arab Saudi dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Super Soccer Arena, Kudus.

Pencapaian itu nyata menggembirakan Chef Wan yang berkongsi rasa bangganya menerusi Threads.

Menariknya, chef selebriti tersebut mengakui dirinya bukan pengikut bola sepak dan hanya mengetahui perkembangan cucunya selepas dimaklumkan oleh anaknya, Serina Redzuawan yang juga ibu kepada Isabella.

“Saya baru tahu apabila Rina menghantar mesej kepada saya dan Qamal menghantar semua laporan media ini.

“Tahniah kepada Isabella dan pasukannya atas pencapaian mereka. Saya sangat bangga dengannya. Alhamdulillah,” katanya.

 

Lihat di Threads

 

Isabella Sarung Jersi Nombor 11

Isabella beraksi sebagai pemain tengah dan menyarung jersi nombor 11 bersama skuad negara.

Pada usia 14 tahun, peluang menyertai skuad kebangsaan bawah 17 tahun sudah menjadi pencapaian besar, apatah lagi apabila dia kini mendapat pengalaman beraksi dalam kejohanan antarabangsa bersama pemain yang lebih berusia.

Kemenangan 9-0 ke atas Arab Saudi pula bukan sekadar memberikan tiga mata kepada Malaysia.

Keputusan tersebut membolehkan Malayan Tigress B-17 mengatasi Hong Kong menerusi kelebihan perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan menamatkan saingan kumpulan dengan empat mata.

Situasi itu menjadikan setiap jaringan cukup penting dan membuka jalan buat skuad muda negara meneruskan kempen ke peringkat separuh akhir.

Menang Besar Walaupun Beraksi 10 Pemain

Apa yang menjadikan kemenangan tersebut lebih menarik ialah Malaysia terpaksa meneruskan sebahagian besar permainan dengan hanya 10 pemain.

Skuad kendalian Fairuz Montana Zainal Abidin kehilangan Dishanna Nagarajan Pillay seawal minit ke-21 selepas pemain berkenaan dilayangkan kad merah.

Namun kekurangan seorang pemain tidak mematahkan rentak pasukan negara.

Sebaliknya, Malayan Tigress B-17 terus menguasai permainan dan menghasilkan jaringan demi jaringan sehingga menamatkan perlawanan dengan kemenangan sembilan gol tanpa balas.

Bagi sekumpulan pemain muda yang sedang membina pengalaman di pentas antarabangsa, kemampuan mengekalkan disiplin dan fokus dalam situasi seperti itu boleh menjadi bekalan penting untuk perkembangan mereka selepas ini.

Bukan Sekadar Kebanggaan Seorang Datuk

Buat Chef Wan, pencapaian Isabella mungkin terasa sedikit berbeza daripada kejayaan yang biasa diraikannya dalam dunia seni dan kulinari.

Daripada hanya menerima berita menerusi mesej anaknya, kini beliau dapat melihat sendiri cucunya membawa nama Malaysia dalam sukan bola sepak wanita.

BACA: Anak Johor, Danish Iftikhar Lengkap Hatrik Emas, Pecah Rekod SUKMA 200m

Pada masa sama, perjalanan Isabella turut memperlihatkan kemunculan generasi muda dalam bola sepak wanita negara yang semakin berani mencabar diri di pentas antarabangsa.

Kejayaan mara ke separuh akhir Piala Srikandi Merdeka 2026 memberikan Malayan Tigress B-17 satu lagi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.

Bagi Isabella pula, apa pun keputusan selepas ini, pengalaman menyarung jersi negara pada usia 14 tahun sudah menjadi satu permulaan yang cukup bermakna dalam perjalanan bola sepaknya.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Published by
Farizul Izwany Ibrahim