Ads

Anak Johor, Danish Iftikhar Lengkap Hatrik Emas, Pecah Rekod SUKMA 200m

Danish
Foto: Media Digital Johor

Selepas mencipta sensasi dalam acara 100 meter dan membantu Johor menguasai 4x100m, Danish Iftikhar Muhammad Roslee sekali lagi membuktikan dirinya sebagai antara prospek pecut paling menarik negara apabila menutup kempen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan satu lagi emas.

Lebih manis, atlet Johor berusia 19 tahun itu bukan sekadar memenangi acara 200m lelaki di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), malah turut memecahkan rekod temasya.

Danish melintasi garisan penamat dengan catatan 20.85 saat, memadam rekod lama 21.01s milik atlet Selangor, Muhammad Aqil Yasmin yang bertahan sejak SUKMA Perak 2018.

Kemenangan tersebut melengkapkan hatrik emas buat Danish dalam acara 100m, 4x100m dan 200m sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai Raja Pecut SUKMA kali ini.

Anak Johor, Danish Iftikhar Lengkap Hatrik Emas, Pecah Rekod SUKMA 200m
Foto: MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Tiga Acara, Tiga Emas

Saingan 200m menyaksikan Muhammad Umaira Subri dari Kedah meraih pingat perak menerusi catatan 21.23s.

Seorang lagi pelari Johor, Muhamad Airiel Iskandar Rusli pula memastikan dua wakil negeri itu berada di podium apabila memperoleh gangsa dengan masa 21.35s.

Bagi Danish, kejayaan itu menjadi penutup sempurna selepas melalui jadual perlumbaan yang padat sejak hari pertama temasya.

Ads

“Selepas semua perlumbaan dari hari pertama SUKMA sehingga hari ini, Alhamdulillah, hanya itu yang mampu saya katakan kerana berjaya mengharungi semua acara, iaitu 100m, 4x100m dan 200m,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Danish
Foto: BERNAMA

Apa yang dilakukan Danish bukan sesuatu yang mudah. Acara pecut memerlukan tahap pemulihan, kekuatan dan fokus tinggi, terutama apabila seorang atlet perlu turun dalam beberapa disiplin dalam tempoh singkat.

Namun Danish berjaya mengekalkan prestasi sehingga acara terakhir, malah masih mampu menghasilkan catatan yang cukup pantas untuk memecahkan rekod temasya.

Rekod Kebangsaan Masih Jadi Sasaran

Walaupun berjaya mencipta rekod baharu SUKMA, Danish masih belum berpuas hati.

Ads

Dia merupakan pemegang rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.73s, bermakna masa 20.85s di SUKMA hanya 0.12 saat lebih perlahan daripada rekod peribadi terbaiknya.

“Saya percaya saya mampu memperbaiki catatan terbaik peribadi saya yang juga merupakan rekod kebangsaan,” katanya.

Keyakinan tersebut jelas menunjukkan Danish tidak mahu kejayaan di SUKMA menjadi kemuncak kepada perkembangannya.

Sebaliknya, temasya ini boleh menjadi platform untuknya membina momentum menuju kejohanan lebih besar serta terus mengejar catatan lebih pantas di peringkat antarabangsa.

Ads

Dilahirkan di Batu Pahat, Johor, Danish kini melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Perjalanan kariernya turut mempunyai sentuhan cukup peribadi apabila bapanya, Muhammad Roslee Ismail, memainkan peranan sebagai jurulatihnya.

BACA: New Era Masuki Dunia Larian, Perkenal Koleksi RUNNER ERA Untuk Pelari Aktif

Bagi Danish, tiga pingat emas dan satu rekod temasya menjadikan SUKMA Selangor 2026 antara kejohanan paling penting dalam perjalanan mudanya.

Pada usia 19 tahun, dia sudah memiliki rekod kebangsaan 200m dan kini menambah rekod SUKMA ke dalam koleksinya.

Cabaran selepas ini bukan lagi sekadar menjadi yang terpantas di temasya domestik, tetapi melihat sejauh mana Danish mampu terus menurunkan masa dan membawa kelajuan itu ke pentas yang lebih besar.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads