Automotif

China Haramkan ‘Hidden Door Handle’ Pada EV Mulai 2027 Demi Keselamatan Pengguna

Share

China mencipta sejarah sebagai negara pertama yang mengharamkan penggunaan rekaan hidden door handle pada kenderaan elektrik (EV), satu trend reka bentuk yang dipopularkan oleh Tesla milik Elon Musk.

Langkah ini hadir ketika industri EV global kini semakin diperhatikan oleh badan pemantau keselamatan susulan beberapa insiden kemalangan maut, termasuk dua kes di China melibatkan kenderaan elektrik Xiaomi, di mana kegagalan kuasa dipercayai menyebabkan pintu tidak dapat dibuka selepas kemalangan.

Di bawah peraturan baharu yang diumumkan, semua kenderaan hanya dibenarkan dijual jika mempunyai sistem pelepas pintu mekanikal, bukan sahaja di bahagian dalam, malah di bahagian luar pintu. Peraturan ini dijangka mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2027.

Keperluan Baharu Untuk Rekaan Pintu

Menurut garis panduan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, setiap pintu penumpang kecuali bonet belakang perlu mempunyai ruang recessed minimum bersaiz 6cm x 2cm x 2.5cm bagi membolehkan akses kepada pemegang pintu.

Di bahagian dalam pula, kereta wajib mempunyai tanda atau simbol bersaiz sekurang-kurangnya 1cm x 0.7cm bagi menunjukkan cara pintu boleh dibuka dengan jelas.

Bagi model yang sudah mendapat kelulusan dan berada di peringkat akhir untuk memasuki pasaran China, pengeluar diberikan tempoh tambahan dua tahun untuk mengemas kini reka bentuk pintu mereka.

Hidden Door Handle Popular Dalam Pasaran EV China

Rekaan pemegang pintu tersembunyi sebenarnya sangat meluas dalam pasaran New Energy Vehicle (NEV) China, yang merangkumi EV, hibrid serta kenderaan sel bahan api.

Data yang dipetik oleh China Daily menunjukkan kira-kira 60 peratus daripada 100 model NEV paling laris menggunakan hidden door handle, menjadikannya antara elemen reka bentuk moden paling biasa dalam industri automotif China.

Foto: Pedro Pardo AFP via Getty Images

Walaupun peraturan ini hanya terpakai untuk model yang dijual di China, kedudukan negara itu sebagai pemain utama industri automotif dunia bermakna keputusan ini berpotensi memberi kesan global.

Tesla Turut Dalam Pemerhatian Keselamatan Antarabangsa

Di peringkat antarabangsa, pemegang pintu Tesla juga sedang disiasat oleh pengawal selia keselamatan di Amerika Syarikat, manakala pihak berkuasa di Eropah turut mempertimbangkan peraturan serupa.

Pada November lalu, Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA) membuka siasatan terhadap pemegang pintu elektrik Tesla selepas laporan mendakwa ia tiba-tiba gagal berfungsi, sehingga menyebabkan kanak-kanak terperangkap di dalam kenderaan.

NHTSA memaklumkan mereka menerima sembilan aduan melibatkan Tesla Model Y keluaran 2021. Dalam empat kes, pemilik kereta terpaksa memecahkan tingkap untuk menyelesaikan situasi kecemasan tersebut.

BACA: 5 Perkara Perlu Dilakukan Bila Lampu ‘Check Engine’ Menyala

Keselamatan Sebenar

Larangan China terhadap hidden door handle menunjukkan bagaimana aspek reka bentuk moden kini mula dinilai semula apabila melibatkan keselamatan sebenar dalam situasi kecemasan.

Dengan peraturan baharu ini, industri EV dijangka akan bergerak ke arah reka bentuk yang lebih praktikal dan mesra pengguna, terutama ketika melibatkan risiko kegagalan kuasa dan akses keluar masuk kenderaan selepas kemalangan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Sumber: BBC

Published by
Farizul Izwany Ibrahim