
Hujan dan keadaan jerebu yang tidak menentu tidak menghalang ribuan peserta daripada terus melangkah ke garisan penamat apabila Coway Run 2026 kembali memeriahkan Stadium Merdeka dengan penyertaan lebih 11,000 rakyat Malaysia.
Edisi kali ini membawa makna tersendiri kerana menandakan 10 tahun penganjuran Coway Run, serentak dengan sambutan ulang tahun ke-20 Coway Malaysia. Bertemakan “Rentak Ke Hadapan” atau Forward Without Limits, acara itu membawa mesej bahawa kemajuan tidak semestinya berlaku dalam keadaan sempurna, tetapi lahir daripada keazaman untuk terus bergerak walaupun berdepan cabaran.
Sepanjang sedekad, Coway Run berkembang daripada sebuah acara larian kepada platform yang menghimpunkan komuniti, menggalakkan gaya hidup aktif serta memberi ruang kepada peserta untuk menguji kemampuan fizikal dan mental masing-masing.
Menurut Pengurus Bahagian Pemasaran Coway Malaysia, Janice Tan, edisi tahun ini membawa dua pencapaian penting buat syarikat dan komuniti yang membesar bersama acara tersebut.
“Acara Coway Run tahun ini membawa makna yang cukup istimewa buat kami kerana ia menandakan dua pencapaian penting, iaitu ulang tahun ke-20 Coway di Malaysia dan sedekad penganjuran Coway Run.
“Sepanjang perjalanan ini, kami telah menyaksikan individu daripada segenap lapisan masyarakat yang menetapkan matlamat baharu, mencabar diri dan melepasi batasan kemampuan mereka. Di Coway, kami percaya setiap orang mempunyai potensi terpendam, dan Coway Run dianjurkan untuk mendorong mereka mengambil langkah pertama bagi menyerlahkan potensi tersebut.”
Beliau turut melihat semangat peserta yang kekal meneruskan larian dalam keadaan cuaca mencabar sebagai gambaran tepat kepada tema tahun ini.
“Tema ‘Rentak Ke Hadapan’ mencerminkan keyakinan kami bahawa kemajuan bukan bergantung pada keadaan serba sempurna, tetapi lahir daripada keberanian dan keazaman untuk terus melangkah ke hadapan walaupun berdepan pelbagai cabaran. Walaupun dibasahi hujan, ramai pelari memilih untuk terus berjuang dan meneruskan larian mereka ke garisan penamat, sekali gus membuktikan semangat ketahanan diri yang menjadi teras kepada penganjuran tahun ini.
“Kami amat berbangga melihat ribuan rakyat Malaysia bersatu, bukan sahaja untuk mencabar diri sendiri tetapi juga menyokong satu inisiatif yang membawa impak bermakna kepada komuniti yang memerlukan,” katanya.
Kesihatan dan keselamatan peserta turut menjadi keutamaan apabila pihak penganjur mengambil pendekatan proaktif untuk menyesuaikan format acara berikutan keadaan cuaca serta jerebu.
Empat kategori tetap dijalankan merangkumi Larian 10KM, Larian 30KM yang diubah suai, Larian 5KM dan Larian Kanak-Kanak 5KM.
Kategori 30KM yang diubah suai dijalankan menggunakan laluan 10KM.
Dalam kategori Lelaki Terbuka Malaysia bagi acara tersebut, Anas Rosli muncul terpantas dengan catatan 36 minit 27 saat, manakala Michelle menjuarai kategori Wanita Terbuka Malaysia dengan masa 54 minit 24 saat.
Bagi kategori 10KM pula, Khairul Hazwan menjuarai Lelaki Terbuka Malaysia dengan catatan 40 minit 46 saat, sementara Ee Pui Yin mendominasi kategori Wanita Terbuka Malaysia dengan masa 43 minit 27 saat.
Kemeriahan acara diteruskan selepas larian dengan Stadium Merdeka menjadi ruang aktiviti untuk peserta, ahli keluarga dan penyokong.
Antara tarikan yang disediakan termasuk persembahan maskot Biddy Bear bersama penari, selain persembahan secara langsung dan sesi ramah mesra bersama penyanyi serta pelakon Hael Husaini.
Peserta turut berpeluang melengkapkan lapan stesen permainan untuk menyertai cabutan bertuah utama, dengan hadiah seperti BEREX Massage Bed dan BEREX Pebble Chair ditawarkan kepada pemenang.
Pendekatan tersebut menjadikan Coway Run bukan hanya acara kompetitif, tetapi sebahagian daripada pengalaman gaya hidup aktif yang boleh dinikmati bersama keluarga.
Coway Run 2026 turut meneruskan elemen kebajikan menerusi Coway Happy Water Project.
Sebanyak RM10 daripada setiap tiket yang dijual akan disalurkan kepada inisiatif berkenaan bagi membantu menyediakan akses air bersih kepada komuniti yang memerlukan.
Ia memberikan nilai tambahan kepada setiap penyertaan, apabila langkah peserta bukan sahaja membawa mereka menuju garisan penamat, tetapi turut menyumbang kepada usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat lain.
BACA: Kesihatan Jantung Bermula Dari Dalam Sel, Ini Peranan Mitokondria Yang Ramai Tidak Sedar
Selepas sedekad, Coway Run kini memasuki fasa baharu dengan identiti yang semakin jelas. Bukan semata-mata tentang siapa paling pantas, tetapi bagaimana sebuah acara larian boleh menjadi ruang untuk mencabar diri, membina komuniti dan terus bergerak ke hadapan bersama-sama.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.