“Daddy Will Defend You Gus Till I Die”, Aaron Aziz Tampil Pertahankan Keluarga

Share

Aktor popular, Datuk Aaron Aziz, sekali lagi menjadi topik perbualan hangat di media sosial, namun kali ini bukan kerana lakonan, tetapi kerana dituduh tidak peka terhadap isu kemanusiaan di Gaza.

Tuduhan yang dilihat berniat tidak baik itu pantas dinafikan oleh Aaron, yang kini sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah.

Kontroversi ini tercetus apabila sedutan video temu bualnya tular, yang didakwa sesetengah pihak sebagai memperkecilkan usaha misi bantuan seperti Global Sumud Flotilla (GSF). Namun, Aaron tampil menjelaskan bahawa dakwaan tersebut adalah fitnah semata-mata.

Tegas beliau, temu bual yang berlangsung dua minggu lalu itu hanya berkisar tentang pandangannya terhadap artis yang tidak bersuara mengenai isu genosid di Gaza, dan langsung tidak menyentuh tentang Sumud Flotilla atau mana-mana misi bantuan secara khusus.

“Soalan yang diberi kat saya adalah ‘Apa Pendapat Dato tentang artiste yang tak post atau tak bersuara tentang geno-cide Di Gaza?’ Terima kasih…. Jadi yang fitnah saya anda jawab lah Di akhirat nanti,” jelas Aaron.

*tonton video temu bual sebenar di bawah

Beliau menekankan bahawa sebagai seorang Muslim, sudah tentu dirinya menyokong perjuangan rakyat Gaza dan sentiasa menyuarakan isu kemanusiaan.

Kenyataan beliau secara jelas membidas tohmahan yang cuba mengaitkan beliau sebagai memperlekehkan mana-mana usaha bantuan.

Tindakan Tegas Aaron Aziz Demi Kesejahteraan Emosi Keluarga

Dalam satu hantaran terbaru, Aaron Aziz meluahkan rasa sedih yang mendalam apabila fitnah tersebut turut memberi kesan emosi terhadap anak-anaknya yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara.

“Bismillah, ya Allah permudahkan urusan kami, anak-anak saya di luar negara hamba tak dapat nak peluk dan tenangkan mereka dan hari jadi anak disambut dengan tangisan,” luahnya, menunjukkan betapa isu fitnah ini telah mengganggu keharmonian keluarganya.

Bapa kepada tiga anak ini tidak lagi berdiam diri. Memetik laporan Kosmo Online, Aaron dikatakan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyebarkan dakwaan palsu sehingga mencetuskan kecaman warganet terhadapnya.

Menerusi hantaran Instagram yang sama, pelakon itu turut memuat naik video bersama isterinya, Datin Diyana Halik, sedang berbincang dengan peguam mereka.

Warganet rata-rata menyokong tindakan Aaron Aziz, menganggap tindakan segelintir pihak menyebarkan video secara separa adalah tidak adil dan hanya bertujuan mengelirukan orang ramai.

BACA: Kapten Itali Cerita Detik Peluk Islam Dalam Tahanan, Akui Rasa Seperti ‘Dilahirkan Semula’

Aaron menutup isu ini dengan kenyataan yang paling penting: isu Gaza adalah soal kemanusiaan, bukan populariti atau content untuk dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Beliau menyeru semua agar menonton keseluruhan temu bual tersebut sebelum membuat sebarang kesimpulan dangkal, menegaskan bahawa sebarang bentuk tohmahan perlu dihentikan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah. 

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim