Dashboard Cover Boleh Jadi Punca Klaim Insurans Ditolak

Share

Bagi ramai pemilik kenderaan, dashboard cover atau pelapik papan pemuka hanya dianggap sebagai aksesori tambahan untuk mencantikkan ruang dalaman kereta. Nampak seolah-olah remeh, tetapi hakikatnya aksesori ini boleh membawa risiko besar yang mungkin tidak pernah terlintas di fikiran.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook, Rothstein Jeti, berkongsi pengalaman selepas terbabit dalam kemalangan sehingga airbag keretanya terbuka. Beliau mengakui hanya selepas insiden itu, barulah dia sedar bahawa dashboard cover tidak membawa apa-apa manfaat dari sudut keselamatan.

“Bayangkan kalau ia ditampal dengan kuat menggunakan double tape, mungkin airbag gagal berfungsi kerana terhalang. Ketika itu, risiko kecederaan lebih serius pasti berlaku,” jelasnya.

Risiko Utama Dashboard Cover

  1. Airbag Tersekat
    Sistem keselamatan utama ini boleh gagal berfungsi jika terhalang oleh pelapik tambahan, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan parah.

  2. Modifikasi Tidak Sah
    Sesetengah syarikat insurans menganggap dashboard cover sebagai pengubahsuaian yang tidak diluluskan pengeluar. Ia boleh menjejaskan perlindungan polisi anda.

  3. Klaim Insurans Ditolak
    Dalam situasi kemalangan, pihak insurans berhak menolak tuntutan dengan alasan kereta telah diubah suai tanpa makluman.

Walaupun Rothstein bernasib baik kerana airbag tetap berfungsi walaupun dashboard cover terkoyak akibat letupan, tidak semua orang mungkin bertuah. Ramai pengguna lain berkongsi pengalaman sama – ada yang mendakwa tuntutan insurans ditolak, malah ada juga yang menyaksikan airbag lambat terbuka akibat pelapik berkenaan.

Lelaki Maskulin, Buat Pilihan Bijak

Seorang lelaki sejati tidak hanya mengejar gaya, tetapi juga mementingkan keselamatan diri dan keluarga. Jangan kompromi aspek keselamatan hanya kerana mahu dalaman kereta nampak cantik.

  • Utamakan fungsi, bukan rupa. Biarkan dashboard sedikit pudar, asalkan airbag berfungsi sempurna.

  • Semak dengan insurans. Jika mahu tambah aksesori, pastikan ia tidak menjejaskan perlindungan polisi.

  • Pilih aksesori berkualiti. Elakkan aksesori murah dan tidak diluluskan yang boleh mengundang bahaya.

Dashboard cover mungkin nampak seperti aksesori kecil dan bergaya, tetapi realitinya ia boleh menjadi punca airbag gagal berfungsi serta klaim insurans ditolak. Lelaki Maskulin yang bijak sentiasa berfikir panjang – kerana nyawa dan keselamatan jauh lebih bernilai daripada kosmetik kereta.

Published by
Nana