
Setelah berminggu-minggu lamanya penonton diheret ke dalam dunia penuh helah, strategi dan realiti yang tidak pernah jelas hitam atau putih, siri drama thriller Honey Trap akhirnya tiba ke penghujung yang dijangka akan menggegarkan segala teori.
Surya Gabriel lakonan Nina KSC, perisik wanita yang bukan sekadar cantik dan berkaliber, tetapi simbol kepada keberanian dan ketahanan emosi.
Dia kini berada dalam misi paling berisiko tinggi yang pernah ditugaskan kepadanya.
Diburu oleh musuh, dipergunakan oleh sistem dan dikhianati dari arah yang tidak disangka, Surya berdiri di persimpangan yang bukan sahaja akan menentukan hidup matinya, tetapi juga hala tuju Masraya.
Di bawah arahan Imran Sheik, pengarah yang sebelum ini mengemudi Kudeta, episod akhir Honey Trap bukan sekadar penamat. Ia adalah letusan segala konflik dan misteri yang disulam rapi sejak episod pertama.
Naskhah yang ditulis bersama Siti Marzuliana Marzuki, Zuli Ismail, Amar Amir, Lemuel Ong dan Syakir ‘Mo’ Zakii ini membuktikan bahawa penulisan skrip di Malaysia mampu berdiri setaraf dengan produksi antarabangsa.
Dibarisi pelakon hebat seperti Nina KSC sebagai teraju utama, bersama Syarul Ezani, Ungku Ismail, Irfan Zaini, Ayez Shaukat Fonseka, Michael Chen, Amyza Aznan dan penampilan istimewa dari dunia Kudeta, Honey Trap
melebihi jangkaan dari segi lakonan dan naratif.Pertembungan dua organisasi, MSB dan CAKRA kini bukan lagi berlaga dalam sebuah vakum atau ruang rahsia. Ia kini menjadi medan perang terbuka.
MSB, dengan agendanya yang nasionalis dan sistematik. Manakala CAKRA pula dengan ideologinya yang kompleks dan jaringan kuasa yang mencengkam.
Dalam dunia di mana siapa benar dan siapa salah tidak lagi boleh ditentukan oleh logo di dada atau senjata di tangan, penonton dipaksa memilih untuk berpihak yang mana. Walaupun hakikatnya pilihan itu sendiri penuh dengan keraguan.
BACA: Bicara ‘Gender Manipulation’ Bersama Syarul Ezani & Nina KSC Menerusi Karya Thriller ‘Honey Trap’
“Adakah kemenangan itu benar-benar milik yang sebetulnya?”
Inilah persoalan yang akan menghantui penonton sejurus kredit terakhir muncul di skrin. Kerana dalam Honey Trap
, tiada siapa yang selamat, tiada siapa yang betulbetul menang. Yang tinggal hanyalah kebenaran yang terlambat dan kesan yang kekal.Episod akhir Honey Trap akan ditayangkan pada hari Jumaat, jam 9 malam, di Astro One dan sooka.
Saksikan penamat kepada sebuah naskhah yang membuktikan bahawa televisyen tempatan juga mampu menggugah minda dan emosi.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.