
Pelakon berbakat Niezam Zaidi buktikan bahawa menjadi pelakon bukan sekadar datang ke set, hafal dialog, dan buat babak.
Membawa watak Tajul dalam mega-drama Dia Bukan Syurga benar-benar menuntut pengorbanan yang lebih daripada itu fizikal, mental malah spiritual.
Dalam satu sesi temubual eksklusif ketika acara Final Viewing Party ‘Dia Bukan Syurga’ bersama peminat semalam, Niezam berkongsi tentang cabaran dalaman ketika menjayakan watak tersebut. Ini termasuklah bagimana dia berdepan rasa penat, tekanan mental dan juga mesej penting yang ingin dia sampaikan sebagai seorang lelaki, pelakon dan manusia biasa.
Bagi memastikan watak Tajul benar-benar meresap dalam dirinya, Niezam memilih untuk menjauhkan diri daripada kehidupan sebenar Niezam.
Dia ‘berpuasa sosial’ iaitu tidak keluar, tidak bergaul seperti biasa dan hanya bergerak seperti mana watak Tajul itu sendiri.
“Saya ikut keinginan Tajul. Pergi set kemudian balik rumah, itu saja.”
Ini bukan sekadar teknik, tapi bentuk method acting yang berat. Dan Niezam lakukan dengan penuh disiplin.
Ketika ditanya tentang momen paling memberi kesan, Niezam tanpa ragu menjawab, “Setiap kali babak emosi dan juga yang kena tinggikan suara. Badan sakit, jasad penat, jantung laju,” jelasnya.
Situasi fizikal yang mencabar bukan sahaja beri tekanan pada tubuh, malah turut mengganggu mental.
Namun Niezam bersyukur kerana dia merasa dilindungi walaupun pernah hampir pitam. Baginya, walaupun diri tenggelam hanyut dalam watak ketika di set, dia tidak pernah hilang kesedaran tentang siapa dirinya yang sebenar.
Watak Tajul adalah satu ruang seni, tetapi tidak mendefinisikan peribadinya di dunia sebenar.
“Saya tahu siapa saya. Dan saya tak takut persepsi orang. Orang tengok Tajul, tapi mereka tak kenal Nizam,” tambahnya lagi.
Dalam dunia yang cepat menghukum pelakon berdasarkan watak mereka, kenyataan ini sangat penting bahawa pelakon hanyalah penyampai, bukan pesalah.
Lebih daripada sekadar menyampaikan emosi atau cerita, Niezam menyelitkan mesej yang jauh lebih mendalam tentang peranan lelaki dalam keluarga.
Menurutnya, dalam rumah tangga, lelaki sepatutnya menjadi pelindung, bukannya pemusnah.
Ego perlu diturunkan, dan perbincangan secara matang itu wajib ada.
“Lower your ego, bro. Sedar akan ketelanjuran. Berbincang elok-elok. Jangan ego,” katanya.
BACA LAGI
: Jaga Pemakanan & Mula Aktif Bersenam, Zamarul Hisham Kongsi Perubahan Gaya Hidup Selepas Serangan Jantung
Niezam juga berharap agar masyarakat Malaysia lebih terbuka dan sedar tentang kewujudan penyakit seperti Borderline Personality Disorder (BPD) yang menjadi asas kepada watak Tajul.
“Ramai yang tak tahu langsung tentang penyakit ni. Harapan saya… bukalah hati untuk faham,” ujarnya.
Watak Tajul bukan direka semata-mata untuk drama, tapi sebagai refleksi realiti lelaki-lelaki yang sedang berperang dengan emosi tanpa sesiapa pun sedar.
Subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.