Mungkin anda pernah bercita-cita nak jadi seorang pelakon? Tetapi tahukah anda industri seni di Malaysia ini sebenarnya ada waktu tertentu agak ‘kejam’?

Kejam kerana ada pihak yang terpaksa memenuhi tuntutan pengiklan dan rating waktu siaran. Sehubungan itu, pihak stesen TV atau produser misalnya terpaksa memilih muka-muka pelakon yang sudah cukup terkenal.

Walaupun penonton mungkin akan bercakap, “Tak ada muka pelakon lain ke? Asyik-asyik muka dia ni ajer,” tetapi itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh segelintir lain-lain pelakon.

Tidak ramai follower media sosial

Berkongsi cerita yang agak ‘sadis’ itu, seorang pelakon tempatan, Taufik Hidayat Khan, 30, mengakui faktor demikian berlaku kerana seseorang pelakon itu tidak ramai follower di media sosial.

“Zaman sekarang.. stesen TV dan produser bagaikan terpaksa mengetepikan bakat seseorang pelakon. Mereka seperti terpaksa lebih pentingkan muka individu yang sudah ada ramai follower untuk muncul di platform mereka.

“Mengambil contoh diri saya sendiri, saya sudah terlibat dalam bidang lakonan lebih 10 tahun. Secara peribadi juga, hampir setiap tahun muka saya keluar di kaca TV tetapi disebabkan follower saya tidak ramai, sukar untuk saya diberi peluang besar,” katanya.

Takkan perlu bodohkan diri raih follower

IKLAN

Tambah Taufik lagi, takkan dia sampai perlu bodohkan diri dengan kontroversi semata-mata untuk meraih follower yang ramai bagi memuaskan hati stesen TV atau produser untuk memilihnya bagi menerajui mana-mana watak utama dalam projek akan datang.

Baginya, perkara itu adalah maruah yang perlu dijaga setiap anak seni yang mahu berkarya untuk masyarakat.

“Tetapi hari ini yang sebaliknya berlaku. Walaupun ada segelintir pelakon yang bakatnya dikritik masyakat, disebabkan dia menerima kecaman yang bombastik, dialah yang menerima populariti tersebut untuk disampaikan kepada masyakarat.

“Masalah ini perlu diperbetulkan untuk meningkatkan kualiti drama dan perfileman di negara kita. Tiada apa yang mustahil selagi kepercayaan kepada pelakon itu wujud bersama komitmen yang tulus dan ikhlas,” katanya.

Pelakon terima watak stereotaip

IKLAN

Antara lainnya masalah yang sering wujud dalam industri seni lakonan ini, seseorang pelakon itu ada kalanya diberi watak yang streotaip.

“Misalnya kalau muka saya ini, saya sendiri pun tak pasti kenapa pengarah akan berikan watak mat bangla, mamak atau pun komedi sedangkan jiwa saya.. saya teringin mahu pamerkan kemampuan saya untuk melakonkan watak-watak yang lebih berat dan beremosi.

“Sama juga seperti watak pembantu, saya selalu berharap jika menerima tawaran selepas ini, ujilah saya dengan watak yang bukan lagi klise atau yang ringan-ringan,” luahnya.

Tak salah merangkak dari bawah

Kongsi Taufik, anugerah yang pernah diterimanya adalah hasil daripada kutipan pengalaman selama 10 tahun dalam industri seni dan dia juga tidak malu untuk mengakui dia sememangnya bermula dari bawah.

IKLAN

“Ketika itu, saya mula menjejakkan kaki dalam industri seni sebagai seorang pelakon tambahan sahaja. Namun demikian, syukur Alhamdulillah kerana ada pihak yang memandang saya dan mula memberikan tugas untuk memegang watak berdialog.

“Memang agak lama terpaksa merangkak untuk membina kepercayaan dan berkat kesabaran itu, Alhamdulillah saya mula ditawarkan untuk menjadi pelakon pembantu bagi drama, telefilem serta filem untuk pasaranan tempatan,” katanya.

Ujar jejaka berasal dari Pulau Pinang ini lagi, apabila ditawarkan untuk memegang watak utama bagi menjayakan sesebuah dokudrama, itu juga merupakan kebanggaan buatnya kerana masih ada pihak yang percaya akan bakat yang dimiliki.

Serlahkan bakat secara ikhlas

“Yang penting.. serlahkan bakat secara ikhlas. Apabila diberi sesuatu watak itu, fokus dan lakonkan secara jujur.

“Belajar memahami watak, hayati watak tersebut dan sampaikan dengan penuh ikhlas agar penonton turut merasai emosi watak tersebut,” kongsi Taufik.

Katanya lagi, tidak menjadi kesalahan pun buat seseorang pelakon itu menjalankan kajian terhadap watak yang akan dibawa malah memberi keyakinan yang lebih baik.

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI