
Seorang lelaki di Texas menerima padah selepas tindakannya memandu Tesla Cybertruck miliknya ke dalam sebuah tasik bagi menguji ciri “wade mode” berakhir dengan insiden memalukan apabila kenderaan itu rosak dan hampir tenggelam.
Menurut Jabatan Polis Grapevine, pihak berkuasa menerima laporan pada Isnin mengenai sebuah kenderaan yang sebahagiannya tenggelam berhampiran tebing Tasik Grapevine.
Selepas siasatan dijalankan, polis mendapati pemandu terbabit sengaja memandu Tesla Cybertruck tersebut masuk ke dalam air untuk menguji kemampuan ciri khas yang diperkenalkan Tesla itu.
Namun eksperimen tersebut tidak berjalan seperti dirancang.
Kenderaan berkenaan akhirnya mengalami kerosakan selepas dimasuki air sebelum ditinggalkan bersama beberapa penumpang lain di lokasi kejadian.
Susulan insiden itu, pasukan penyelamat air daripada Jabatan Bomba Grapevine dikerahkan bagi membantu mengeluarkan Tesla Cybertruck tersebut dari tasik.
Walaupun situasi kelihatan serius, pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan pemandu mahupun penumpang lain.
Bagaimanapun, lelaki tersebut tetap ditahan polis atas beberapa kesalahan termasuk mengendalikan kenderaan di kawasan tasik yang ditutup serta melanggar peraturan keselamatan air.
Ciri “wade mode” pada Tesla Cybertruck direka untuk membantu kenderaan merentasi kawasan air cetek seperti sungai kecil atau laluan berlumpur.
Apabila diaktifkan, sistem tersebut akan meningkatkan tekanan bateri dan menyesuaikan beberapa komponen kenderaan bagi membantu kestabilan ketika melalui air.
Namun Tesla menetapkan had maksimum kedalaman air sekitar 81.5 sentimeter sahaja.
Ini bermakna ciri tersebut bukanlah lesen untuk memandu sesuka hati ke dalam tasik atau kawasan air dalam.
Malah dalam manual rasmi pemilik, Tesla turut mengingatkan bahawa pemandu bertanggungjawab menilai sendiri keadaan dan kedalaman air sebelum cuba merentasinya.
Lebih penting, sebarang kerosakan akibat kemasukan air juga tidak dilindungi di bawah waranti kenderaan.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai salah faham pengguna terhadap teknologi moden pada kenderaan masa kini.
Dalam era media sosial dan budaya “viral testing”, ramai pemilik kenderaan cuba menguji had sebenar teknologi secara ekstrem demi kandungan atau kepuasan sendiri.
Hakikatnya, walaupun sesebuah kenderaan dilengkapi teknologi canggih sekalipun, ia tetap mempunyai limitasi yang perlu difahami pengguna.
Tambahan pula bagi kenderaan elektrik (EV), risiko berkaitan air sentiasa menjadi isu sensitif kerana melibatkan sistem bateri voltan tinggi dan komponen elektronik kompleks.
Sebab itu kebanyakan pengeluar automotif termasuk Tesla sentiasa menekankan bahawa ciri bantuan pemanduan atau kemampuan off-road perlu digunakan secara bertanggungjawab dan mengikut garis panduan keselamatan.
BACA: 5 Sebab Minuman Isotonik Penting Selepas Larian Atau Bersenam
Ramai pengguna hari ini mudah terpengaruh dengan video promosi atau demonstrasi kemampuan sesebuah kenderaan tanpa memahami konteks sebenar penggunaan.
Walaupun Tesla Cybertruck dipasarkan sebagai sebuah trak futuristik dengan kemampuan off-road tinggi, ia tetap bukan direka untuk dijadikan bot atau digunakan dalam situasi berisiko melampau.
Dalam dunia automotif moden, teknologi memang membantu memudahkan kehidupan pemandu.
Tetapi akhirnya, keputusan paling penting tetap bergantung kepada common sense pengguna sendiri.
Dan dalam kes ini, cubaan menguji teknologi akhirnya bertukar menjadi operasi menyelamat di tengah tasik.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.