
Dalam dunia yang sering memuja gelaran profesional, seorang lelaki dari Kelantan membuktikan bahawa kejayaan sebenar datang daripada keberanian memilih jalan sendiri.
Muhammad Aqwa Diniy Mat Hassan, 33, lulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Al Azhar, Cairo, memilih untuk meninggalkan kerjaya doktor dan menceburi dunia kraf kulit satu keputusan yang mengubah kehidupannya secara total.
Segalanya bermula lima tahun lalu apabila Aqwa nekad mengikuti kata hati, meninggalkan profesion yang menjadi impian ramai.
Bagi Aqwa, bidang kraf kulit adalah “jiwa” sebenar dirinya. Dengan modal permulaan sebanyak RM300, beliau membeli peralatan asas dan kulit perca untuk menghasilkan produk kulit pertamanya.
Walaupun hasilnya pada awal tidak menepati standard, beliau tidak berputus asa, malah terus mengasah kemahiran demi mengejar kepuasan.
Di sebalik kejayaan ini, berdiri teguh seorang wanita Zu Ain Najwa Zuhan, isteri Aqwa yang juga seorang doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Kepercayaan dan sokongan padu daripada pasangan hidupnya menjadi pendorong utama untuk terus melangkah dalam bidang yang pada mulanya hanya dianggap sebagai hobi.
Kini, dari bengkel kecilnya di Kampung Paya Senang, Jalan Telipot, Aqwa menghasilkan pelbagai barangan kulit seperti beg, dompet, tali pinggang, keychain dan pemegang kad semuanya dijahit sepenuhnya dengan tangan.
Setiap tempahan mengambil masa antara sehari hingga tiga minggu untuk disiapkan, bergantung kepada kerumitan rekaan.
Adiknya, Nurdhiya Zafirah, 31, juga turut membantu dalam operasi bengkel.
Kualiti adalah keutamaan Aqwa. Beliau hanya menggunakan kulit asli premium yang diimport dari luar negara termasuk Italian Buttero, Italian Dollari, French Alran Sully dan British Birdle mewakili kulit lembu, kambing dan kuda terbaik di pasaran.
Untuk pelanggan yang mempunyai bajet terhad, beliau turut menyediakan pilihan kulit lembu atau kerbau tempatan.
BACA LAGI : Art of Speed 2025 Bukti Budaya Kustom Malaysia Semakin ‘Menggila’!
Selain menjual produk buatan tangan, Aqwa bercita-cita untuk membuka kelas kraf kulit kepada orang ramai serta menjalinkan kolaborasi dengan syarikat luar agar produknya dapat menembusi pasaran Singapura dan Brunei.
Baginya, ilmu perubatan yang ditimba selama enam tahun tidak sia-sia, malah banyak membantu membentuk disiplin dan cara berfikir yang strategik dalam membina empayar kecilnya hari ini.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.