Inspirasi

Dr Say Shazril Kongsi Rahsia Kejayaan Jadi Pasangan Suami Isteri Terpantas HYROX Di Malaysia

Share

Fenomena HYROX semakin berkembang di Malaysia dengan penyertaan yang semakin meningkat dalam setiap pertandingan antarabangsa. Jika sebelum ini acara kecergasan hibrid itu lebih didominasi atlet profesional dan komuniti fitness, kini semakin ramai selebriti tempatan turut menjadikannya sebagai cabaran baharu.

Antara figura yang cukup aktif dalam dunia HYROX ialah Dr Say Shazril. Doktor, personaliti televisyen dan pencipta kandungan itu mula serius menceburi sukan berkenaan sejak tahun lalu.

Lebih menarik, beliau kini bergandingan bersama isterinya, Dr Azura Abas, dalam kategori Mixed Double dan telah menyertai beberapa siri HYROX di Jepun, India serta terbaru di Jakarta, Indonesia.

Foto: Instagram @say_shazril

MASKULIN berpeluang menemu bual Dr Say mengenai pengalaman mereka bergelar antara pasangan suami isteri terpantas Malaysia dalam HYROX, cabaran latihan, strategi perlumbaan serta bagaimana beliau mengimbangi kerjaya, keluarga dan kecergasan.

MASKULIN: Dari sudut perubatan, apa sebenarnya yang berlaku pada tubuh badan semasa mengharungi fasa paling kritikal atau pain cave dalam HYROX?

Dr Say: Bila masuk pain cave, asid laktik dalam badan berkumpul, kadar degupan jantung meningkat mendadak dan otak mula menghantar isyarat supaya kita berhenti. Tapi kalau dari awal kita jaga pacing dan pernafasan, badan masih boleh terus beraksi walaupun ketika itu memang sudah sangat penat.

MASKULIN: Sebagai pasangan suami isteri, apa cabaran terbesar atau ‘drama’ di sebalik tabir semasa bertanding di HYROX Jakarta?

Dr Say: Drama memang tak ada sebab ini sudah perlumbaan keenam kami bersama. Strategi semua dah dirancang sebelum perlumbaan, termasuk pembahagian tugasan di setiap stesen. Saya buat sekitar 70 peratus dan isteri 30 peratus.

Cuma cabaran terbesar ialah bahagian larian sebab kemampuan larian kami berbeza. Selalunya bila berlari saya akan berada di depan kerana isteri jenis suka mengejar. Pada masa sama kami tak boleh berjauhan lebih daripada 10 saat, kalau tidak akan dikenakan penalti.

Foto: Instagram @say_shazril

MASKULIN: Selepas bergelar pasangan terpantas Malaysia dalam HYROX, adakah latihan kini menjadi lebih tertekan kerana mahu mengekalkan rekod?

Dr Say: Terus terang, ya. Kami memang lebih stres sebab kedua-dua kami sangat kompetitif. Mindset kami setiap kali berlumba ialah mesti lebih baik daripada perlumbaan sebelumnya.

Memang memenatkan, tetapi bila berjaya mencatat personal best, kepuasan itu memang sukar digambarkan. Segala penat lelah terasa sangat berbaloi.

Bagi kami, perlumbaan pertama mungkin boleh sekadar berseronok, tetapi untuk perlumbaan seterusnya kami mesti lebih baik sebab HYROX bukan murah. Tiket seorang pun sekitar RM700 hingga RM900, belum masuk kos penerbangan, hotel dan masa yang dikorbankan. Jadi kami mahu manfaatkan setiap penyertaan sebaik mungkin.

MASKULIN: Sebagai seorang doktor, apa amalan pemakanan atau pemulihan yang Dr Say lakukan tetapi mungkin ramai orang terlepas pandang?

Dr Say: Sejujurnya tiada rahsia. Dari segi pemakanan, kami lebih mengutamakan protein untuk membantu pemulihan otot selepas latihan dan karbohidrat sebagai sumber tenaga ketika latihan.

Dari sudut recovery, kami utamakan tidur. Memandangkan kami tidur bersama anak-anak, kualiti tidur memang tak begitu baik sebab ada yang masih bangun malam untuk minum susu. Secara purata kami tidur sekitar enam jam setiap malam.

Tetapi bila anak-anak ke sekolah, kami akan ambil tidur sekejap sekitar 30 minit setiap petang. Kami juga buat urutan setiap minggu dan pastikan ada satu hari rehat setiap minggu. Yang paling penting sebenarnya ialah konsisten.

Foto: Instagram @say_shazril

MASKULIN: Dengan komitmen sebagai doktor, pencipta kandungan, usahawan dan bapa, apa pengorbanan terbesar yang perlu dibuat demi HYROX?

Dr Say: Pernah dengar tentang Four Burners Theory? Teori itu mengatakan kalau kita mahu berjaya, kita perlu mengurangkan api pada satu atau dua ‘burner’. Kalau betul-betul mahu berjaya, kita mungkin perlu menutup dua terus.

Buat masa ini saya tutup dua, iaitu kerja dan kawan-kawan. Saya hanya fokus kepada kesihatan melalui HYROX dan keluarga.

Sebab itu saya tidak terlalu bercita-cita mengembangkan perniagaan atau membesarkan klinik saya. Fokus saya sekarang memang pada dua perkara itu.

Foto: Instagram @say_shazril

MASKULIN: Pada pandangan Dr Say, adakah HYROX sekadar trend yang dipopularkan media sosial atau mampu berkembang sebagai sukan jangka panjang?

Dr Say: Saya rasa HYROX ada potensi besar untuk kekal. Pertama sebab pergerakannya sama dan tidak berubah, jadi mudah untuk orang berlatih. Ia juga inklusif untuk semua lapisan masyarakat termasuk individu kurang upaya.

Kedua, gabungan latihan kekuatan dan endurance sangat menarik untuk mereka yang sudah bosan dengan latihan beban biasa dan mahukan perubahan, seperti saya dahulu. Begitu juga untuk pelari yang mahu mencuba sesuatu yang berbeza.

Mungkin suatu hari nanti HYROX akan jadi kurang popular apabila lebih banyak pertandingan seumpamanya muncul, contohnya ATHX Games, tetapi konsep sukan hibrid itu sendiri saya rasa akan terus berkembang.

MASKULIN: Pernah tak Dr Say rasa burnout atau tertekan kerana perlu sentiasa kelihatan fit di media sosial?

Dr Say: Terus terang, tidak. Saya buat semua ini bukan untuk memuaskan media sosial.

Saya mula berlatih HYROX sebab sudah bosan dengan rutin angkat berat. HYROX melatih endurance, sesuatu yang kebanyakan orang bina badan kurang gemar buat.

Saya sendiri dapat rasa tahap kesihatan semakin baik. Saya tak cepat penat bila berjalan jauh dan masih boleh berlari laju walaupun masih berotot, walaupun otot saya tak sebesar dulu.

Penat memang penat, tetapi tidak seteruk dahulu sebab tahap endurance saya sekarang jauh lebih baik.

BACA: 5 Sebab Pelari Biasa Mula Beralih Kepada Trail Running

Disiplin dan Konsistensi

Perjalanan Dr Say dalam HYROX membuktikan bahawa sukan ini bukan sekadar tentang menjadi yang terpantas atau paling kuat.

Ia menuntut disiplin, konsistensi dan kemampuan mengimbangi pelbagai komitmen dalam kehidupan.

Sebagai seorang doktor, suami, bapa dan pencipta kandungan, beliau menunjukkan bahawa kecergasan bukan sekadar sasaran jangka pendek, tetapi satu gaya hidup yang boleh dibina secara berterusan.

Dengan semakin ramai rakyat Malaysia mula mengenali HYROX, kisah Dr Say dan Dr Azura mungkin menjadi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk mencabar diri, keluar daripada zon selesa dan menemui potensi sebenar mereka.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim