
Foto hiasan janaan AI
Malaysia mencatatkan 35,368 kes penipuan pada tahun lepas, menyebabkan kerugian RM1.6 bilion, meningkat 29% berbanding tahun sebelumnya. Penipuan telefon kini menjadi antara modus operandi paling aktif digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa.
Terbaru, dua lelaki di Ipoh menjadi mangsa penipuan yang berbeza, membabitkan jumlah kerugian keseluruhan melebihi RM474,000. Satu melibatkan skim pelaburan palsu, manakala satu lagi melibatkan penipuan melalui panggilan telefon.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, pihak polis menerima dua laporan berasingan pada Ahad, 20 Julai.
Memetik laporan The Star, dalam kes pertama seorang penyelia tapak berusia 61 tahun telah melihat iklan pelaburan di Facebook bagi satu platform dinamakan “KKR Investment” pada 1 April lalu.
“Tertarik dengan janji pulangan antara 10% hingga 20% dalam masa singkat, mangsa menghubungi ejen dan seterusnya membuat 14 transaksi ke enam akaun bank berbeza, berjumlah RM307,315,” kata ACP Abang Zainal dalam satu kenyataan pada Selasa, 22 Julai.
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan cukai sebelum dibenarkan mengeluarkan ‘keuntungan’.
Kes kedua melibatkan seorang bekas pekerja kilang berusia 56 tahun yang menerima panggilan telefon pada bulan Jun daripada individu yang mendakwa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Pemanggil mendakwa nombor telefon mangsa dikaitkan dengan kes ah long dan menasihatkan mangsa membuat laporan polis.
Panggilan kemudian disambungkan kepada individu lain yang mendakwa dirinya pegawai polis dari Bukit Aman,” jelasnya lagi.
Mangsa kemudiannya diarahkan memindahkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke satu akaun lain untuk tujuan siasatan.
Pada 7 Julai, mangsa telah memindahkan RM166,897.58 ke satu akaun bank yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat.
ACP Abang Zainal mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat serta membuat semakan menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan kewangan.
“Elakkan daripada melabur melalui media sosial. Jangan mudah percaya panggilan tidak dikenali daripada individu yang mendakwa pegawai rasmi,” tegas beliau.
BACA: Manny Pacquiao Buat Comeback Di Gelanggang Tinju, Namun Catatkan Keputusan Seri
Penipuan seperti ini menunjukkan bagaimana sindiket masih aktif menggunakan teknik manipulasi psikologi dan teknologi untuk menjerat mangsa. Kewaspadaan adalah benteng pertahanan pertama.
Sumber: The Star
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.