Farid Kamil Buka Kedai Motor Elektrik, Bawa Revolusi Mobiliti Hijau

Share
Pelakon, pengarah dan usahawan terkenal, Farid Kamil, melakar sejarah baharu dalam perjalanan kerjayanya apabila melancarkan kedai motor elektrik pertamanya sebagai ‘Selangor Dealer’ melalui penubuhan NEO FK Sdn Bhd.
Usaha ini turut digerakkan bersama dua rakan kongsinya, Abdullah Sani Abu dan Mohammad Nor Hakim, dengan kolaborasi strategik bersama GGR Motor.
Langkah ini menandakan komitmen serius Farid dalam menyokong revolusi mobiliti hijau untuk rakyat Malaysia.

Dirasmikan Menteri Besar Selangor

Foto : Media Hiburan
Majlis pelancaran berlangsung di premis NEO FK Sdn Bhd yang terletak di 69GF Seria 88 Business Center, Setia Alam.
Pelancaran ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan turut disaksikan oleh wakil media, tetamu kehormat serta peminat industri automotif tempatan.
Acara tersebut bukan sahaja menandakan pembukaan rasmi kedai motor elektrik pertama Farid, tetapi juga memberi mesej kuat tentang masa depan industri automotif negara.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif NEO FK, Farid Kamil menekankan bahawa misi utama syarikatnya adalah untuk menawarkan motor elektrik berkualiti tinggi, mesra alam dan mampu milik.
“Motor elektrik ini bukan hanya untuk golongan tertentu. Semua lapisan masyarakat patut ada akses kepada mobiliti hijau. Sebab itu kami sediakan harga serendah RM1,599 untuk model tertentu,” ujar Farid ketika sidang media.

EV Sebagai Masa Depan Mobiliti

Farid percaya bahawa kenderaan elektrik adalah masa depan mobiliti negara.
Dengan adanya kerjasama erat bersama GGR Motor, proses transformasi teknologi hijau dapat dipercepatkan bukan sahaja di Selangor, malah ke seluruh Malaysia.
“Ini bukan sekadar bisnes, tapi sebuah usaha membentuk ekosistem baharu yang lebih mampan untuk generasi akan datang,” tambahnya.
Kedai motor elektrik NEO FK menawarkan pelbagai model motosikal EV yang dilengkapi dengan teknologi bateri moden, keupayaan pengecasan pantas dan ciri keselamatan terkini.
Selain memberi manfaat kepada pengguna, projek ini dijangka membuka peluang pekerjaan baharu khususnya dalam bidang penyelenggaraan EV, di samping memberi ruang kepada vendor tempatan untuk terlibat dalam ekosistem industri hijau negara.
Foto : Media Hiburan
Dalam ucapannya, Farid turut menyeru lebih ramai pemain industri automotif untuk tampil sebagai rakan strategik.
Langkah ini mengukuhkan peranan Farid bukan hanya sebagai ikon seni, tetapi juga sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan industri hijau di Malaysia.

Bukan Sekadar Selebriti

Keberanian Farid Kamil untuk terjun ke dalam bidang automotif hijau membuktikan bahawa selebriti juga mampu memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Dari layar perak ke dunia keusahawanan, Farid kini muncul sebagai wajah baharu untuk revolusi mobiliti hijau Malaysia.
“Ini adalah langkah pertama, insyaAllah akan ada banyak lagi inisiatif selepas ini,” tutup Farid dengan penuh yakin.
Sumber : MalaysianUpdates
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Published by
Darwisy Farain