Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel Baharu, Ledakan Kuasa dan Gaya Hidup Moden

Share

Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal Ford di Malaysia, memperkenalkan model yang paling dinanti peminat trak pikap, Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel serba baharu.

Dilancarkan di Heritage Valley Kuala Lumpur, model ini hadir dengan kombinasi keteguhan, keselesaan dan teknologi terkini, sekaligus mengubah penanda aras segmen trak pikap premium di Malaysia.

Di terasnya, Ford Ranger WildTrak baharu ini dikuasakan enjin turbo diesel 3.0L V6 yang menghasilkan 250PS pada 3,250 rpm serta tork 600Nm pada 1,750 rpm – angka tertinggi dalam segmennya.

Prestasi Lancar

Kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan empat roda sepenuhnya, memastikan prestasi lancar serta kawalan optimum dalam apa jua keadaan jalan raya.

“Pelancaran model terkini yang amat dinanti-nantikan ini memang dialu-alukan oleh dunia automotif tempatan dan menekankan komitmen kami menawarkan pilihan diyakini yang memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.

“Lebih berkuasa berbanding versi enjin 2.0-liter, Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan selesa, disokong oleh ciri-ciri serba lengkap yang memang diharapkan daripada Ford Ranger WildTrak,” kata Pengarah Eksekutif, Pasaran Pengedar Ford Asia Pasifik (APDM), Korea & Angkatan Pengangkutan Global, Sami Malkawi.

Trak ini juga hadir dengan enam mod pacuan berbeza iaitu Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand. Bahkan ia juga hadir dengan empat mod enjin lanjutan untuk menyesuaikan pemanduan sama ada di bandar, lebuh raya atau laluan lasak.

Reka Bentuk Luaran dan Dalaman Premium

Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel serba baharu menampilkan gaya luar yang bertenaga. Ia hadir dengan Lampu Depan Matriks LED Prestasi Tinggi, lampu siang berbentuk C-clamp, roda aloi 20 inci baharu, serta lambang V6 unik pada dapra hadapan.

Bahagian dalaman pula direka moden dan praktikal, dilengkapi skrin infohiburan sentuh 12 inci dengan SYNC® 4A yang menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar.

Skrin TFT 8 inci memudahkan akses maklumat pemanduan, manakala pad pengecas tanpa wayar dan pangkalan USB memberikan kemudahan tambahan. Kabin yang luas dan bergaya ini menjadikan setiap perjalanan lebih selesa dan berfungsi.

Keselamatan Bertaraf Tinggi

Aspek keselamatan menjadi teras kepada model ini dengan teknologi bantuan pemandu tercanggih dalam kelasnya.

Antara ciri utama ialah Sistem Pengesanan Titik Buta (BLIS), Amaran Keluar Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Henti dan Gerak, Panduan Tengah Lorong, Pemberitahuan Lalu Lintas Silang dan Brek Pasca Pelanggaran.

“Sama ada digunakan untuk menyusuri jalan-jalan di sekitar kota atau meneroka di luar kebiasaan, model terkini ini direka untuk menjaga keselamatan pemandu dan juga penumpang.

Dengan reka bentuk menyerlah, prestasi V6 dan ciri-ciri pintar menyeluruh, trak ini tiada tolok bandingnya bagi mereka yang mahukan lebih lagi daripada pemanduan harian mereka,” ujar Pengarah Urusan Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair.

Harga dan Tawaran Eksklusif

Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel ditawarkan pada harga RM192,888 di Semenanjung Malaysia, RM198,688 di Sabah dan Sarawak.

Empat pilihan warna disediakan iaitu Arctic White, Absolute Black, Luxe Yellow dan Meteor Grey. Pelanggan awal akan menerima Pakej Servis Lanjutan 2 Tahun, beg pendingin edisi terhad serta kerusi perkhemahan eksklusif Ford untuk tempahan dalam talian.

BACA: Tip & Teknik Dapatkan Larian 10km Dalam Masa Sebulan

Selain itu, Auto ConneXion-Ford juga memperkenalkan perkhidmatan Ford Mobile Service (FMS) yang menawarkan penyenggaraan kenderaan terus ke lokasi pelanggan, serta pengambilan dan penyerahan kenderaan di Ara Damansara dan Petaling Jaya. Express Service turut diperluas ke 15 pengedar seluruh negara bagi kemudahan pelanggan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim