GAC Malaysia Umum Datuk Remy Ishak Sebagai Duta Jenama Terbaharu

Share

GAC Malaysia mengumumkan pelantikan pelakon prolifik dan personaliti terkenal tanah air, Datuk Remy Ishak, sebagai duta jenama terbaharu, bergandingan dengan duta sedia ada, Jack Lim.

Pengumuman ini dibuat sempena acara GAC & AION Showcase di 1 Utama Shopping Centre ketika jenama ini sedang giat memperkukuh kedudukannya di pasaran tempatan.

Pelantikan ini hadir seiring dengan pelancaran dua model baharu iaitu GAC EMKOO C-SUV pemasangan tempatan dan GAC M8 PHEV MPV import sepenuhnya.

Dua Ikon, Satu Misi

Remy, yang mula mencuri perhatian rakyat Malaysia menerusi drama popular Nurkasih, bukan sahaja dikenali kerana bakat lakonannya, tetapi juga kerana personaliti bersahaja dan profesional yang dekat di hati peminat.

Karisma serta hubungan eratnya dengan masyarakat menjadikan beliau pilihan tepat untuk mewakili jenama automotif yang menekankan gaya, inovasi, dan kebolehpercayaan.

Sejak dilantik sebagai duta pertama pada 2024, Jack Lim telah menjadi wajah penting GAC Malaysia melalui inisiatif ONE GAC.

Beliau bukan sahaja membantu memperkenalkan model GAC GS3 EMZOOM kepada orang ramai, malah turut berkongsi pengalaman peribadi sebagai pengguna dan menyokong pelbagai aktiviti promosi, termasuk lawatan ke ibu pejabat GAC di China.

Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng, menyifatkan Jack sebagai lebih daripada sekadar duta, sebaliknya seorang penyokong setia jenama.

Tan turut menyatakan rasa teruja menyambut kehadiran Remy ke dalam keluarga GAC.

Menurutnya, kedua-dua duta ini mencerminkan nilai yang dibawa oleh GAC Malaysia – gabungan gaya elegan dan kebolehpercayaan harian.

GAC EMKOO & M8 PHEV Tarikan Baharu 2025

Dalam majlis itu, kedua-dua duta menerima kunci simbolik GAC EMKOO dan akan menjadi antara pemilik terawal model tersebut di Malaysia.

GAC EMKOO tampil dengan rekaan futuristik, ruang kabin luas dan ruang kargo terbaik dalam kelasnya, ditawarkan dalam dua varian Premium dengan harga anggaran bermula RM120,000 dan Premium Pro dari RM130,000.

Ia dikuasakan enjin 1.5TGDI bersama transmisi klac berkembar 7 kelajuan, serta dilindungi waranti kenderaan lima tahun atau 150,000km dan waranti enjin serta rangkaian kuasa tujuh tahun atau 180,000km.

Turut diumumkan, GAC M8 PHEV sebagai MPV flagship menawarkan gabungan prestasi dan kecekapan hibrid, dengan harga anggaran RM333,000 bagi varian Premium dan RM380,000 bagi varian Luxury.

Ia menggunakan enjin turbo 2.0 liter bersama sistem hibrid dua peringkat, memberikan jarak pemanduan sehingga 1,038km terbaik dalam kelasnya.

MPV ini turut dilindungi waranti kenderaan lima tahun atau 150,000km dan waranti bateri lapan tahun atau 150,000km.

BACA LAGI : Nuna x BMW, Gabungan Reka Bentuk Mewah & Fungsi Pintar untuk Keluarga Moden

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi www.gacmotor.com.my atau media sosial GAC Motor Malaysia bagi kemas kini acara, pandu uji, dan tempahan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain