
Tidak dinafikan lelaki berkepala botak sangat seksi pada mata wanita. Ini kerana lelaki botak sememangnya memiliki aura yang tersendiri.
Selain digambarkan sebagai terlalu berani dan sanggup berdepan dengan apa sahaja risiko, lelaki botak juga sering buat wanita merenyam dan jatuh cinta.
Kepala terlalu berkilat dan silau
Namun terdapat juga satu kisah lucu tentang lelaki berkepala botak ini seperti dalam sebuah video yang dikongsi Nazirul Nazrin di sebuah Jabatan Imigresen UTC Melaka.
Dalam video tersebut, Nazirul merakam gelagat rakannya, Muhammad Faridudin Zulkapar, 25, yang sedang bersiap sedia untuk mengambil gambar pasport.
Silau sangat smpai akak imigresen kene tekup kepala ?✨
Posted by Nazirul Nazrin on Saturday, June 15, 2019
Oleh kerana kepalanya terlalu berkilat dan licin sehingga mengganggu pencahayaan untuk mengambil gambar, seorang pegawai imigresen mengambil langkah drastik.
Caranya, menggunakan satu lagi panel hitam untuk menghalang cahaya daripada melimpah keluar bagi memastikan gambar yang terhasil kelihatan kacak dan elok.
Tak sangka video jadi tular
Ketika dihubungi Maskulin, Faridudin tidak menyangka video berkenaan menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi netizen.
“Tujuan saya buat pasport adalah kerana saya dan rakan-rakan ada bercadang mahu ke Jogjakarta, Indonesia jika berkesempatan.
“Namun tidak tahu pula saya tahu yang Nazirul ada merakam video tentang kejadian lucu berkenaan,” ujarnya kepada Maskulin.
Rasa kepala lebih ringan
Menganggap rakaman video itu sebagai hanya gurauan daripada rakan-rakan, Farid berkongsi cerita dia sebelum ini sebenarnya memiliki rambut.
“Tetapi lepas saya botak, kepala rasa sedikit ringan dan saya dah tak perlu lagi nak fikir soal rambut sama ada menjadi atau tidak.
“Kalau buka sahaja helmet, tak payah nak betul-betulkan rambut. Semuanya pasti OK dan terus jalan sahaja,” kongsinya.
Botak lambang keyakinan
Tidak menolak botak merupakan satu lambang keyakinan, Farid yang merupakan seorang pembantu teknikal sentiasa bersikap positif.
Kejadian Sabtu lalu sekitar pukul 3 petang di UTC Melaka itu ibarat satu kisah menarik untuk dikenang-kenangkan.
“Orang ramai di situ gelakkan peristiwa itu. Pada mulanya naik segan juga saya. Mujur ada kawan-kawan yang teman.
“Ya, teman untuk gelakkan saya bersama-sama. Kalau saya seorang di situ tak tahulah macam mana,” seloroh Farid kepada Maskulin.