Gimnasium China Tawar Porsche Panamera Jika Berjaya Turun 50kg, Tawaran Mengejutkan Yang Jadi Tular

Share

Sebuah gimnasium di wilayah Shandong, China mencetuskan perdebatan hangat apabila menawarkan kereta mewah Porsche Panamera kepada peserta yang berjaya menurunkan 50 kilogram dalam tempoh tiga bulan.

Cabaran ekstrem ini diumumkan oleh sebuah pusat kecergasan di Binzhou pada 23 Oktober lalu dan sejak itu menjadi tular di media sosial tempatan.

Ramai netizen terkejut dengan keberanian gimnasium tersebut menawarkan hadiah lumayan semata-mata untuk cabaran penurunan berat badan.

Bayar RM6,700 Untuk Sertai Cabaran Porsche Panamera

Foto : Peerspace (Gambar Sekadar Hiasan)

Menurut laporan South China Morning Post, peserta perlu membayar 10,000 yuan (RM6,720) sebagai yuran penyertaan.

Bayaran itu merangkumi penginapan dan makanan di kem latihan tertutup, di mana peserta akan tinggal di bilik kongsi sepanjang tempoh cabaran.

Namun begitu, gim berkenaan tidak menjelaskan secara terperinci pelan diet, rutin senaman, atau kaedah penilaian yang digunakan untuk menentukan kejayaan peserta mencapai sasaran berat badan mereka.

Hadiah Porsche Panamera Tapi Bukan Baharu

Poster promosi gim tersebut menjanjikan sebuah Porsche Panamera kepada sesiapa yang berjaya mencapai sasaran penurunan berat badan.

Model baharu kereta itu dijual sekitar 1.1 juta yuan (RM744,000) di pasaran China.

Bagaimanapun, jurulatih kecergasan dikenali sebagai Wang mengesahkan kepada media tempatan bahawa kereta tersebut bukan baharu, sebaliknya milik peribadi pemilik gim model tahun 2020 yang telah digunakan beberapa tahun.

Menurut Wang, kira-kira tujuh hingga lapan orang peserta telah menyertai cabaran berkenaan setakat ini.

Pakar Bimbang Risiko Kesihatan Dari Cabaran Porsche Panamera

Foto : SAYS (Gambar Sekadar Hiasan)

Walaupun tawaran Porsche Panamera itu kelihatan menarik, pakar kesihatan menegaskan bahawa penurunan berat badan sebegitu pantas boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Seorang pakar perubatan popular dikenali sebagai Dr. Zeng berkata, menurunkan 0.5 kilogram sehari adalah kadar yang terlalu cepat dan tidak selamat.

“Kadar selamat ialah sekitar 0.5 kilogram seminggu. Jika dilakukan terlalu cepat, ia boleh menyebabkan kehilangan otot, gangguan hormon, keguguran rambut dan masalah haid bagi wanita,” katanya.

Sementara itu, Pu Yansong, pakar bedah gastrointestinal dari Hospital Rakyat Wilayah Shaanxi, turut memberi amaran bahawa penurunan berat badan mendadak boleh memberi tekanan kepada organ dalaman dan bahkan mengancam nyawa.

“Proses pelangsingan yang sihat perlu dilakukan secara berperingkat supaya otak, otot dan organ dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tenaga,” jelasnya.

Cabaran luar biasa dengan hadiah Porsche Panamera

ini kini menjadi topik panas di platform Weibo dan Douyin.

Ramai pengguna menyifatkannya sebagai gimik pemasaran berisiko dan mendesak pihak berkuasa kesihatan China supaya memantau kempen kecergasan ekstrem yang boleh membahayakan nyawa.

Walaupun mencetuskan pelbagai reaksi, tawaran ini berjaya menarik perhatian ramai dan membuktikan betapa kuatnya pengaruh media sosial dalam mencipta trend kecergasan luar biasa di China.

Sumber : Sinar Harian

BACA LAGI : Syed Saddiq Sertai Ironman Malaysia 2025 Demi Misi RM1 Juta untuk Muar

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain