Hadi Fayyadh Cipta Sejarah Jadi Pemain Pertama Negara Beraksi Di Liga J2 Jepun

Share

Selepas menjadi naib juara Piala AFF Suzuki baru-baru ini, bola sepak negara terus dihiasi dengan berita baik pada hari ini apabila penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab Jepun, Fagiano Okayama.

Kelab yang beraksi di J2 League, liga profesional kedua negara tersebut merupakan kelab kebanggaan buat warga Okayama, Jepun.

Selepas menjalani sesi latihan sebanyak dua kali bersama kelab tersebut pada bulan September dan November yang lalu, impian Hadi untuk beraksi di negara matahari terbit kini menjadi kenyataan.

BACA: 10 Sneakers Paling Mahal & Bernilai Sepanjang 2018

Jelas Hadi menerusi Instagram, penghijrahanya ke kelab Fagiano Okayama merupakan satu permulaan baru karier bola sepaknya. Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tahun 2018 namun ia telah membuahkan hasil.

Di kesempatan itu juga dia mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada yang banyak membantu merealisasikan impiannya.

Difahamkan juga Hadi turut pernah menjalani latihan bersama sebuah lagi kelab Liga J2, Roasso Kumamoto pada Ogos lalu namun mungkin rezekinya tiada bersama kelab tersebut.

Hadi yang kini berusia 18 tahun merupakan bekas pemain Johor Darul Ta’zim II pada awalnya pergi ke Jepun untuk menimba pengalaman dan ia diuruskan oleh syarikat minuman Yakult (M) Sdn Bhd.

Kenyataan media dari Fagiano Okayama mengumumkan Hadi Fayyadh sebagai pemain mereka yang sah. Foto: Astro ARENA

Usaha sama seperti inilah yang sebenarnya kita sebagai peminat bola sepak negara ingin lihat agar bakat-bakat muda berpotensi mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Dengan menyarung jersi Fagiano Okayama, Hadi menjadi pemain Malaysia pertama dalam sejarah yang akan beraksi di Liga J2.

Beberapa tahun sebelum ini dua bekas pemain Harimau Muda negara iaitu Nazirul Naim dan Wan Zack Haikal pernah beraksi bersama FC Ryukyu, kelan divisyen 3.

Selamat berjaya di negara Jepun kami ucapkan buat Hadi. Make Malaysia proud!

Kredit foto: Yakult Malaysia

IKLAN