
Foto: BERNAMA
Kegagalan membayar saman tertunggak bakal menyaksikan hampir dua juta pengguna akan berdepan risiko disenarai hitam.
Ia merupakan senarai hitam dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan tindakan tersebut terpaksa dilakukan sekiranya pengguna gagal melangsaikan saman tertunggak sebelum 31 Disember ini.
Tindakan tegas itu diumumkan sebagai usaha meningkatkan tahap kesedaran terhadap keselamatan jalan raya yang dilihat masih rendah walaupun kerajaan telah memperkenalkan tawaran kadar istimewa sejak awal tahun.
Menurut pihak berkuasa, jumlah saman yang diselesaikan sepanjang tawaran kadar rata RM150 bermula 1 Januari lalu sehingga kini menunjukkan perkembangan positif, tetapi angka keseluruhan saman tertunggak masih terlalu tinggi.
Hal ini menimbulkan kebimbangan mengenai tahap disiplin dan kesedaran pengguna jalan raya di Malaysia.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata jumlah itu merangkumi 1,458,577 saman kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), 296,684 notis 114 (temu siasat berkaitan ubah suai kenderaan) dan 164,598 notis 115 (pemeriksaan kenderaan), menjadikan keseluruhan 1,919,859 notis saman tertunggak.
“Sepanjang tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 855,300 notis saman telah diselesaikan menerusi tawaran kadar istimewa atau flat rate yang diperkenalkan kerajaan bermula 1 Jan lepas. Namun, angka saman tertunggak masih tinggi dan menunjukkan tahap kesedaran pengguna jalan raya masih rendah,” katanya.
Bagi pengguna jalan raya yang mahu menyelesaikan saman, tempoh tawaran kadar istimewa masih dibuka sehingga hujung tahun ini.
Mereka hanya dikenakan bayaran RM150 bagi setiap saman, selain dikecualikan daripada Mata KEJARA (Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya).
“Selepas tamat tempoh tersebut, kadar kompaun akan kembali kepada RM300 serta dikenakan Mata KEJARA, manakala pesalah trafik juga akan disenarai hitam,” katanya kepada pemberita selepas Ops Khas Gempur Perdagangan di sini, malam tadi.
Tindakan senarai hitam ini bermakna pesalah trafik tidak akan dapat memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu sehingga saman dilangsaikan. Ia dijangka memberi impak besar kepada hampir dua juta pengguna jalan raya yang masih berdegil tidak menjelaskan saman.
Sementara itu, statistik menunjukkan saman di bawah sistem Automatik Keselamatan Awam (AwAS) menjadi kategori paling banyak direkodkan.
Lokasi yang paling tinggi ialah di Terowong Menora, Perak, yang mencatat purata 3,000 saman sehari terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan.
“Negeri paling tinggi jumlah saman ialah Selangor, Perak dan Johor, iaitu antara negeri yang mempunyai paling banyak kamera AwAS. Setakat ini, terdapat 49 kamera AwAS yang beroperasi di seluruh negara bagi penguatkuasaan had laju dan lampu isyarat,” katanya.
Beliau turut mendedahkan terdapat saman yang masih belum diselesaikan sejak lebih 10 tahun lalu, khususnya melibatkan notis 114 dan 115.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pengguna jalan raya agar segera mengambil peluang melangsaikan saman tertunggak sebelum 31 Disember ini.
BACA: Ramai Turut Sertai Acara Larian, Tapi Adakah Demi Kesihatan Atau Sekadar FOMO?
“Masih ada lebih kurang tiga bulan lagi. Ambil peluang ini untuk menyelesaikan saman dengan kadar istimewa dan elak daripada dikenakan tindakan lebih berat selepas ini,” katanya.
Langkah kerajaan ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk pesalah trafik membersihkan rekod masing-masing sebelum berdepan tindakan lebih ketat.
Kesedaran dan tanggungjawab pengguna jalan raya menjadi kunci utama dalam usaha menjadikan jalan raya Malaysia lebih selamat.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Sumber: BERNAMA