Mungkin ramai tidak menyangka bahawa penyanyi, penulis lirik dan artis serba boleh. Faizal Tahir tidak pernah mengadakan konsert solonya sepanjang aktif dalam industri nyanyian.
Selepas 17 tahun mengabdikan diri dalam karier nyanyian, Faizal Tahir akhirnya dibukakan hatinya untuk mengadakan konsert solo yang cukup dinantikan oleh peminatnya di seluruh negara. Pengumuman konsert ‘Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur’ pantas menjadi buah mulut terutamanya pengguna laman media sosial.
Rata-rata berasa teruja untuk menyaksikan persembahannya dan tidak kurang juga yang membicarakan tentang harga tiket yang ramai menganggap sedikit mahal.
Pada sidang media yang berlangsung di Jio Space, Petaling Jaya semalam, Faizal Tahir sempat berkongsi serba sedikit tentang perkara ini.
Jelasnya, walaupun sedikit terkejut selepas dimaklumkan oleh pengurus acara, Jio Events tentang harga tiket konsertnya bermula pada harga RM488 (platinum) hingga RM688 (VIP) namun dia percaya ada sebab munasabah.
Ads
SERAHKAN KEPADA PAKAR
“Saya sedikit terkejut tapi tak adalah sampai saya persoalkan, saya letakkan bidang ini kepada yang pakar. Mereka ada data dan analisis tersendiri.
“Soal harga ini saya tak boleh jawab lebih sebab di luar bidang kuasa saya. Saya pun sejujurnya bila tengok harga tiket tu ada bertanya semula kepada mereka (pengurusan), tapi saya serahkan segalanya kepada mereka.
“Saya tak tahu nak kata salah saya juga tak ambil pusing harga tiket atau tak tanya, tapi saya difahamkan mereka mengambil kira banyak benda sebelum meletakkan harga tiket sebegitu.
Ads
Faizal juga turut menegaskan bahawa untuk melakukan semakan semula harga tiket bukan satu perkara yang baik juga sebab sudah diumumkan. Tambahnya lagi, dia yakin pihak penganjur pun sudah ada strategi dan pakej yang disediakan.
Dengan harga yang diletakkan pada paras itu, Faizal bertekad untuk memberikan persembahan terbaik bagi memberikan keadlian terhadap harga tiket yang dibayar oleh peminatnya.
SHOW MUST GO ON!
Menurut pelantun lagu ‘Sampai Syurga’ ini lagi dia tidak ingin mengambil kritikan yang boleh mengacau fokusnya.
“The show must go on, sentiasa ada kebarangkalian orang tak nak beli atauorang nak boikit. Kalau tak ada orang nak masuk tengok pun, saya akan masih teruskan persembahan.
Ads
“Tapi saya sebagai artis yang sudah 17 tahun dalam industri, saya ada sesuatu untuk dikongsikan kepada orang ramai dan saya akan pastikan ini adalah lebih kepada pengalaman muzik. Bukan hanya datang tengok saya perform dan balik tak dapat apa,” tambahnya lagi.
Konsert ‘Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur’ ini dibawakan secara eksklusif oleh Allianz Malaysia Berhada pada 2 September 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre.
Tiket-tiket berharga RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP) boleh dibeli menerusi www.jiotix.asia atau hubungi hotline: 011-5100 3111 (kiriman WhatsApp sahaja).
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Siapa sangka lelaki kaya dan genius ini pernah ditolak sebanyak 17 kali untuk meyambung pengajian ke universiti namun akhirnya beliau berjaya melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik.
Shahmeer amat meminati penggunaan komputer sejak kecil. Semasa awal penglibatan dalam dunia pengkomputeran, beliau selalu menemui bugs dalam komputer Pentium 3. Hanya dengan menggunakan Google, beliau mampu untuk mencari penyelesaian untuk masalah bugs.
1. Gagal di Usia Muda, Beliau Tidak Pernah Berputus Asa
Shahmeer Amir bersama keluarga berpindah dari Multan ke Karachi ketika beliau berusia 13 tahun. Dia mendapat pendidikan sekolah rendah dari Rangers Public School, sebelum menyambung ke peringkat menengah di Government Degree College dalam bidang kejuruteraan. Walaupun permohonan beliau untuk meyambung pengajian ke universiti telah ditolak sebanyak 17 kali, beliau akhirnya berjaya mendapat biasiswa untuk belajar di Usman Institute of Technology dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik.
2. Mempunyai Prinsip Yang Tinggi, Beretika Ketika Hacking
Sejak dari itu, beliau tidak pernah menoleh ke belakang dalam bidang menggodam, dan terus berusaha menjadi seorang yang professional dalam bidang tersebut.
Baginya, seseorang perlulah beretika ketika menggodam:
“Peranan utama saya adalah untuk mencari kelemahan produk dan servis dalam kehidupan seharian kita. Selepas menemui masalah perisian, saya menghubungi mereka yang bertanggungjawab, dan memaklumkan perkara berkenaan. Para pengkaji sistem perisian turut mengiktiraf hasil kerja saya dan membayar sejumlah insentif yang lumayan.”
3. Seorang Yang Pemurah, Rezeki Tidak Pernah Putus
Selain menjadi seorang penggodam yang beretika, beliau merupakan seorang yang sangat dermawan, menderma hampir setengah dari hasil insentifnya kepada mereka yang memerlukan.
Buat masa ini, Shahmeer berada di Lahore menguruskan syarikat cyber security miliknya iaitu Veiliux, dengan 6 orang ahli di bawah pengawasan Punjab IT Board (PITB). Beliau merupakan seorang yang sangat berpandangan jauh, selalu berbincang idea-idea baru bagi menguatkan pertahanan ruangan siber di Pakistan dan syarikat-syarikat IT.
4. Menuntut Ilmu Dengan Ikhlas, Kesenangan Akan Hadir
Antara nasihat Shahmeer untuk mereka di luar sana yang ingin menceburi bidang aplikasi sesawang, perlulah belajar asas-asas bidang tersebut dahulu, daripada hanya ingin sekadar mengejar komisyen wang semata-mata. Jangan buat kesilapan itu kata beliau.
Nasihatnya lagi, untuk berjaya dan dihormati, perlulah bekerja keras dan belajar dengan ikhlas, duit akan datang kemudian, dan jangan lupa untuk menderma dengan murah hati kerana Insyallah akan mendapat keberkatan hidup.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Siapa tidak kenal dengan aktor Veteran Hong Kong yang kacak ,walaupun sudah mencapai usia 51 tahun wajah Aaron Kwok pasti buah hati gadis cair melihatnya.
Kwok membuat pengumuman pada pagi Jumaat melalui laman sosial media China Weibo tanpa mendedahkan tarikh lahir atau jantina sama ada lelaki atau perempuan. Walaupun beliau tidak mendedahkan banyak butiran dan memilih untuk tidak menunjukkan wajah bayi itu, selebriti tersebut menyiarkan gambar tangan anak sulungnya yang menggenggam tangan ibu bapa mereka.
Foto – South China Morning Post
“Happy … grateful! Us three!” tulis Kwok dalam keterangan gambar. Beliau menambah, “Grow, family, protect,” bersama dengan emotikon muka smiley. Dia juga mencatatkan satu lagi imej yang menunjukkan tapak kaki dengan kapsyen, “Welcome, little one”.
Tahniah buat aktor veteran Hong Kong, Aaron Kwok yang baru sahaja bergelar bapa ini.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
DARI MANA DATANGNYA SAYANG, DARI MATA TURUN KE HATI. NAMUN, BAGI INDIVIDU YANG TIDAK MEMPUNYAI MATA YANG SEMPURNA SEPERTI JULING, IA AKAN MENJEJASKAN IMEJ DAN KEYAKINAN DIRI MEREKA.
Kerap kali, mereka akan mengelak daripada bertentang mata dengan orang lain kerana berasa rendah diri. Malah, kajian telah membuktikan bahawa mata juling menyukarkan seseorang bertemu jodoh dan menjejaskan peluang pekerjaan.
Dengan penglihatan normal, kedua-dua mata akan menuju satu titik atau objek yang menjadi pusat perhatian. Kemudian otak menyatukan kedua-dua imej yang terbentuk dari setiap mata menjadi satu bayangan tunggal tiga dimensi. Imej tiga dimensi inilah yang memberikan kita persepsi kedalaman.
Juling atau istilah perubatannya strabismus adalah efek penglihatan di mana kedua-dua mata tidak terarah pada satu objek yang menjadi pusat perhatian.
Satu mata (kadangkala kedua-duanya sekali) boleh tertumpu pada satu objek sedangkan mata yang lain juling ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah.
Juling sama ada boleh menjadi sesuatu yang kekal atau dapat juga tenggelam timbul di mana mata yang juling kelihatan lurus dan yang tadinya tampak lurus kelihatan juling.
Di kalangan kanak-kanak, juling bukan sahaja berubah-ubah dari hari ke hari tetapi keadaannya boleh berubah-ubah dalam masa sehari sahaja.
Juling tidak memilih jantina, ia boleh berlaku kepada lelaki mahupun wanita. Juling juga dapat diwarisi daripada ibu bapa kepada anak-anak. Namun ia tetap boleh terjadi walau tidak ada riwayat keluarga juling.
Apabila salah satu mata juling, dua gambar yang berbeza akan dikirim ke otak. Pada anak-anak usia muda, otak belajar mengabaikan bayangan dari mata yang juling dan hanya melihat satu bayangan dari mata yang lurus atau mata yang melihat lebih baik. Lama-kelamaan, kanak-kanak tersebut kehilangan kedalaman persepsinya.
Sementara itu, orang dewasa yang mengalami juling sering mengeluh penglihatannya menjadi berganda kerana otaknya sudah terlatih untuk menerima imej dari kedua-dua mata dan tidak dapat mengabaikan bayangan dari mata yang juling.
MATA MALAS
Penglihatan seseorang kanak-kanak itu akan berkembang baik apabila kedua-dua matanya dalam posisi normal. Juling mampu mencetuskan ambliopia (mata malas), iaitu penglihatan yang tidak sempurna pada mata yang juling.
Otak akan mengutamakan imej yang datang dari mata yang lebih baik dan mengabaikan bayangan dari mata yang lebih lemah atau mata yang ambliopia. Hal ini terjadi pada hampir 50 peratus kanak-kanak yang juling.
Ambliopia dapat diatasi dengan menutup mata yang lebih baik dan memaksa mata yang lebih lemah agar penglihatan menjadi lebih baik.
Apabila terapi dilakukan pada kanak-kanak pada usia yang sudah agak lewat, mata malas umumnya menjadi kekal. Justeru, lebih awal ambliopia dirawat, penglihatan akan menjadi lebih baik.
PENYEBAB JULING
Enam otot mata yang mengawal pergerakan bola mata melekat pada bahagian luar mata. Pada setiap mata, dua otot menggerakkan ke kanan dan ke kiri. Empat otot lainnya menggerakkan ke atas, ke bawah dan berpusing.
Agar kedua-dua mata lurus dan dapat menumpu pada satu objek yang menjadi pusat perhatian, semua otot pada setiap mata harus seimbang dan bekerja secara bersama-sama.
Agar kedua-dua mata bergerak bersama-sama, semua otot pada kedua-dua mata harus diselaraskan dengan baik. Otot-otot mata ini dikawal oleh otak.
Juling lazim ditemui pada kanak-kanak dengan kelainan pada otak seperti palsi serebral, sindrom down, hidrosefalus, tumor otak dan anak yang lahir tidak cukup bulan.
Katarak atau trauma yang menjejaskan penglihatan juga boleh menyebabkan strabismus. Namun banyak juga kanak-kanak yang bermata juling tidak mempunyai kelainan-kelainan tersebut.
GEJALA STRABISMUS
Tanda utama juling adalah mata yang tidak lurus di mana apabila satu mata terfokus pada satu objek, mata yang lain tertuju pada objek yang lain pula.
Kadang-kadang, anak dengan strabismus akan mengenyitkan satu mata di saat matahari terik atau memiringkan leher untuk menggunakan kedua-dua matanya secara bersama-sama.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PSEUDOSTRABISMUS?
Mata bayi sering terlihat seakan-akan juling, padahal sebenarnya tidak juling. Keadaan ini yang disebut pseudostrabismus atau juling palsu.
Bayi baru lahir, sering mempunyai hidung yang agak lebar, leper atau agak penyek dan ada lipatan kulit pada bahagian kelopak dekat hidung yang kelihatan seolah-olah juling.
Keadaan ini akan pulih dengan sendirinya dengan bertambahnya usia dan perkembangan bayi. Bayi atau anak seperti ini tidak akan membesar menjadi benar-benar juling di kemudian hari.
Seorang pakar mata biasanya dapat menjelaskan kepada pesakitnya perbezaan di antara juling dengan pseudostrabismus.
JENIS-JENIS JULING YANG KERAP DITEMUI
* Esotropia kongenital di mana mata juling ke dalam yang bermula dari usia bayi kurang enam bulan. Bayi seperti ini tidak dapat menggunakan kedua-dua matanya secara bersama-sama. Pada kebanyakan kes, pembedahan awal diperlukan untuk meluruskan matanya
* Esotropia akomodatif merupakan bentuk esotropia (juling ke dalam) yang biasa ditemui pada kanak-kanak berusia dua tahun atau lebih besar. Pada jenis juling seperti ini, apabila kanak-kanak memfokuskan matanya untuk dapat melihat jelas, mata akan tampak juling ke dalam. Juling ini berlaku semasa melihat jauh saja, melihat dekat saja atau kedua-duanya
* Eksotropia atau juling keluar merupakan bentuk lain juling yang juga sering ditemui. Bentuk juling ini paling sering terjadi ketika anak memandang objek yang jauh.
Eksotropia hanya muncul sekali sekala terutama bila anak dalam keadaan lelah, sakit atau mengelamun. Orang tua sering memperhatikan anaknya juling keluar saat berada pada matahari terik.
Walaupun kaca mata, latihan atau prisma dapat mengurangi atau membantu mengawal juling di kalangan sesetengah kanak-kanak, namun dalam kebanyakan kes, pembedahan mungkin diperlukan.
BAGAIMANA MENDIAGNOSIS JULING
Strabismus dapat didiagnosis melalui pemeriksaan mata. Adalah disarankan agar kanak-kanak berusia di antara tiga hingga tiga setengah tahun menjalani pemeriksaan mata oleh pakar kanak-kanak, doktor atau mereka yang terlatih untuk memeriksa penglihatan anak prasekolah.
Apabila ada kanak-kanak yang gagal dalam ujian pemeriksaan ketajaman penglihatan, mereka akan dirujuk ke pakar mata untuk pemeriksaan lanjut.
Jika terdapat riwayat keluarga strabismus atau ambliopia, atau riwayat keluarga menggunakan kaca mata tebal, seorang pakar mata akan melakukan pemeriksaan penglihatan walaupun usianya kurang dari tiga tahun.
Sekiranya memang kanak-kanak tersebut kejulingannya nampak jelas sejak usia kurang dari enam bulan, ibu bapa perlu membawanya berjumpa doktor seawal yang boleh.
Setelah pemeriksaan mata lengkap, pakar mata akan mencadangkan terapi yang sesuai. Dalam beberapa kes, pemakaian kaca mata dapat meluruskan kedudukan bola mata.
Terapi lain berupa prosedur pembedahan untuk menyeimbangkan otot-otot yang tidak seimbang atau surgeri katarak apabila terdapat katarak.
Selalunya, menutup sebelah mata yang dominan untuk mengatasi ambliopia, diperlukan.
RAWATAN
Juling tidak akan pulih dengan sendirinya. Rawatan untuk meluruskan mata diperlukan. Jenis-jenis rawatan mungkin digunakan secara sendirian atau bergabung, bergantung kepada jenis juling dan penyebabnya.
* Biasanya kaca mata akan dipreskripsi untuk meningkatkan tumpuan dan mengarahkan garisan penglihatan, membolehkan mata menjadi lurus
* Ubat-ubatan dalam bentuk titisan mata atau sapuan mungkin juga digunakan dengan atau tanpa kaca mata. Ubat suntikan mungkin digunakan untuk melemahkan secara berpilih, otot-otot mata yang terlampau aktif
* Pembedahan akan dilakukan pada otot mata untuk meluruskan mata setelah pendekatan tanpa bedah tidak berjaya
* Latihan atau senaman mata berguna sama ada sebelum atau selepas surgeri.
BAGAIMANA PEMBEDAHAN JULING DILAKUKAN
Apa pun jenis pembedahan mata, bola mata tidak akan dikeluarkan dari soketnya. Pakar mata akan membuat hirisan pada selaput putih mata untuk dapat mencapai otot penggerak bola mata.
Otot mata kemudian dilepaskan dari lekatannya dan dipindahkan (lekatannya) pada tempat yang diinginkan sesuai dengan arah juling bola mata. Atau, otot-otot dipotong sedikit sesuai keperluan kemudian dilekatkan lagi pada tempat perlekatan semula.
Pembedahan strabismus dapat dilakukan pada satu atau kedua-dua mata sekali gus bergantung jenis dan besarnya juling. Surgeri umumnya dilakukan dengan bius umum, terutama pada kanak-kanak.
Surgeri biasanya dilakukan sebagai prosedur pesakit luar sahaja. Waktu pemulihan juga adalah cepat. Kanak-kanak biasanya dapat kembali melakukan aktiviti normal dalam masa beberapa hari sahaja.
Setelah pembedahan, kaca mata mungkin masih diperlukan. Dalam beberapa kes, pembedahan lebih dari satu kali mungkin diperlukan untuk menjaga mata agar tetap lurus.
KESAN SAMPINGAN SURGERI
Seperti juga pembedahan lainnya, surgeri strabismus juga ada risiko termasuklah infeksi, perdarahan, jaringan parut yang berlebihan dan walaupun amat jarang terjadi, gangguan penglihatan.
Pembedahan juling umumnya merupakan cara yang efektif untuk mengatasi masalah juling. Di samping itu, tambahan kaca mata dan terapi ambliopia tidak kurang pentingnya.
SUMBER : UTUSAN
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kemunculan wajah Aiman Hakim Ridza di beberapa lokasi strategik menerusi paparan digital gergasi menimbulkan rasa tertanya-tanya di kalangan orang awam.