
Image by andreas on Freepik
Baru masuk pukul 2 atau 3 petang, tetapi kerja yang pagi tadi boleh disiapkan dalam masa singkat tiba-tiba terasa berat. Mata mula mengantuk, fikiran mudah melayang dan tumpuan semakin sukar dikekalkan.
Situasi seperti ini sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.
Dalam bidang kajian tidur dan ritma biologi, keadaan tersebut sering dikaitkan dengan post-lunch dip, iaitu penurunan sementara dalam tahap kewaspadaan dan perhatian yang biasanya berlaku pada awal hingga pertengahan petang. Kajian menunjukkan rasa mengantuk cenderung meningkat dan perhatian boleh menurun dalam tempoh ini.
Ramai mengaitkan rasa mengantuk selepas makan dengan makanan yang diambil ketika tengah hari.
Namun, penyelidikan menunjukkan fenomena ini tidak semestinya berpunca daripada makan tengah hari sahaja.
Tubuh manusia mempunyai ritma sirkadian, iaitu sistem dalaman yang membantu mengawal kitaran tidur dan berjaga sepanjang hari. Pada awal petang, terdapat perubahan semula jadi dalam tahap kewaspadaan yang boleh menyebabkan seseorang berasa lebih mengantuk atau kurang fokus.
Sebab itu, seseorang masih boleh mengalami penurunan tenaga pada waktu petang walaupun makan tengah hari dalam jumlah yang sederhana.
Tahap perhatian manusia tidak kekal sama sepanjang hari.
Satu ulasan sistematik mengenai perubahan prestasi kognitif mengikut waktu mendapati beberapa ukuran perhatian dan kewaspadaan menunjukkan perubahan sepanjang hari, termasuk penurunan prestasi pada waktu awal petang bagi sesetengah tugasan.
Bagi individu yang dengan jadual tidur yang terkawal, tahap fokus boleh meningkat pada lewat pagi, akan menurun sekitar tengahari dan kemudian kembali fokus pada waktu petang serta ketika waktu malam. Corak ini bagaimanapun berbeza antara individu.
Ini bermakna rasa “otak sudah tak boleh berfungsi” pada pukul 2 petang tidak semestinya menunjukkan itu malas bekerja.
Perkara ini boleh menjadi sebahagian daripada perubahan normal dalam tahap kewaspadaan sepanjang hari.
Walaupun ritma badan memainkan peranan, jumlah dan kualiti tidur pada malam sebelumnya tetap penting.
Apabila seseorang tidak mendapat tidur yang mencukupi, kemerosotan kewaspadaan sepanjang hari boleh menjadi lebih ketara. Kajian mengenai prestasi kognitif juga menunjukkan kekurangan tidur boleh mempengaruhi perubahan prestasi yang berlaku mengikut waktu dalam sehari.
Sebab itu, seseorang yang tidur lewat dan bangun awal mungkin merasakan kesan mengantuk petang dengan lebih kuat berbanding orang yang mendapat tidur mencukupi.
BACA JUGA : Pengurusan Kewangan Pelajar: Panduan Bijak Elak Duit Habis Minggu Pertama Universiti
Menariknya, rasa mengantuk pada awal petang tidak semestinya berterusan sehingga malam.
Kajian mengenai ritma perhatian mendapati prestasi dan fokus boleh kembali meningkat pada sebahagian waktu petang dan awal malam. Namun, waktu dan tahap perubahan ini berbeza mengikut individu, termasuk perbezaan corak tidur dan
chronotype seseorang.Itulah sebabnya ada orang yang terasa sangat mengantuk pada pukul 2 petang, tetapi kembali produktif menjelang pukul 5 atau 6 petang.
Salah satu perkara paling mudah ialah jangan meletakkan semua kerja yang memerlukan tumpuan tinggi pada waktu yang sama.
Jika boleh, kerja yang memerlukan pemikiran mendalam boleh disusun pada waktu ketika diri lebih segar. Waktu petang pula boleh digunakan untuk tugasan rutin harian, bergantung kepada jadual dan corak produktiviti seseorang.
Rehat sekejap juga boleh membantu sesetengah individu. Kajian mengenai tidur siang menunjukkan tidur seketika pada awal petang berpotensi membantu mengurangkan rasa mengantuk dan menyokong kewaspadaan, walaupun kesannya bergantung kepada tempoh tidur dan individu.
Pada masa sama, tidur siang yang terlalu lama boleh menyebabkan sleep inertia, iaitu keadaan mamai atau kurang segar sejurus selepas bangun.
Ada hari apabila kerja terasa berat kerana tekanan, kurang tidur atau terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan.
Tetapi jika perkara itu berlaku hampir setiap hari pada waktu yang sama, mungkin ada faktor biologi yang turut memainkan peranan.
Tubuh manusia tidak direka untuk mengekalkan tahap tenaga dan perhatian yang sama dari pagi hingga malam.
Jadi, apabila pukul 2 petang tiba dan otak terasa sedikit slow, mungkin tubuh sebenarnya sedang melalui satu lagi fasa normal dalam kitaran harian.
Bukan semestinya malas. Mungkin memang badan sedang meminta kita memperlahankan sedikit rentak.
Sumber : Diurnal variation in variables related to cognitive performance: a systematic review; Circadian Rhythms in Attention; Circadian Rhythms, Sleep Deprivation, and Human Performance; Effects of a Short Daytime Nap on Cognitive Performance: A Systematic Review and Meta-Analysis.