
Pengurusan kewangan pelajar perlu diberi perhatian sebaik sahaja melangkah masuk ke universiti. Kemasukan ke universiti membawa kepada perbelanjaan baharu, daripada keperluan bilik dan kegunaan akademik termasukkan makanan serta pengangkutan.
Dalam keterujaan memulakan kehidupan kampus, pelajar baharu mudah terlepas pandang perkara paling asas untuk memastikan tidak menghabiskan semua duit yang ada sebelum hujung bulan.
Sekarang sudah masuk musim kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi yang biasanya hadir bersama suasana baharu. Pelajar mula berpindah ke kolej kediaman atau rumah sewa, membeli keperluan pengajian dan mula menyesuaikan diri dengan rutin yang jauh berbeza daripada zaman persekolahan.
Namun begitu, selain persediaan akademik, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan kewangan.
Bagi sesetengah pelajar, universiti mungkin menjadi kali pertama mereka mengurus perbelanjaan sendiri tanpa pemantauan harian daripada ibu bapa.
Masalahnya, minggu pertama sering menjadi tempoh paling mudah untuk berbelanja lebih.
Banyak perbelanjaan kecil yang boleh menjadi besar
Satu pembelian mungkin kelihatan tidak membebankan. Sebagai contoh makan RM10, beli barang bilik RM20, tambah nilai telefon RM10, Keluar bersama kawan RM20.
Tetapi apabila semua perbelanjaan kecil itu dikumpulkan, jumlahnya boleh menjadi besar dalam masa beberapa hari. Lebih-lebih lagi apabila pelajar baru masih belum mengetahui kos sebenar kehidupan di kampus.
Sebab itu, antara perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membezakan antara keperluan, kehendak dan perbelanjaan yang boleh ditangguhkan.
Barang akademik dan keperluan harian mungkin perlu diberi segera, manakala aksesori dekorasi bilik atau perbelanjaan hiburan boleh dipertimbangkan kemudian.
Wang pendahuluan bukan bermaksud duit percuma
Bagi pelajar yang layak, PTPTN menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 untuk membantu persediaan sebelum mendaftar di Universiti Awam dan politeknik. Antara syaratnya ialah pelajar atau ibu bapa/penjaga merupakan penerima STR serta memenuhi syarat lain yang ditetapkan.
Bagaimanapun, WPP merupakan sebahagian daripada pinjaman PTPTN, bukannya bantuan tunai percuma.
Bagi penerima yang kemudiannya mendapat pinjaman PTPTN, bayaran balik WPP dibuat melalui potongan maksimum RM500 bagi setiap semester daripada pengeluaran pinjaman. Bagi penerima WPP yang tidak mengambil pinjaman PTPTN, jumlah tersebut perlu dijelaskan mengikut ketetapan PTPTN.
Justeru, duit yang diterima pada awal pengajian sebaiknya dilihat sebagai modal untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa, bukannya duit lebihan untuk berbelanja tanpa perancangan.
Makanan antara kos yang paling mudah terlepas pandang
Perbelanjaan makanan mungkin kelihatan kecil kerana ianya berlaku setiap hari. Namun begitu, RM10 atau RM15 sehari boleh menjadi jumlah yang besar apabila jumlah ditotalkan selama sebulan.
Sebagai contoh, perbelanjaan RM15 sehari bersamaan kira-kira RM450 untuk 30 hari. Itu belum termasuk minuman, makanan ringan, pengangkutan dan keperluan lain.
Sebab itu pelajar perlu mengetahui pilihan makanan yang tersedia di kampus dan kawasan sekitarnya sebelum membuat keputusan untuk berbelanja atau makan diluar setiap hari.
Kerajaan juga menyediakan beberapa inisiatif berkaitan kebajikan makanan mahasiswa. Kementerian pendidikan tinggi pada 2026 memaklumkan peruntukan RM15 juta untuk Dapur Siswa Madani, yang melibatkan penyediaan makanan percuma dan Food Bank bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup pelajar.
Bagi pelajar yang mempunyai masalah kewangan, kemudahan seperti ini boleh menjadi antara saluran yang wajar diketahui dan dimanfaatkan mengikut kelayakan.
Jangan cuba ikut gaya hidup kawan
Perkara ini mungkin lebih mencabar bagi pelajar yang baru membina lingkungan sosial di dalam universiti atau di fakulti pengajian.
Apabila kawan mengajak makan di restoran, membeli barang baharu atau keluar berjalan, ada sesetengah yang akan berasa perlu mengikuti gaya hidup mereka untuk menyesuaikan diri.
namun , kemampuan kewangan setiap pelajar tidak sama kerana ada orang yang dilahirkan dengan sudu perak dan ada yang tidak.
Ada yang mendapat elaun bulanan daripada keluarga. Ada juga yang bergantung kepada pinjaman. Ada yang menerima biasiswa dan ada juga yang perlu bekerja sambila untuk menampung perbelanjaan.
Tidak salah untuk mengatakan :
“Aku tak ikut kali ini… aku kena berjimat”
Mengurus kewangan dengan lebih baik tidak bermaksud tidak menikmati kehidupan universiti. Ianya merupakan keputusan yang bijak kerana mengetahui bila kita mampu berbelanja dan bila kita patut berhenti.
Simpan sedikit untuk perkara yang tidak dirancang
Kehidupan sebagai mahasiswa juga mempunyai perbelanjaan yang di luar jangkaan.
Ada masa tiba-tiba telefon rosak, komputer bermasalah, perlu membeli bahan tugasan, motor rosak, perlu pulang kampung secara tiba-tiba.
Disebabkan itu, tidak semua duit yang kita ada pada awal semester perlu dihabiskan ke perkara yang tidak perlu.
Walaupun jumlahnya kecil, menyimpan sedikit duit untuk keadaan kecemasan boleh mengelakkan pelajar daripada terpaksa meminjam apabila berlaku perkara tidak dijangka.
Buat bajet sebelum duit mula keluar
Pelajar tidak memerlukan sistem kewangan yang kompleks untuk bermula.
Cukup dengan menyenaraikan jumlah wang yang ada dan anggaran perbelanjaan untuk sebulan.
Contohnya:
Makanan – RM450
Pengangkutan – RM100
Telefon/internet – RM50
Keperluan akademik – RM100
Keperluan peribadi – RM100
Simpanan kecemasan – RM100
Jumlah sebenar tentu berbeza mengikut lokasi, gaya hidup dan keadaan setiap pelajar. Yang penting ialah mempunyai had perbelanjaan sebelum duit yang ada dibelanjakan.
Universiti juga tempat belajar mengurus kehidupan
Kehidupan universiti bukan hanya tentang kuliah, peperiksaan dan tugasan. Bagi ramai pelajar, ia merupakan pengalaman pertama mengurus masa, makan, pengangkutan, hubungan sosial dan kewangan sendiri.
Kesilapan dalam mengurus duit pada peringkat awal juga boleh menjadi satu bentuk pembelajaran.
Tetapi lebih baik belajar daripada kesilapan kecil sebelum menyesal di kemudian hari dengan masalah yang lebih besar.
Minggu pertama universiti mungkin penuh dengan keterujaan
Namun, tidak perlu membuktikan bahawa kita mampu membeli semuanya. Beli apa yang perlu, rancang apa yang hendak dibelanjakan, simpan sedikit untuk kecemasan dan jangan jadikan gaya hidup orang lain sebagai penanda aras kemampuan sendiri.
Universiti bukan sekadar tempat untuk mendapatkan segulung sijil atau ijazah. Ia juga merupakan tempat untuk belajar mengurus kehidupan sendiri termasuk belajar bagaimana memastikan duit yang ada cukup hingga hujung bulan.
BACA JUGA : Hanya ‘Berkaki Ayam’, Taj Izrin Cipta Sejarah Raih Emas Pertama E-Sukan Malaysia Di Sukan Asia

je senang
