
Kembalinya Honda Prelude ke pasaran Malaysia bukan sekadar memperkenalkan semula sebuah nama legenda. Bagi tiga pemilik terawal All-New Prelude, model coupe sukan itu membawa makna yang jauh lebih peribadi — daripada memenuhi impian sejak muda, meneruskan kesetiaan terhadap Honda sehinggalah menjadi simbol pencapaian diri.
Honda Malaysia meraikan perjalanan pemilikan Gan Ker Beng, Wahiduzaman Abu Kashim dan Dr. Davina Navreet Kaur menerusi sebuah acara penghargaan eksklusif yang mengetengahkan hubungan emosional setiap pemilik dengan Prelude.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata kepulangan Prelude mencerminkan semangat Honda dalam meneruskan legasi model ikonik itu ke era elektrifikasi.
“Kembalinya All-New Prelude yang ikonik merupakan satu pernyataan semangat Honda. Kami berbesar hati untuk meraikan detik istimewa ini bersama para pemilik kami, yang penghargaan mereka terhadap Prelude mencerminkan hubungan kukuh antara Honda dan pelanggan kami.
“Setiap daripada mereka mempunyai kisah tersendiri yang membawa mereka kepada All-New Prelude. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelanggan kerana memberikan kepercayaan kepada Honda Malaysia dan kami berharap dapat menemani mereka mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan bersama All-New Prelude,” katanya.
Bagi Gan Ker Beng, seorang usahawan dari Johor Bahru, hubungan dengan Honda bermula sejak 1990-an apabila beliau memiliki sebuah Civic.
Namun ketika itu, Prelude sebenarnya merupakan antara model yang paling diingininya.
“Saya mempunyai sejarah yang panjang dengan Honda. Honda pertama saya ialah Civic pada era 1990-an dan ketika itu saya sudah mengimpikan Prelude. Ia merupakan kereta idaman saya ketika muda, tetapi saya tidak mampu memilikinya pada masa itu.
“Jadi apabila Honda mengumumkan kepulangan Prelude ke Malaysia, saya tahu saya mahu memilikinya. Akhirnya dapat memiliki sebuah Prelude hari ini benar-benar terasa seperti mimpi menjadi kenyataan.
“Bagi saya, ia bukan tentang sepantas mana kereta itu boleh pergi atau angka prestasinya. Nama Prelude, kenangan saya bersamanya dan hubungan saya dengan Honda sepanjang tahun-tahun tersebut menjadikan kereta ini istimewa buat saya,” katanya.
Wahiduzaman pula merupakan pemilik perniagaan dari Kuala Lumpur dan peminat Honda sejak sekian lama. Beliau pernah memiliki beberapa model berorientasikan prestasi daripada jenama tersebut.
Namun apabila gaya hidup berubah, apa yang dicari bukan lagi semata-mata kereta yang pantas.
“Saya sudah menjadi pemilik Honda selama bertahun-tahun dan sentiasa menikmati karakter berorientasikan prestasi serta pelbagai pengembaraan yang kami lalui di jalan raya.
“Apabila gaya hidup saya berubah, saya mencari sebuah kereta yang memberikan keseimbangan sempurna antara keseronokan memandu dan keselesaan harian, dan saya tahu Prelude adalah jawapannya!”
Menurutnya, antara perkara yang menarik perhatian ialah cara jurutera Honda membangunkan kereta dengan memberi tumpuan kepada hubungan antara pemandu dan kenderaan.
“Apa yang menarik saya kepada Honda ialah perhatian mereka terhadap setiap perincian dan bagaimana jurutera mereka mereka bentuk kereta yang terasa seperti sebahagian daripada pemandu.
“Apabila saya memandu uji Prelude, saya benar-benar dapat merasakan karakternya yang berorientasikan pemandu tanpa mengorbankan keselesaan.
“Teknologi S+ Shift membolehkan saya benar-benar tenggelam dalam pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, memberikan rasa pertukaran gear yang tajam apabila saya mahukan pemanduan lebih menyeronokkan. Saya tidak sabar untuk memulakan bab baharu bersama Prelude saya,” katanya.
Bagi Dr. Davina Navreet Kaur pula, All-New Prelude menjadi Honda pertamanya.
Sebagai seorang pakar endodontik, beliau sudah lama meminati Prelude sejak melihat model klasik itu di sekitar kejiranannya di Subang ketika membesar.
“Membesar dahulu, saya sering melihat Prelude klasik di kawasan kejiranan saya di Subang dan mengaguminya dari jauh.
“Memiliki sebuah coupe merah juga merupakan impian saya sejak remaja dan sebagai peminat besar teknologi hibrid Honda, sebaik sahaja Prelude dilancarkan, saya terus jatuh cinta dan membuat tempahan tanpa melakukan pandu uji.
“Hari ini, saya akhirnya memiliki coupe sukan merah impian saya dan ia sebuah Prelude!
“Kereta ini tidak perlu menjerit untuk menunjukkan kehadirannya kerana pendiriannya kelihatan mudah tetapi tetap membawa kecanggihan yang tenang, sesuatu yang sangat selari dengan diri saya.
“Ia membawa rasa keyakinan bahawa saya sudah sampai ke tahap ini mengikut cara saya sendiri, dan perkara itu sangat dekat dengan perjalanan peribadi saya,” katanya.
All-New Prelude dibangunkan sebagai sebuah grand tourer yang berorientasikan pemandu dengan menggabungkan warisan prestasi Honda bersama teknologi elektrifikasi.
Model berkenaan turut memperkenalkan teknologi S+ Shift, yang pertama kali ditawarkan Honda Malaysia, bagi menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih mengasyikkan dan interaktif.
Sebagai tambahan terbaharu kepada barisan model hibrid Honda Malaysia yang turut merangkumi sedan, hatchback dan SUV, Prelude membawa pendekatan berbeza menerusi sebuah coupe sukan elektrifikasi.
Namun berdasarkan kisah tiga pemilik tersebut, kekuatan sebenar Prelude bukan hanya pada teknologi atau prestasinya.
BACA: Ramadan Ondash Tolak Pertarungan Semula Dengan Johan Ghazali
Bagi sesetengah pemilik, kereta boleh menjadi lebih daripada alat pengangkutan. Ia boleh mewakili impian yang pernah tertangguh, perubahan fasa kehidupan atau pencapaian peribadi yang akhirnya menjadi kenyataan.
Dan bagi Gan, Wahiduzaman serta Dr. Davina, All-New Prelude kini menjadi sebahagian daripada kisah tersebut.