
Sebanyak 34 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 6 pagi ini, ketika keadaan jerebu kembali menjadi perhatian di beberapa negeri.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia, Selangor mencatatka bacaan tertinggi iaitu 196, menghampiri paras sangat tidak sihat yang bermula pada bacaan 201.
Di Sarawak, beberapa kawasan turut merekodkan bacaan tidak sihat, antaranya Kuching (192), Semarahan (189), Serian (182), Sibua (156), Sarikei (155), Sri Aman (155) dan Bintulu (143).
Di Selangor pula, selain Johan Setia, bacaan tidak sihat dicatatkan di Shah Alam (169), Banting (166), Petaling Jaya (161), Klang (161) dan Kuala Selangor (139).
Negeri Sembilan merekodkan bacaan di Nilai (179), Seremban (170) dan Port Dickson (160), manakala beberapa kawasan di Perak turut berada dalam kategori sama termasuk Seri Manjung (175), Tasek Ipoh (174), Pegoh Ipoh (153), Tanjung Malim (152) dan Taiping (104).
Melaka pula mencatatkan bacaan tidak sihat di Alor Gajah (164), Bukit Rambai (162) dan Bandaraya Melaka (154).
Di Kuala Lumpur, bacaan direkodkan di Cheras (164) dan Batu Muda (161), manakala Putrajaya mencatatkan 170.
Beberapa kawasan di Johor dan Pahang turut terjejas. Antaranya Segamat dan Tangkak masing-masing 158, Batu Pahat (155), Kluang (152), Larkin (131), Temerloh (151) dan Jerantut (121).
BACA JUGA : 5 Risiko Melakukan Larian Dalam Kondisi Berjerebu
Bacaan IPU antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, manakala 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Bacaan 201 hingga 300 pula dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan 301 dan ke atas berada pada tahap berbahaya.
Pada tahap tidak sihat, keadaan kualiti udara boleh meningkatkan pendedahan kepada bahan pencemar dan menjejaskan kesihatan, terutama bagi golongan yang lebih terdedah seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah berkaitan pernafasan.
Susulan keadaan jerebu ketika ini, orang ramai sebelum ini dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar, khususnya apabila bacaan IPU di kawasan masing-masing berada pada tahap tidak sihat. Golongan berisiko juga disaran mengambil langkah berjaga-jaga.
Walaupun 34 kawasan merekodkan bacaan tidak sihat pagi ini, keadaan kualiti udara berbeza mengikut lokasi.
Justeru, bacaan IPU di sesuatu negeri tidak semestinya menggambarkan keadaan di semua kawasan dalam negeri tersebut. Orang ramai disarankan menyemak bacaan stesen pemantauan yang paling hampir dengan lokasi mereka sebelum merancang aktiviti luar.
Orang ramai boleh mendapatkan bacaan terkini melalui portal APIMS Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.
34 kawasan – tidak sihat
Johan Setia – 196, tertinggi setakat 6 pagi
101 – 200 – tidak sihat
201 – 300 – sangat tidak sihat
301 ke atas – berbahaya
Bacaan IPU boleh berubah sepanjang hari bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor pencemaran. Oleh itu, bacaan pagi tidak semestinya kekal sama pada sebelah petang.
Sumber: Jabatan Alam Sekitar (APIMS), RTM.