Jadi Juruterbang Jet Pejuang Jangan Takut Mati, Kena Ikhlas – Mejar Azhar

Share

Menjadi juruterbang jet pejuang bukan sekadar kerjaya hebat yang penuh dengan aksi adrenalin. Ia adalah satu amanah yang menuntut keberanian, disiplin tinggi, serta hati yang ikhlas berkhidmat demi agama dan negara. Itulah pegangan Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, juruterbang pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terselamat daripada insiden pesawat terhempas di Pangkalan Udara Kuantan baru-baru ini.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Asri (kiri) meninjau ke kawasan insiden kemalangan Pesawat F/A-18D Hornet terhempas di Pangkalan Udara Kuantan. FOTO IHSAN TUDM

Menurutnya, sesiapa yang mahu menjadi juruterbang jet pejuang atau anggota tentera tidak boleh hidup dalam ketakutan. “Jadi juruterbang atau tentera jangan takut mati, kena ikhlas untuk Allah dan negara,” tegasnya ketika ditemui selepas insiden berisiko tinggi itu.

Risiko Sentiasa Ada, Tapi Jiwa Kena Kental

Melalui laporan Harian Metro, Mejar Azhar mengakui kerjaya sebagai juruterbang penuh risiko. Apa sahaja boleh berlaku ketika berada di udara. Namun, beliau yakin ajal maut adalah ketentuan Allah dan boleh berlaku di mana-mana.

“Setiap kali melangkah keluar rumah untuk bertugas, saya berdoa kepada Allah SWT mohon perlindungan serta niat ikhlas di hati untuk Allah dan tanah air,” katanya.

Kejadian pada malam Khamis lalu benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikalnya. Pesawat yang dipandunya bersama jurusensor senjata, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, mengalami masalah sejurus berlepas sebelum terhempas di landasan. Mujur kedua-duanya sempat menyelamatkan diri dengan kerusi lenting.

Al-Sultan Abdullah ketika menziarahi juruterbang, Mejar Mohamad Azhar di RSAT Pangkalan Udara Kuantan pada Jumaat.

Walaupun cedera di tulang koksiks dan melecur sedikit di tumit, Mejar Azhar tetap bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup. Katanya, trauma itu hanya sementara, kini semangatnya kembali pulih dan beliau sudah bersedia untuk terus berkhidmat.

Ingat Keluarga, Ingat Tanggungjawab

Saat paling genting itu, wajah keluarga terlintas dalam fikiran. “Selepas terselamat, apa yang saya fikir cuma emak, isteri yang sedang hamil tujuh bulan serta dua anak saya. Itu buat saya lebih kuat,” jelasnya.

Sebagai anak jati Alor Star, Kedah, jiwa tentera sudah sebati dalam keluarganya. Abangnya berkhidmat dalam TLDM, seorang lagi dalam tentera darat, manakala beliau sendiri menjejakkan kaki ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebelum menjalani kursus juruterbang di Kolej Tentera Udara pada 2014.

Pesanan Untuk Lelaki Maskulin

Mejar Azhar menitipkan pesanan buat generasi muda:

Jangan takut mati kerana di mana-mana pun kita boleh mati. Bila pilih jalan sebagai tentera, kena bersedia dengan segala kemungkinan, termasuk risiko berdepan maut.

Kata-kata Mejar Azhar ini bukan sahaja relevan untuk anggota tentera, tetapi juga untuk semua lelaki. Hidup ini penuh cabaran, dan sebagai lelaki sejati, kita dituntut untuk berani, berdisiplin dan ikhlas dalam setiap perjuangan – sama ada demi keluarga, kerjaya atau negara.

Published by
Nana