Ramai mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Tanpa kita sedari, ada yang membuat ‘kesilapan diet’ ketika usaha menurunkan berat badan. Antara kesilapan yang selalu dilakukan oleh orang ramai adalah melakukan ‘diet’ dengan kaedah yang salah.
Sesetengah daripada kita yang ingin menurunkan berat badan akan mula melakukan ‘diet’ tidak makan secara tiba-tiba atau berpuasa secara melampau. Kaedah ini tidak sihat dan membahayakan kesihatan.
Walaupun terlebih makan antara punca berat badan berlebihan, jangan makan terlalu sedikit dan berpantang keterlaluan sehingga anda menjadi terlalu kurus dan mendapat masalah kekurangan zat makanan.
Jika anda terlalu kerap berlapar, sistem metabolisme badan berubah iaitu metabolisme badan turun dan segala yang anda makan walaupun sedikit akam disimpan sebagai lemak dan otot menjadi kecut.
Apabila anda tidak mampu meneruskan ‘berdiet’ melampau seperti ini, anda mula makan tanpa kawalan kerana selera bertambah dan semuanya menjadi lemak.
Berat badan anda bertambah dengan cepat dan menjadi lebih gemuk dari sebelumnya. Akhirnya anda berdiet semula dan kitaran ini akan berterusan tetapi gagal menurunkan berat badan.
Elak lakukan kesilapan ini masa berdiet agar misi menurunkan berat badan anda tercapai.
1. MENURUNKAN BERAT BADAN HANYA DENGAN BERSENAM
Senaman penting untuk menurunkan berat badan tetapi bergantung sepenuhnya kepada senaman tanpa mengawal pemakanan adalah usaha yang sia-sia. Kajian mendapati seseorang yang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan dan kalori makanan akan menyebabkan berat badan susah turun, malah bertambah.
Ini kerana ramai mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka dengan kalori yang dibakar, tidak perlu mengawal jumlah makanan yang diambil. Jika ingin menurunkan berat badan secara maksimum, jumlah pemakanan seharian masih perlu dikawal walaupun anda bersenam.
2. MEMILIH PRODUK ‘RENDAH LEMAK’
Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabel sebagai ‘rendah lemak’ dan merasakan ia baik untuk kesihatan dan boleh membantu menurunkan berat badan.
Hakikatnya, produk itu sebenarnya mempunyai nilai kalori tinggi kerana kandungan gulanya sangat tinggi. Pengeluar produk ini mengurangkan lemak dalam produk mereka tetapi menambah kandungan gula untuk membuatkan produk ini lebih sedap.
Kajian sains mendapati lemak mono tak tepu (kekacang, avocado, minyak zaitun) dan lemak Omega 3 dari ikan baik untuk menurunkan berat badan.
3. MEMILIH MINUMAN ‘DIET’
Kajian mendapati pengambilan minuman ‘diet’ menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah. Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, Amerika Syarikat mendapati seseorang yang mengambil minuman ‘diet’ menghadapi sehingga 70 peratus peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa.
Kajian sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41 peratus untuk penggemar minuman ‘diet’. Menurut pakar pemakanan, fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan aspartame yang rendah kalori dalam minuman ‘diet’ meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat ‘isyarat kenyang’ apabila perut penuh. Sebaiknya ambillah air putih untuk menurunkan berat badan.
Jika anda gagal dalam percubaan pertama untuk menurunkan berat badan, jangan terlalu cepat mengalah. Kajian mendapati seseorang yang hanya cuba menurunkan berat badan mendapat faedah kesihatan walaupun gagal menurunkan walau sedikit pun.
Jadikan matlamat untuk mendapat kesihatan baik sebagai sebab utama menurunkan berat badan kerana kesihatan baik akan terpancar sebagai kecantikan sebenar.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI